Saturday, June 25, 2011

BETAPA PENTINGNYA DILAHIRKAN SEBAGAI MANUSIA

Saudaraku yang dikasihi!

Fahamkan dan halusi peringatan ini:

Hadirnya kita ke dunia ini, bukan saja untuk mensia-siakan pernafasan kita siang dan malam, membuncitkan perut dan menjadi pemuja tubuh badan sehinggalah kita sampai ke tahap tua bangka dan menyanyuk. Begitukah tujuannya untuk kita memenuhi tujuan kelahiran kita?

Anjing dan lain-lain binatang juga makan dan menyumbat perutnya siang dan malam, kemudian membiak generasi sepanjang tahun, bercucu-cicit sehingga tidak lagi mengenal pertalian keluarga.... Itu adalah binatang!!!... Bagaimana dengan kita manusia abad ini, membuang anak dan terberanak di sana sini?

Adakah kelahiran kita manusia boleh disamakan dengan kelahiran binatang yang tidak perlu mengenal pertalian persaudaraan?.... Yang muhrim dan yang bukan muhrim?

Jika kita semata-mata menjaga dan memupuk tubuh badan dan dijadikan keutamaan serta perlakuan seks menjadi matlamat dan penyudah kepada tujuan kewujudan ini, maka matlamat dan tujuan kelahiran manusia ke dunia ini adalah tidak bermakna dan tidak bererti apa-apa.

Jika tujuan hidup ini juga dijadikan aktiviti makan dan minum, bangun kemudian tidur dan sebagainya, maka apakah perbezaannya dengan anjing, lembu dan kambing? Berfikirlah dan kuatkan "Kuasa Perbandingan!".

Hidup yang semata-mata mengutamakan tubuh badan, namun apakah kurangnya dengan haiwan yang melata di muka bumi ini? Lembu kambing juga menguak dan menguap, bernafas masuk dan keluar.

Saudaraku pembaca yang dikasihi!

Kita semua patut menyoal diri... "Dari manakah aku datang? Dari apakah tubuh itu dicipta? Untuk tujuan apakah tubuh dicipta? Siapakah aku? Kenapakah aku dilahirkan sebagai manusia?"

Saudaraku!

Mereka yang tahu dan dapat menjawab prinsip tersebut, merekalah boleh digelar orang-orang yang cekap.... Ingat!

"Tanpa ilmu pengetahuan, semuanya adalah sia-sia."

Perlu diingat, "tubuh itu setiap saat menjalani proses perubahan.... Dari bayi kepada kanak-kanak, remaja, kemudian tua," semuanya sangat nyata berlaku di hadapan kita dan ianya berlaku kepada semua orang, ia berlaku siang dan malam sejak lama, tetapi bagi yang hendak memikir saja akan menyedari.

Dalam ertikata lain:

"Apa yang kita sedari, tubuh badan itu pada hari ini; ia tidak akan serupa lagi pada keesokan hari, bulan, tahun dan seterusnya lenyap dari muka bumi ini."

"Perlu diambil perhatian, bahawa 'tubuh badan' itu adalah tidak lebih sebagai 'saluran keluar' air kencing, najis, nanah, kahak, air ludah dan segala kekotoran."


'Tubuh badan' itu juga tempat menghuninya ulat-ulat, serangga, dan ia tempat 'penyimpan segala jenis penyakit' dan sebab itu "tubuh itu BUKANlah bersifat Kekal lagi Abadi."

Tubuh badan itu juga tidak ubah seperti 'pengangkut' yang berisi tulang, urat, saraf, darah dan daging, serta kerangka yang berbalutkan kulit. Namun perlu diberi perhatian dan keutamaan bahawa:

"Di tubuh yang berdaging, berurat, bersaraf, bertulang dan berlemak itu "terdapat sesuatu yang sangat SUCI, yang menggerakkan tubuh itu berjalan, ke sana ke mari, yang tidak diberi perhatian dan tumpuan sepenuhnya, yang mampu meninggalkan tubuh badan pada bila-bila masa, bila dikendakiNya."

Namun, walau sehodoh, seburuk, sehina mana sekali pun tubuh badan itu, ia tetap merupakan 'SUATU ALAT' untuk "menghubungkan kita kepada ALLAH, sebagai SATU TUJUAN dan MATLAMAT di akhir perjalanan hidup seseorang."

