"Adakah 'AKAL' suatu 'anugerah' atau 'kekangan' atau 'halangan' kepada kemajuan atau perkembangan 'kerohanian'?"
Perlu diingat!
"Akal adalah anugerah khusus oleh Tuhan kepada manusia". Kerja kita cuma melatihnya agar ia dapat "menjadi 'alat' atau 'mekanisme' yang sangat berguna untuk perkembangan kerohanian seseorang."
"Akal boleh membuat seseorang menjadi terbelenggu atau ia boleh menjadi pintu kepada kemajuan dan perkembangan apa jua lapangan."
"Kedudukan 'akal' seseorang adalah antara tubuh dan rohnya."
Akal sifatnya memang suka bergembira, berseronok sepanjang masa. Tetapi ia tidak tahu bagaimana hendak mencapai ke arahnya. Akal fikiran inginkan 'kasih sayang', tetapi tidak tahu bagaimana hendak mencarinya.
Tahukah tujuan kewujudan akal kita masing-masing? Tujuannya adalah "untuk mengetahui akan 'hakikat' siapakah kita sebenarnya". Tetapi 'akal fikiran' kita itu sendiri yang penuh dengan nafsu keinginan-keinginan yang melampau itulah yang merupakan 'kekangan dan halangan' untuk seseorang memahami 'ROH' atau 'sifat dalamannya sendiri'.
Itu semua kerana manusia lebih suka menghias luaran dirinya sahaja, daripada menghias 'diri dalaman' (Roh)nya yang terbiar dan tidak dipedulikan langsung.
Akal kita sering saja mengingatkan kita bahawa 'kita adalah tubuh badan'. Sebenarnya tidak. "Tubuh badan adalah 'ALAT' bagi 'ROH', yang tidak tahu bahawa tubuh badan adalah 'alat bagi Roh'". Maka tubuh badan itu yang dijaganya dan berseronok ke sana ke mari di dalam dunia yang sementara ini sehingga menyukarkan baginya untuk memahami perjalanan Roh, sebagai hakikat di sebalik tubuh badan. Justeru, gunakanlah 'AKAL' untuk tujuan 'perkembangan kerohanian', kuatkanlah 'kuasa perbandingan' bahawa "tubuh badan adalah 'ALAT' bagi 'ROH'.
Maka setelah kuat kuasa perbanding kita, bahawa tubuh badan sifatnya hanya sebentar atau sementara, yang kekal adalah 'ROH'. Justeru, hiasilah 'ROH' masing-masing dengan rukun-rukunnya agar akhlak atau moral sentiasa mempunyai nilai-nilai yang terpuji.
'AKAL' adalah merupakan "tempat pengaliran pelbagai idea', rantaiannya tidak akan putus-putus mengalir, ada saja celotehnya dan akan terus berceloteh. Kalau tidak percaya cuba pejamkan mata itu sebentar, jika kita cuba mengira pengalirannya, nanti kita akan sedar, hanya baru seminit, 20 corak pemikiran dan pelbagai idea melintasi di akal kita itu seperti "pelbagai idea kesukaan, suka, tidak suka, hendak itu, hendak ini", macam-macam perancangan yang bertentangan dan kesemuanya itulah yang menguasai akal dan penghidupan seseorang.
Perlu diingat! Jika akal kita terlampau sangat bergantung kepada hal-hal dunia, itu ertinya kita sudah 'terbelenggu'. Akal kita itulah punca 'perhambaan dan kemerdekaan'... yang dikatakan suka dan duka. Ingat! akal kita boleh keluar dan taksub kepada sesuatu objek, dan ia juga boleh meninjau dan meneroka jauh ke dalam, ke 'sumber asalnya'.
Dalam ertikata lain, kita manusia mampu mengurus dan merubah kualiti pemikiran kita masing-masing. Dengan menukar corak pemikiran kita, ertinya kita juga mampu mencorak penghidupan kita masing-masing.
