Wednesday, December 16, 2009

APA ERTI MENYAYANGI DIRI SENDIRI

Pertama-tama seseorang perlu mempunyai "KUASA PERBANDINGAN", apa yang dikatakan:

"Menyukai dan Menyayangi"

Ia mempunyai erti yang sangat berbeza.
Mengenai "menyayangi", sangat dalam istilah dan ertinya. Sembilan puluh sembilan peratus di antara kita tidak dapat melaksanakan apa yang dikatakan "menyayangi" secara total.

Bagi maksud "menyayangi diri sendiri", pertama-tamanya seseorang itu tidak boleh memulai "menyayangi diri sendiri"... Kerana kita tidak tahu siapakah diri kita? Justeru, apakah yang kita ingin menyayangi di tubuh badan itu? Tubuh badan 'bukan kita'. Tubuh badan yang terdiri daripada empat elemen dengan pelbagai komponen akan musnah dimakan waktu.

Jika kita menyangka tubuh badan itulah kita, itu ertinya kita hanya "menyayangi ego" kita. Kerana "tubuh badan" itu "bukan diri sebenar kita". Ia sesuatu yang bersifat "kepalsuan, bukan hakikat".

Boleh dikatakan semua orang "menyayangi diri tubuh badannya" - semua orang "menyayangi keegoannya". Sehinggakan:

Sehodoh-hodoh wanitapun, bila kita berkata dan memujinya; "Cantik sungguh kamu ini." Dia tidak akan menolak, malah tersenyum menerimanya.

Saudaraku pembaca!

Ya, saya ingin melihat semua orang menyayangi dirinya, kerana jika seseorang tidak menyayangi dirinya, maka dia tidak boleh menyayangi orang lain, kerana kita tidak tahu mekanismenya. Kalaupun kita menyayangi seseorang, itupun kerana kepentingan diri.

Kalau seorang lelaki menyayangi seorang perempuan, atau sebaliknya,
itu ertinya "sayang nafsu".

Kalau kita menyayangi dunia dengan segala isinya, itu ertinya
"keinginan, sayang kepada kebendaan".

Saudaraku pembaca yang budiman, ingat!

Sebelum kita menyayangi diri kita, kita perlu "MENGENAL DIRI". Kasih sayang adalah perkara kedua. Kasih itu akan datang dengan sendiri, ia akan mengembang dengan sendiri, berjuta-juta bunga akan menguntum dan mengembang dari dalam tubuh itu.

"Harumannya adalah kasih sayang".

Kelazimannya, kita semua memang menyayangi diri kita dahulu, kerana itulah yang difahami oleh semua orang.

Sebenarnya, kita semua tahu, melalui kejahilan kita sendiri, bahawa "menyayangi" yang kita fahami adalah tidak lebih yang bersifat "perhubungan". Kita semua patut tahu membezakannya.

Bila kita berkata; "I love you", bagaimana dengan lain-lainnya? Bagaimana dengan seluruh kewujudan? Semakin sempit "kasih sayang kita" pada sesuatu, maka semakin "terpenjaralah" kita. Atau dalam ertikata lain, "sayap kita telah terputus, ia tidak boleh terbang jauh melintasi matahari. Kita bagaikan berada di dalam sangkar emas yang sangat cantik, tetapi burung yang di dalam sangkar emas tersebut, bukanlah burung yang sama, seperti burung yang pernah kita lihat terbang bebas di awan biru".


Ingat!.. "Menyayangi bukan bersifat pertalian atau perhubungan", kerana nafsu dan kebendaan, bukan sempit, malah maha luas.

"Menyayangi atau kasih sayang adalah suatu nilai yang sangat berharga pada diri seseorang". Adab serta tingkah laku yang memangpun sifat semulajadi kita semua, dengan segala cahaya. Seperti matahari yang menyinarkan cahayanya bukan kepada seseorang yang tertentu dan tanpa alamat yang perlu dituju.


From Empty Hands,
A. Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
016-6020321

16 Disember 2009

Next Topic: "Man, The Mental Mosaic"