Kejarlah apa saja di dunia ini, "setiap kelahiran disudahi dengan kematian," sesuatu yang menakutkan sedang menanti di ambang pintu rumah kita. Kematian sentiasa menanti untuk meragut nyawa sesiapa saja.

Siapakah yang mahu mengira, yang telah datang dan yang telah pergi meninggalkan kita siang dan malam? Sedangkan ada yang usianya lebih panjang daripada nabi-nabi. Namun nabi dan rasul-rasul juga tidak terlepas dari kematian.

Anak, isteri, suami, saudara-mara dan segala kemewahan dan kemakmuran merupakan mahligai yang tidak terbatas di muka bumi ini.... Itu semua adalah dengan 'Rahmat Tuhan' jua. Namun, tiada manusia yang akan berpuas dengannya. Bagi yang sedang menjalani 'Ilmu Kerohanian', 'objek-objek' keduniaan itulah penghalang dan kekangan. Justeru, buatlah pelepasan dari pergantungan tersebut yang tidak akan membawa kita ke mana-mana, malah akan membuat seseorang itu dilanda malapetaka dan kepedihan, pastinya membawa kita semua ke neraka jahanam.

Pakaikanlah dan beri makan tubuh badan itu secara sederhana dan berpatutan sebagai suatu keperluan untuk buat seketika sewaktu di dunia ini, agar ia dapat kita manfaatkan untuk mengangkat kita tinggi ke jalan kerohanian, sebagai suatu tujuan dan maksud kelahiran seseorang di muka bumi ini.

Apa gunanya mengejar kegembiraan yang bersifat sementara, jika kelahiran itu tidak diketahui tujuan dan maksudnya, malah dilanda kegelisahan dan permasalahan.

"Semua keseronokan yang bersifat keduniaan adalah tidak ubah seperti 'pancaran kilat' dan kemudian lenyap begitu sahaja di hadapan mata. Atau umpama 'riak dan gelombang-gelombang kecil di permukaan lautan yang sentiasa saja berubah-ubah."

Demikianlah diumpamakan kepada tubuh badan itu yang nikmatnya hanya dapat dirasai buat seketika. Saudaraku pembaca yang budiman lagi dikasihi!...
"Cuba renung dan fikir-fikirkanlah!"

Mengetahui dan menyedari bahawa tubuh badan kita, isteri, anak-anak, saudara-mara dan semua mereka yang berada di sekeliling kita, semuanya akan lenyap dan musnah, dan kita sendiri yang menyelenggara dan memikul mayat mereka ke kubur....
"Namun itu semua tidak menjadi pengajaran dan menginsafi apakah sebenarnya erti hidup di dunia ini pada realitinya."

Sikap dan perangai tetap juga tidak berubah, walaupun kerapkali berlakunya kematian terhadap mereka yang telah mendahului kita. Tiada yang paling singkat di dalam hidup ini, adalah 'HAYAT' kita. Sedangkan waktu berjalan mengira hari, minggu, bulan, dan tahun, tanpa mengabaikan tugas dan tanggungjawabnya walau setiap saat: Sebab itu dikatakan:

"Sesungguhnya Manusia itu memang di dalam kerugian, kerana mengabaikan waktu.

Saat kelahiran seseorang adalah juga saat yang mengorak langkah kita ke arah kekuburan. Jangan mengabaikan waktu dan saat yang sangat berharga, kerana di saat kematian menjengah dan menjenguk kita, adalah tidak ubah:

"Seperti nelayan menarik naik jaring-jaringnya dan terdapat ikan-ikan yang tersangkut di jaring saling berusaha untuk melepaskan diri, tetapi tiada daya, lesu, lemah, terjerat dan tercekik."

Oleh itu ambil peluang, sekarang, saat ini juga, jangan bertangguh lagi, gunakanlah tubuh badan itu sebaik-baiknya bagi memenuhi maksud dan tujuan kelahirannya.

Kewujudan tubuh badan kita bukanlah atas usaha susah payah ibu bapa kita, demikian sebaliknya. Kita hanya ditakdirkan dan bertuah menjadi manusia tanpa diminta dan diduga.... Justeru, janganlah diabai, disia-siakan begitu sahaja akan maksud dan tujuan 'PENCIPTA'.

