Thursday, October 29, 2009

SUAMI - APAKAH PERKARA PENTING UNTUK MEMBUAT SEORANG ISTERI ITU GEMBIRA?

Kisah ini ditulis untuk seorang kawan saya yang sering bertelagah dengan isterinya. Beliau mempunyai tiga orang anak, hasil perkongsian berumah tangga. Katanya, boleh dikatakan setiap saat bagaikan mimpi ngeri. Dia meminta pendapat saya, lalu saya tuliskan di atas kertas ini untuk tatapannya dan sidang pembaca dengan pelbagai pandangan dan nasihat secara umum. Mungkin ada sedikit berat sebelah di mana ceritanya saja yang saya dengar, dengan tidak dapat pertimbangan daripada pihak isterinya.

Mari kita timbangkan bersama; sebagai kaum lelaki yang bergelar 'SUAMI', tanpa prajudis:

Saya katakan kepadanya; "Jangan lontarkan segala kesilapan atau kesalahan serta tanggungjawab kepada isteri. Pertama-tamanya, kitalah yang memilih untuk dijadikan ia sebagai'ISTERI'. Kenapa kita pilih dia yang sebegitu rupa yang sentiasa saja membuat kita rasa tercekik dan terancam?"

Ingat!.. Adakah kita terfikir, jika kita menceraikannya, kita tidak akan lagi memilih 'seorang lagi wanita yang sama jenisnya'? Kalau kita bertanya kepada ahli psikologi (penganalisis jiwa), katanya; kita akan tetap memilih 'perempuan yang sama'. Kita menyangka isteri kita saja punca segala permasalahan dan kesengsaraan. Itu petanda kita yang inginkan masalah itu, sebab itu kita yang memilihnya. Seperti kata pepatah:

"Perigi Tidak Mencari Timba...
Tetapi Timbalah Yang Mencari Perigi."

Justeru, siapakah 'PERIGI'
dan siapakah 'TIMBA'?

Ingat!.. Kita akan sekali lagi mencari'perigi'. Ertinya kita akan cari 'wanita yang sama' dan 'sejenis', ingat!..

"PEREMPUAN adalah PEREMPUAN!"

Ia akan menjadi 'isteri' kepada 'suami', dan bakal menjadi 'ibu' kepada beberapa orang anak... 'Anak' tetap 'anak', sama ada daripada wanita yang pertama, kedua atau ketiga. Dalam erti kata lain, kita tetap akan tertarik kepada 'wanita yang sejenisnya'. Kecuali kita benar-benar dapat menggugur 'akal lama' kita sama sekali.

Terimalah akal kita itu, sebenarnya kita tetap dengan akal kita. Tentu kita berfikir, jika kita menceraikannya.., keadaan kita akan bertambah baik. Sebenarnya cara berfikir begitu amat silap... Sangat-sangat silap, kerana:

"Kita tidak faham atau tidak tahu
langsung mengenai ilmu psikologi"

(kajian mengenai fikiran dan peranannya serta ciri-cirinya).

Kita akan terperangkap lagi, kita akan sekali lagi mencari 'wanita lain' 'perempuan lain' untuk dijadikan 'ibu'. Anda akan menyesal, kita akan merinduinya, dia akan merindui kita... Ingat!.. Kita akan mencari 'jenis yang sama' iaitu 'perempuan', ingat itu!. Dan perhatikan akal kita itu.

Oleh itu bukan dia saja patut dipersalahkan, kita suami mesti juga ada kesilapannya. saya katakan kepada kawan saya itu, bahawa saya hanya mendengar cakapnya, dari sebelah pihak, daripada pihak isterinya, saya tidak tahu. Justeru, kata saya, adalah tidak adil bagi saya untuk menghakim, menghukum dan mengadil. Saya berkata lagi kepadanya, bahawa dia selaku suami, mungkin 50% betul... Tetapi bagaimana dengan isterinya yang 50% lagi?..

Justeru kata saya:
"Kamu tidak ubah seperti
menyimbah minyak ke api."


Saya menasihatkannya:

Jika kehidupan ini kelihatan sangat tidak bermakna dan hodoh, kenapa dilahirkan ketiga-tiga anak itu ke dunia ini? Siapakah yang bertanggungjawab ke atasnya? Kenapa dibawa ketiga-tiga 'roh' budak itu ke dunia ini? Di dunia yang penuh dengan permasalahan berkeluarga, di dalam dunia yang penuh dengan kepalsuan.., kenapa?

Saudaraku,
Tidakkah ada sedikitpun kasih sayang untuk anak-anak itu? Begitulah sebenarnya kita manusia, terus saja pandai melahirkan anak-anak tanpa memikir akan akibah dan natijahnya.

Kalaupun hidup kita ini dirasakan, bagaikan di dalam neraka, sekurang-kurangnya kita dapat melindungi anak-anak itu dari terjebak ke dalam kesengsaraan atau pertelingkahan kita. Kita patut menyelamatkannya!