Caranya adalah dengan melatih akal kita, bukan ke arah kedukaan, putus asa, tetapi ke arah keriangan, kegembiraan dan kecemerlangan. Seperti kita melihat melalui akal kita sendiri, dengan akal yang baik, kita akan lihat 'Keagongan dan Kebesaran Tuhan". Justeru, melalui akal yang penuh 'keraguan', maka segala-galanya 'menjadi keraguan'. Oleh kerana di akal itulah juga pencipta segala pemasalahan, keperitan, kepedihan dan kesengsaraan.
Oleh itu 'hati-hatilah dengan akal'. Kawal dan ambil tahu akan sifat-sifat semulajadinya.
Di sini saya 'kategorikan 5 jenis akal' yang fungsinya berbeza-beza.
Sebelum itu perlu kita ketahui tentang :
"Akal Politik dan Akal Kerohanian".
Akal Politik;
"Akal orang seumpama ini, penglihatan dalamannya yang terpancar keluar adalah mencari kesilapan orang lain, suka menganalisis dan mengkritik orang, dan sikapnya suka merubah orang, kerana menyangka diri atau kelompoknya saja yang betul"...
Seperti apa yang sedang berlaku di tanahair kita dari sudut politik, sukar bersatu, masing-masing mengaku bijaksana, tahu segala-galanya, sehingga tiada tempat untuk dirujuk.
"Ingat! Kita semua ada akal begitu".
Akal Kerohanian;
"Akal Kerohanian, orang-orang ini suka meninjau ke dalam dirinya, jauh ke dalam, yang giat dan kuat berusaha untuk memperbetulkan dirinya sendiri".
Berbalik kita kepada "5 jenis akal dan fungsinya".
1. Kebingungan
2. Keresahan
3. Bercelaru
4. Fokus atau tumpuan
5. Benar-benar terkawal
Yang Pertama:
"Akalnya umpama orang suka mengantuk, tidak tahu hendak buat apa, tiada kuasa perbandingan yang kuat, mereka seumpama itulah orang-orang yang kebingungan".
Yang Kedua:
Kebanyakan akal orang seumpama ini "memang dinamik dalam keresahan". Keresahan di akalnya penuh dengan keinginan-keinginan, kerap berubah-ubah, inginkan sesuatu.
Yang Ketiga;
"Akal yang terserap dan diresapi apa jua keseronokan di sepanjang harinya" atau sudah agak lama, bercelaru, tidak mengira waktu, mengejar apa jua keseronokan, seperti terlebih makan, bermain-main dan sebagainya, tidak kisah atau tidak peduli apa-apa.
Yang Keempat;
"Suka fokus dan membuat penumpuan (A concentrated mind)". Objek penumpuannya sama ada hal-hal di luar atau dalaman. Tetapi pakar bedah hanya memberi tumpuan kepada hal-hal luaran. Tetapi akal orang-orang kerohanian, tumpuannya adalah hal-hal 'jauh ke dalam'. Orang-orang yang punya akal tumpuan (focused mind) sentiasa menyedari bahawa "Tuhan itulah yang Maha Berkuasa" dan akal orang-orang seumpama ini mampu sampai ke matlamat hidup dan tahu erti penghidupan.
Yang Kelima;
"Akal yang terkawal sepenuhnya.Ia hanya jika kita, seorang perenung, pemikir, hidupnya penuh seimbang". Untuk mencapai tahap istimewa yang penuh cemerlang ini, "sucikanlah 'AKAL' secara bersungguh-sungguh sehingga ia benar-benar suci, jelas, dan bersih, 'Cristal Clear'".
Nasihat saya; "Belajarlah memahami akan sifat-sifat semulajadi akal kita masing-masing, agar hidup kita sentiasa dalam kecemerlangan."
From Empty Hands,
A. Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
016-602 0321
29 February 2012
Next Topic: 1. "Death Is Not The End Of Life"
2. "Memahami Tiga Dunia: Yang Kasar, Yang Halus, Sebab Akibat"
Tuesday, February 28, 2012
Subscribe to:
Posts (Atom)