Seseorang yang suka menangguh-nangguhkan waktu adalah orang yang jahil dan bodoh kerana melepaskan peluang keemasannya dan menyangka akan hidup bernafsu lagi di alam selepas kebangkitan.

Sedangkan ada pepatah menyatakan:

"Bahawa di dunia inilah contoh di akhirat."

Jika tiada sedikit pun kebaikan yang dapat kita lakukan di dunia ini lagi, apakah akan terjadi di dunia satu lagi bila kita ditempatkan di sana kelak. Pastinya perangai, sikap dan tabiat kita sama.... Justeru, jangan dimimpikan!...

Kini kita boleh lihat dan saksikan, kelahiran yang sia-sia atau dalam ertikata lain, pembuangan bayi di sana sini boleh diumpamakan seperti kata pepatah:

"Air mani Si pendosa, Si lelaki berkeliaran di sana sini dan muncul di pintu rahim perempuan, menjadi sekujur tubuh manusia yang tanpa haluan arah dan tujuan."

Banyak lagi peristiwa pelik akan muncul dan berlaku, lebih liar, akan berkeliaran berupa manusia, tetapi lebih buas daripada binatang, tetapi langsung tidak mempunyai 'ikhsan' dan 'kasih sayang'.

Pelbagai jenis 'spesis' telah diciptakan.... "Tetapi 'MANUSIA'lah suatu ciptaan bagaikan 'mahkota' dari segala ciptaan." Hanya 'manusia'lah yang mampu berfikir...
"Siapakah yang menciptanya? Dari apakah ia terjadi?" Dan sebagainya.

Lain-lain spesis tidak memahami apa-apa. Mereka dilahirkan, kemudian 'MATI'... Tanpa perlu faham erti "esok, hari ini, dan hari lampau." Atau tiada perlu mengetahui bahawa wujudnya "YANG MAHA BERKUASA."

Jika kita asyik berseronok dengan kelahiran tubuh badan itu, dan menjaga serta menghias tubuh itu secara melampau-lampau dan mengejar kekayaan dunia, natijahnya:

"Kita sendirilah yang akan menerima penderitaannya."

Tahukah kita semua, kesempurnaan hidup selaku manusia adalah "kita perlu mendapatkan: Ilmu Pengetahuan yang tertinggi: Iaitu 'MENGENAL AKAN HAKIKAT DIRI SEBENAR DIRI," sehinggalah ke pernafasan kita yang terakhir.

Dalam ertikata lain:

"JANGAN MENDUAKAN TUHAN" (Realization of Non-Duality). "Itulah tujuan kehendakNya Tuhan."

Ingat!...

"Sembahlah Tuhan dengan Ilmu Pengetahuan, beserta 'ROH', 'JIWA', dan 'HATI'.

Jika sembahyang yang dilakukan dirasakan telah sempurna, tetapi tetap 'menduakan Tuhan', itu ertinya kita belum lagi dapat mengnyahkan 'Keegoan dan Kejahilan' kita yang merupakan kekangan dan halangan untuk khusuk dan tawaduk.

Perlu diingat!

"Ilmu pengetahuan dan kejahilan, kedua-duanya masih lagi 'bersifat akal!' yang masih lagi mampu membuat seseorang itu berilusi dan membuat kesilapan."

"Oleh itu nyahkan 'Kejahilan' kerana ada pepatah mengatakan:
Adalah lebih baik mati dari hidup dalam Kejahilan."


Saudaraku yang dikasihi!

Ketahuilah sebenarnya setiap kelahiran punya tujuan; Tujuan Utama 'Kewujudan' kita manusia adalah: "Kita mesti mampu pergi melampaui 'Ilmu Pengetahuan dan Kejahilan' agar kita dapat capai tahap.... 'INSAN KAMIL MUKAMIL'.... 'Insan Yang Suci Lagi Sempurna'."


From Empty Hands,
A. Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
016-602 0321

26 JUNE 2011

Next Topic: 1. "Health Care Is Not A Business"

2. "Istilah Berkahwin Dan Masalah Dalam Perkahwinan"