Tuesday, August 17, 2010

MEMAHAMI KONSEP BAI'AH - PERJALANAN DAN SEJARAHNYA

Ada yang bertanya tentang "nilai-nilai orang yang berbaiah"
Walaupun anda yang bertanya, pertanyaan anda sebenarnya "mewakili semua umat Islam yang menganggap dirinya berada di dalam sebuah negara," di antara salah satu negara yang terdapat di peta dunia iaitu Malaysia.

Moral atau nilai-nilai yang mesti ada pada orang-orang yang telah
berbaiah adalah seperti sabda Rasulullah S.A.W:

"Marilah, berbaiahlah kepadaku bahawa kamu tidak akan mensyirikkan Allah
dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh
anak-anak, (tidak minum arak, tidak membawa cerita-cerita fitnah,
berbohong di hadapan atau di belakang kamu, dan tidak mendurhakaiku
dalam kebajikan.)"


Barang siapa yang 'terlanggar' sesuatu daripadanya lalu "dihukum semasa di dunia", maka itu adalah sebagai 'penebusnya'(kiffarah).

Baiah ada peristiwa dan kisahnya. Baiah secara ringkasnya, ia merupakan: "Perjanjian damai atau sumpah setia yang berlaku di antara Nabi Muhammad S.A.W dengan beberapa orang penduduk Yatrib (nama lama Madinah Al-Munawarrah) yang datang menemui baginda di sebuah tempat atau bukit bernama Aqabah". Bukit itu terletak beberapa kilometer di utara Kota Mekah, iaitu berdekatan dengan Mina.

Kita jangan keliru, kerana terdapat sebuah perkampungan di Timur Laut Tebing Barat Palestin, juga dikenali sebagai Aqabah yang telah dirampas daripada penduduk Palestin untuk dijadikan sebuah kem tentera besar oleh rejim Israel.

Sebuah bandar di selatan Jordan juga bernama Aqabah. Di samping kita menyebut Aqabah iaitu perbuatan ibadah haji: "Melontar batu di Jamrah yang ketiga iaitu 'Jamrah Al-Aqabah'".

"PERJANJIAN AQABAH", merupakan perjanjian pertama antara baginda dengan mana-mana pihak, sama ada dari dalam mahupun luar Kota Mekah. Ia melibatkan "satu persefahaman untuk memberi ketaatan kepada Rasulullah".

Namun dari aspek sosial dan politik penduduk Arab, "melakukan perjanjian damai antara kabilah dan sebagainya" adalah biasa dilakukan. Telah menjadi adat dan tradisi, mereka saling menyatakan "sumpah setia kawan" atau "bersahabat baik bagi mencapai pelbagai tujuan dan matlamat tertentu."

Namun yang paling penting...
Kedua-dua belah pihak yang membuat 'perjanjian' ini, "ikhlas untuk berbaiah", iaitu bukan kerana "dipaksa atau sebagainya".

Saudaraku pembaca!..

Namun apapun "perjalanan sejarah" atau "sirah Nabi Muhammad S.A.W", sama ada sukar atau mudah untuk diikut, amat penting untuk kita ketahui. Malah kalau dapat didalami dan dikaji dengan lebih mendalam dan dihayati... Itu adalah lebih baik.

"PERISTIWA PERJANJIAN AQABAH"

Perjanjian Aqabah merupakan susulan selepas "enam orang penduduk Yatrib memeluk Islam pada musim Haji tahun ke 11 Kenabian". Mereka berjanji kepada baginda untuk menyampaikan... risalah Islam di kalangan kaum mereka apabila pulang semula ke Yatrib.

Hasilnya, pada musim Haji berikutnya , iaitu pada musim "Haji Tahun Ke 12 Kenabian", bersamaan Julai 621(M). Datanglah seramai 12 orang lelaki, termasuk 'lima' orang yang menemui baginda sebelum ini.

'Lima' daripada 'tujuh' orang muka baru yang menemui baginda itu terdiri daripada 'suku' atau 'kabilah Al-Khazraj', manakala yang 'dua' lagi 'suku Aus'. Mereka bertemu dengan baginda di 'Bukit Aqabah', bagi "memeterai satu perjanjian" yang dikenali sebagai "PERJANJIAN AQABAH" iaitu, "Baiah Aqabah".

Bahawa Rasulullah bersabda:

"Marilah! 'berbaiahlah kepadaku', bahawa kamu tidak "mensyirikkan Allah" dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak kamu, tidak minum arak, tidak membawa cerita-cerita fitnah dari hadapan dan dari belakang kamu, dan tidak menderhakaiku dalam kebajikan."

"Barang siapa yang 'terlanggar' sesuatu daripadanya, lalu dihukum sewaktu di dunia lagi, maka itu adalah sebagai 'penebusnya' (kiffarah)."

Namun, jika sesiapa yang "terlanggar akan perjanjian ini" dengan melakukan perkara yang kita sama-sama "berjanji untuk tidak melakukannya", tetapi "ditutupkan oleh Allah" daripada pengetahuan manusia, maka urusannya "terserah kepada Allah". "Jika 'Dia' mahu, 'Dia' akan menyeksakannya, dan jika 'Dia' mahu, 'Dia' akan mengampunkannya".

Ubadah pun berkata:
"Lalu kami pun membaiahnya atas perkara yang disebutkan oleh Rasulullah itu."

