Tuesday, August 3, 2010

GUNAKANLAH LIMA PANCAINDERA SECARA BETUL DAN BIJAKSANA

'TUBUH BADAN'kita terjadi dan terbina daripada 'empat anasir', iaitu 'Tanah', 'Api', 'Angin' dan 'Air', dan ia pasti akan 'hancur' suatu hari nanti. Justeru, janganlah disalahgunakan tubuh badan, gunakanlah ia bagi tujuan yang berguna dan suci.

Tubuh badan kita itu banyak 'pintu'. Tetapi 'pintu deria'
kita seperti; 'Telinga, Mata, Mulut, Hidung, dan Kulit(sentuhan)', sangatlah penting. Jangan dibiarkan ia dimasuki oleh segala 'kejahatan' ke dalam 'tubuh badan dan akal', melalui pintu-pintu tersebut.

Keselamatan dan kesucian 'lima deria' dan 'tubuh badan' itu bergantung kepada kita manusia selaku 'penggunanya'. Di dalam dunia ini, kita manusia 'terikat dengan tindakan dan perilakunya'. Kita tidak boleh hidup tanpa tindakan. Biarlah segala perilaku dan tindakan kita itu merupakan 'ibadah kepada Tuhan'.

Tubuh badan yang dicipta itu adalah bertujuan untuk digunakan bagi "berkhidmat dan berbakti untuk masyarakat"... Kerana setiap individu pada dirinya "ada hak masyarakat", bukannya untuk 'kepentingan diri'.

Bercakap mengenai '5 deria' yang dimiliki oleh setiap individu, perlu kita semua ketahui bahawa ia merupakan ... "pintu pengertian dan penyengutuan", dan ia juga merupakan "tingkap ke alam realiti".

"Apakah MATA itu?"
"Apakah TELINGA itu?"
"Apakah MULUT itu?"
"Apakah HIDUNG itu?"
"Apakah SENTUHAN itu?"


Semuanya itu merupakan "pintu atau tingkap" untuk "menuju ke alam realiti".

Contoh:
Kalau kita betul-betul tahu dan pandai menjaga kesuciannya - MATA, contohnya - Kita akan dapat 'melihat' apa yang tidak dapat dilihat oleh orang lain. TELINGA, - Kita akan dapat
'mendengar' apa yang tidak didengari oleh orang lain. Demikianlah deria yang lain-lain itu.

Justeru, janganlah kita berjalan dengan 'mata' yang 'tertutup'... Lihatlah dan pandanglah betul-betul. Mata atau telinga, janganlah ia dirosakkan, kerana apa yang dilihat atau didengar, semuanya "tersirat rahsia ketuhanan"yang sangat halus.

Bunyi-bunyi burung juga merupakan 'zikirullah'. Pokok-pokok juga menyampaikan 'khutbah' secara senyap. Banyak lagi yang bersifat 'ghaib', yang tidak kita ketahui kerana semua 'deria' kita telah 'tercemar'. Justeru, jika kita tidak punya 'sensitiviti', mana mungkin kita tahu "Keagongan Tuhan?"

Untuk mencapai tahap 'kesucian' dalam 'memandang', 'menghidu', 'merasa', dan 'menyentuh' - semuanya perlu 'dijaga' dan 'dikawal', kerana; Sekali lagi saya ingatkan bahawa "kesemua deria itu adalah merupakan TINGKAP atau PINTU ke alam pengertian yang sangat dalam".

Kerana 'kejahilan' kita itu, maka deria kita itu telah membuat kita menjadi bosan, GUGURKAN 'kebosanan' begitu. 'Suci' dan 'bersihkanlah' ia.

Semua deria kita itu adalah umpama 'CERMIN' yang berkabus, berdebu dan berhabuk. Maka semua itu perlu 'dibersihkan'. Jika kita sudah benar-benar dapat membersihkannya, maka:

"Sentuhlah apa saja secara total sehingga kita benar-benar meyakini yang kita sentuh, pandang, dengar, hidu, dan rasa - semuanya bertukar menjadi IBADAH".

Sentuhan, penghiduan, rasa, lihat dan dengar - jika dihayati secara sesungguhnya, ia... "punya bahasanya yang tersendiri", dan ia perlu dipelajari bahasa itu. Kerana, masyarakat di sekeliling kita masa kini 'jahil' tentang 'bahasa' tersebut, dan telah
'melupakannya'.

Setiap kanak-kanak dilahirkan dengan 'derianya' yang sangat indah. Perhatikan kanak-kanak kecil - bila ia 'melihat' sesuatu. Ia benar-benar 'menyerap' dan 'melekakan'; bila ia bermain-main dengan anak-anak patung, ia benar-benar menyerap, leka dan terpaku.
Dalam erti kata lain:

Bila ia 'melihat', ia benar-benar menjadi 'MATA';
Bila ia 'mendengar', ia benar-benar menjadi 'TELINGA';
Bila ia 'makan' sesuatu, ia benar-benar 'berada di lidahnya' - "ia jadi 'perasa' itu sendiri".

Lihat bila ia memakan buah epal, dengan penuh semangat dan kesungguhan! Dengan penuh tenaga! Lihat juga bila ia berlari ke sana ke mari dengan penuh keseronokan dan kesungguhan... Tanpa usaha dan disuruh.

Perhatikan juga bila ia bermain di pantai - mengutip siput-siput, cengkerang, seolah-olah ia mengutip 'berlian'. Semua padanya sangat 'bernilai', apabila derianya benar-benar hidup. Semuanya kelihatan jelas dan terang. Ingat! Semuanya akan kelihatan telus, jelas, dan terang, apabila deria kita itu benar-benar 'hidup'.