Sekarang apakah yang telah terjadi?

Budak-budak itu membesar di depan mata seorang ayah dan ibu yang sudah tidak sehaluan lagi. Tahukah apa kesannya kepada anak-anak itu? Banyak yang dipelajarinya daripada kedua ibu bapanya. Dia akan terus saja 'mengabadikan' ke dalam otaknya selama-lamanya di dunia ini. Bila kedua ibu bapanya sudah tiada kelak, si anak akan atau mungkin mengikut jejak langkah kita yang jahil lagi bodoh itu, suatu penghidupan yang sangat sedih dan mengecewakan.

Saudaraku yang dikasihi!

Sama ada yang akan berkahwin, sudah berkahwin, yang akan bercerai atau yang sudah bercerai.., kalau tidak berlakunya perceraian, sekurang-kurangnya kita dapat menyelamatkan kehidupan ketiga-tiga anak tersebut, atau dapat menyelamatkan masa depan kemanusiaan. Ingat pepatah ini!..

"Bila kita melontar seketul batu ke dalam tasik yang sedang tenang 'keharmonian', batu itu akan jatuh ke dasar dan berehat di situ. Tetapi ombak atau gelombang kecil terus saja bergelombang menyusur tebing..."

Tetapi ingat! Lautan kehidupan tidak bertepi dan bertebing, maka gelombang hidup kita akan terus saja, terus-menerus dirasai oleh anak-anak dan kita selaku ibu bapalah penyebabnya!..

Itulah natijahnya... Sekurang-kurangnya kita patut berwaspada, tidak melahirksn anak. Masih tidak terlewat, bagi yang belum bercerai, bagi yang sudah terlanjur, laluilah hidup itu!.. Suka diingatkan.., kehidupan masih boleh diubah, bagi kita orang lelaki, jangan harapkan perubahan berlaku daripada pihak perempuan dahulu, itu pendekatan yang salah atau tidak betul.

Ada pepatah mengatakan:

"Kalau hendak mengubah atau berubah,
mulakanlah perubahan itu daripada diri sendiri".


Jadilah 'orang baru' dalam hidup berumah tangga, berhentilah dari melakukan kerja-kerja yang negatif atau tidak sepatutnya. Ceburilah kerja-kerja baru yang disukai dan menyenangkan diri kita, orang ramai dan keluarga kita sendiri. Jadilah orang baru dalam rumah tangga nanti kita sendiri akan kagum atau terkejut. Ingat! Bila kita jadi 'orang baru' dalam keluarga, isteri kita juga akan turut menjadi 'orang baru'... Ingat itu!.. Ia akan terpaksa.., untuk menyahut perubahan kita itu.

Mula-mula memang agak sukar, ia seolah-olah seperti bersama dengan 'suami baru'.
Tetapi lama kelamaan.., jika isteri sudah melihat kita sudah berubah.., boleh berubah!.. Kenapa tidak dia?

Ingat!.. Sebagai suami, jangan harap si isteri patut berubah.., ingat ini di dalam setiap 'perhubungan'... "Mulai Perubahan Daripada Diri Sendiri Dahulu!"... Nanti...

Kehidupan berumah tangga boleh berubah menjadi 'syurga'. Sebenarnya masih belum terlambat, yang sudah bercerai, kalau belum berkahwin boleh rujuk semula. Tetapi perlukan kekuatan, keberanian, untuk berubah. Cuma yang diperlukan adalah sedikit kesedaran daripada kedua-dua belah pihak!

Rombaklah sikap dan kelakuan kita, perhatikan sikap dan kelakuan itu, apa yang telah dilakukan dan dijalani selama ini.. Kita melakukan perkara-perkara yang sama saja sehinga kini... Si isteri begitu juga, ia tidak ubah sudah menjadi satu corak yang tidak boleh diubah...

Contoh dan perhatikan!...

Perhatikan suami atau isteri kita.., aktiviti hariannya sudah boleh diramal... Si suami sebelum pergi kerja, membuka surat khabar dan membaca, si isteri menyediakan secawan kopi, si isteri akan berkata sesuatu yang telah diulang-ulang sejak bertahun-tahun lamanya. Si suami demikian juga, beraksi dan respon yang sama. Ia seolah-olah telah tersusun, diatur atau diprogramkan dan bagaikan tidak boleh dirongkai, diubah atau diserak dan mengubah corak baru.

Buatlah sedikit perubahan.., kita selaku suami!... Nanti sesuatu akan berlaku, sangat berbeza!.. Esok lazimnya kita membaca surat khabar, jangan lagi duduk di kerusi yang sama, membaca surat khabar di waktu pagi. Ambil penyapu, sapu keliling rumah, cuba lihat apakah yang akan berlaku? Orang rumah kita akan terperanjat, dia tidak akan percaya apa yang terjadi kepada kita, senyumlah apabila kita melihat isteri kita. Peluk dan dakaplah ia, lihat apakah reaksinya?..