Tetapi tidak lama selepas itu, budak yang sama seperti kita semua, apabila membesar; bila kita melihat realiti alam yang sama, seolah-olah kita dilindungi oleh cermin yang sangat gelap, banyak debu dan habuk berkumpul di permukaan cermin. Kita 'terselindung' dan 'terhijab' oleh debu-debu tersebut. Kerana itu semuanyalah, apa jua yang terlihat dan dilihat menjadi beban kebosanan, bosan, bosan dan mati.

Bila kita melihat pokok-pokok itu kelihatan membosankan, kerana mata kita itu telah bosan.

Bila kita mendengar bunyi muzik atau nyanyian, tiada tarikan langsung kerana telinga kita telah bosan. Kita langsung tidak tahu hendak menilai dan menghargai; kerana 'kebijaksanaan' kita itu juga telah bosan.

Saudaraku pembaca yang budiman lagi dikasihi!

Buatlah 'penebusan semula' terhadap 'bahasa deria' yang telah lama kita lupakan; boleh dikatakan 99% di antara kita mengalami sindrom seumpama itu. Malah boleh dikatakan 'jahil' langsung, suatu cara atau teknik yang mudah bagi kita memenuhi 'sunnah' agama dengan mendalami dan menghalusi fungsi-fungsi deria.

Berilah masa, jika kita ada masa. Selalulah berada di dalam 'deria kita'masing-masing.

Contoh:

Kalau makan; jangan makan begitu saja. Cubalah belajar bahasa yang telah lama kita lupakan, atau memang kita tidak tahu langsung bahawa pada makanan yang sedang kita makan itu 'ada bahasanya' yang tersendiri. Ianya adalah 'bahasa rasa' dan 'sentuhan'.

Sentuhlah roti tersebut, rasakanlah 'texture'nya, jalinan adunan, rupa, warna dan asal usul roti tersebut. Rasa dan nikmatilah dengan mata yang luas terbuka dan rasakanlah juga dengan mata yang tertutup.

Semasa mengunyah makanan, kunyahlah semampu selama yang mungkin agar dapat membantu usus mengeluarkan kadar asid yang sepatutnya dan memudahkan penghadaman. Ingat! Ada kata-kata yang sangat tua mengkhabarkan:

"Seseorang yang tidak mengunyah dengan betul makanannya,
merasa dengan betul makanannya, dikatakan mereka tidak
menghormati makanan yang dimakannya. Kerana setiap kunyahan
adalah dianggap ibadah. Dan dari kunyahan tersebut akan terbit
dan membangkitkan kesedaran baru di dalam diri seseorang."


Sentuhan seperti bersalam, bersalamlah sebanyak yang mungkin. Ada orang tidak suka bersalam dan disentuh. Ia mudah rasa tersinggung dan mengundurkan diri bila seseorang itu datang manghampirinya. Seolah-olah kita buat sempadan untuk kita. Kita tidak mahu menyentuh dan disentuh, jauh sekali memeluk, kerana kita tidak suka atau sebagainya. Itu semua kerana kita sudah hilang 'deria sentuhan'.

Pergi mendekati sepohon pokok, sentuh pokok itu. Sentuhlah batu-batan itu, pergilah ke sungai-sungai, letakkan tangan kita di air yang sedang mengalir. Rasakan air tersebut sebagaimana... ikan-ikan menikmatinya. Saya nasihatkan!.. Jangan lepaskan peluang untuk menghidupkan semula kelima-lima deria kita masing-masing.

Ada 'seribu satu cara' , ada 'seribu satu peluang', untuk kita dalam tempoh 'dua puluh empat jam'.

Dalam ertikata lain:

"Sehari suntuk itu adalah tempat melatih sensitiviti kita masing-masing."

Gunakanlah segala peluang tersebut, sedang kita bersiram di dalam bilik air - ambil peluang tersebut!.. Rasa dan nikmati sentuhan air yang jatuh ke atas badan kita. Baringlah di pantai, di padang, rasakan bumi tempat kita berbaring itu, lihatlah dada langit yang terbentang luas itu dengan pancaran matahari yang sedang menyimbahkan cahayanya di seluruh pelusuk dunia yang asalnya gelap gelita tanpanya. Rasakan pasir-pasir halus di pantai, yang menyentuh badan kita, dengarkan bunyi-bunyi pasir tersebut. Dengarlah bunyi ombak-ombak kecil dan besar.

Gunakanlah setiap peluang, peluang yang tidak akan dapat kita 'rasa', 'pandang', 'hidu', 'dengar' dan 'sentuh', bila "nyawa sudah bercerai daripada badan".

Nanti barulah kita tahu dan pelajari bahawa "wujud bahasa deria".Itu pun hanya boleh kita faham bila tubuh badan itu benar-benar hidup dan seluruh deria kita dapat merasainya.

Nasihat saya:

"Bebaskanlah diri itu dari tabiat lama; Tabiat itulah 'punca atau akar umbi kepada kebosanan'. Cari cara baru seperti yang telah saya terangkan di atas tadi. 'Ciptalah suatu kasih sayang yang baru', secara meluas dan mendalam. Tetapi kita manusia memang penakut untuk mencuba sesuatu yang baharu."

"Selamat Membaca, Merenung dan Memikir!"


From Empty Hands,
A.Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
016-6020321

4 JULY 2010

Next Topic: 1. "The Body The Senses Is Marvelous. It Is The Greatest Of Mystries"
2. "Sedikit Nasihat Bagaimana Ingin Jadi Murid Kepada Guru Ketuhanan"