Mungkin kita jarang memeluknya sejak begitu lama. Kita jarang melihat ke matanya secara telus dan ikhlas. malam ini duduklah berhadapan dengannya, renunglah matanya, pastinya dia menganggap kita sudah tidak betul, tetapi jangan dirisaukan. Dekati dan pegang tangannya dengan penuh ghairah. Kalau kita tidak boleh melakukannya, berpura-puralah melakukannya, tetapi dengan penuh ghairah, mulakanlah dengan senyuman tanpa apa-apa sebab.., nanti isteri akan mula bertanya dan hairan.

Sejak lama kita tidak pernah memegang tangannya. Ingat tak, sudah berapa lama agaknya? Pernahkah kita ajak dia berjalan-jalan di taman, bila bulan sedang mengambang di bawah jutaan bintang? Ingatlah!.. Dia isteri kita adalah juga seorang perempuan yang bergelar manusia. Dia perlukan belaian dan kasih sayang.

Tetapi kebanyakan lelaki yang bergelar 'suami', menjadikan isteri sebagai 'hamba rumah tangga'. Ingat! "Pernahkah kita menghormatinya sebagai insan, yang juga perlu dihormati?"

"Pernahkah kita duduk di sisinya sekali sekala, diam-diam sambil memegang tangannya, jangan berkata apa-apa, cuma sentuhan rasa dan perasaan."

Tetapi saudara pembaca!..

"Suami isteri lazimnya cuma ada satu saja
jenis perhubungan, iaitu: Bertengkar atau Berkelahi!"


Ingatlah!..

Jangan berfikir hanya isteri kita saja yang bersalah, mungkin juga ada kesalahan, tidak dinafikan!.. Walau bagaimanapun, berilah mereka peluang dan ruang, sedikit erti dan makna yang sangat bermakna dalam hidupnya. berilah mereka sedikit rasa dan erti hidup yang ia inginkan.

Tahukah kita?..

"Apakah yang sangat-sangat diperlukan dalam hidup ini?" Jawapannya adalah,'KEPERLUAN'!.. Berilah mereka 'keperluan' itu yang diinginkannya. Kecualilah kalau masing-masing sudah saling tidak memerlukan atau tidak ada keinginan, maka tidak berertilah hidup masing-masing, 'seperti padang pasir yang kering kontang'.

Ingat saudara pembaca!..

Tubuh badan, jika tiada siapa membelaikannya, atau tidak dibelai, ia akan 'mengering dan mengecut'. Tubuh itu akan kelihatan hodoh, jika tidak ada yang membelai dan memupuk serta menghargainya, tak ubah seperti 'rumah usang yang tiada penghuni'.

Nanti si suami dalam senyap-senyap memerhati, 'kenapa isteri aku kelihatan tidak cantik?' Semuanya itu kerana kita 'tidak mencipta' dan tidak pandai membelai bahawa:

"sekuntum bunga hanya akan berkembang
cantik dan indah jika iklimnya bersesuaian dan pandai menjaganya."


Dalam erti kata lain:

Jika kita menyintai seseorang, seseorang itu akan kelihatan cantik dan indah!., ibarat apa jua logam boleh bertukar menjadi emas. Lihatlah air muka orang yang mempunyai sifat kasih sayang!., air mukanya berseri.., 'AURA'nya berubah, mukanya menjadi bersinar, bercahaya dan berseri, darahnya mengalir ke muka, matanya menjadi berkilau penuh keajaiban!..

Memang!.. Kasih sayang memang punuh dengan 'KEAJAIBAN'. Masih tidak terlambat!., yang bercerai boleh rujuk semula, yang hendak retak boleh ditampal, yang terdedah boleh ditutup, apa saja masih belum terlambat, kecuali yang sudah mati!.. Itu namanya: 'Bercerai nyawa daripada tubuh'.

Justeru, Apakah perkara penting untuk membuat seorang isteri itu bahagia?
Hanya ada 'DUA' perkara penting:

1. Beri dia kebebasan memikir dengan caranya
2. Biar dia peroleh apa yang diinginkannya


Pandangan ini boleh diaplikasikan bagi kedua-dua pihak (suami dan isteri) untuk 'KETENANGAN dan KESEJAHTERAAN BERUMAH TANGGA'.

Pembaca yang dikasihi!..

Sila panjangkan risalah ini kepada rakan-rakan, suami atau isteri yang sedang bertelingkah atau yang ingin bercerai atau yang sedang bercadang untuk berkahwin, dan yang sudahpun bercerai, agar penulisan ini akan dapat membuat mereka 'bertaut kembali' demi kesejahteraan anak-anak dan kerukunan rumah tangga.

Sekian, 'SELAMAT MENGAMAL!'


Daripada,
'Empty Hands',
A. Rahman Bin Mahadi
Labis, Johor
016-6020321

2 NOVEMBER 2009


Next Topic: 'PATIENCE... The Heart Of
Spiritual Practice'