Di antara 'dalil naqli' mengenai 'baiah' yang termaktub di dalam Al-Quran, surah 'Al-Fath, ayat 10', yang berbunyi:

"Sesungguhnya orang-orang yang 'baiah' (berjanji setia, patuh) kepada engkau ya Muhammad, hanya sebenarnya "mereka BAIAH KEPADA ALLAH." Tangan Allah di atas tangan mereka. Barangsiapa yang melanggar baiah itu, maka pelanggarannya itu atas dirinya sendiri, dan barangsiapa yang menyempurnakan (menepati) apa yang telah dijanjikan kepada Allah, maka Allah akan memberikan pahala yang besar kepadanya."

'Baiah' atau "perjanjian taat setia" adalah merupakan "Perjanjian Aqabah", iaitu "Perjanjian Pertama" antara baginda dengan mana-mana pihak, sama ada dari dalam mahu pun luar 'Kota Mekah'. Ia melibatkan satu persefahaman untuk memberi ketaatan kepada Rasulullah."

Namun, yang paling penting, kedua-dua belah pihak yang membuat perjanjian itu mestilah 'IKHLAS' untuk berbaiah, iaitu "bukan kerana 'dipaksa' atau sebagainya."

"Ketaatan adalah terikat dengan hukum syar'i", membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang," seperti firmanNya dalam surah Ali-Imran, ayat 104:

"Hendaklah ada di antara kamu umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan maaruf (yang baik), dan melarang dari yang mungkar dan mereka itulah orang yang menang."

FirmanNya lagi, surah Ali-Imran, ayat 110:

"Kamu adalah umat yang terbaik dilahirkan untuk manusia, kamu disuruh kepada yang maaruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah."

Riwayat daripada Abdullah bin Omar:
Ertinya:
"Kami dahulu ketika "membaiah Rasulullah" untuk mendengar dan membaiahnya. Selalu beliau mengatakan kepada kami, FIIMASTATHA (Dalam hal yang dapat kamu kerjakan)".

Riwayat Jarir bin Abdullah:
Ertinya:
"Aku membaiah Nabi S.A.W. Untuk mendengar dan mentaati, seraya beliau menuntutku mengucapkan, FIIMASTATHA'TU (Dalam hal yang dapat aku kerjakan). Juga agar selalu memberi nasihat kepada setiap muslim."

Hadis: H.r. Ahmad:

"Tidak ada (kewajipan) taat dalam melakukan kemaksiatan kepada Yang Maha Pencipta (Allah)".

"Orang-orang yang telah membaiah adalah orang-orang yang memegang amanah dan rahsia."

Seperti firman, Surah Al-Anfal, ayat 27:
Ertinya:
"Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu mengkhianati (AMANAH) Allah dan RasulNya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu. Sedangkan kamu mengetahui (salahnya)."

FirmanNya lagi, Surah An-Nahl, ayat 125:
Ertinya:
"Ajaklah manusia ke jalan Tuhanmu, dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bermujahadahlah dengan mereka, dengan cara yang baik."

Demikian, sedikit ulasan untuk direnungkan bersama, dan banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang menerangkan tentang 'baiah' (janji setia) itu. Jika dipetik dan dipanjanglebarkan, akan hanya jadi bahan bacaan, bukannya amalan.

Kerana pada asas dan dasarnya, "sesiapa saja yang mengaku dirinya Islam secara tulen" dan "setiap kali mereka membaca Al-Quran seluruhnya atau surah Al-Fatihah setiap kali sembahyang, pasti ia terasa sumpah dan janji setianya kepada Allah dan Rasul, sama ada ia berbohong atau sebagainya."

"Di universe ini, benua Islamlah yang paling banyak" (rujuk peta), "mana pergi janji setianya kepada Allah dan Rasul?" Setiap lima waktu, semua umat Islam seluruh dunia menunaikan solat lima waktu, bertakbir ALLAHUAKBAR!.. Allah Maha Besar!.. Itu semua hanya di bibir.

Begitu juga di negara kita yang kecil ini, bergelar Malaysia, lokasinya hanya di penjuru alam. Masjid, surau bertaburan di sana sini. Apa pun di mana pun lokasi masjid atau surau itu berada, ianya mesti menuju ke arah... 'SATU KIBLAT', 'SATU WAKTU', 'TUHAN YANG SATU'. "Bacaan yang sama, tingkah laku yang sama, dalam sembahyang." Di dalam masjid saja "kita merapatkan 'saf', tubuh badan nampak bersatu!... Hati kita tidak pernah hendak bersatu." Ayat-ayat Al-Quran yang diceramah, dikhutbahkan, dingajikan, hanya dikitar-kitar semula... 'parrot like'.

Sidang pembaca yang dikasihi!

"Siapakah yang berani menafikan tulisan saya ini?.." Kecuali 'orang buta' dan 'pekak' saja akan berani mengatakan:

"Bahawa di dunia ini tidak pernah wujud 'cahaya matahari'" (buta).
"Bahawa di dunia ini tidak pernah terdengar wujudnya 'irama' atau 'melodi' menyeru ke 'arah penyatuan'" (pekak).


Tahukah saudaraku yang budiman?

"Apakah yang sedang berlaku terhadap 'umat Islam' di tanah air kita sendiri yang tidak sebesar mana, yang boleh kita banggakan? Apakah yang sedang digelutkan oleh "orang-orang Melayu yang menggelarkan dirinya Islam?" Tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah, tomahan, membuka pekung sesama sendiri, cucuk-mencucuk, iri hati, hasad dengki, cemburu, jatuh-menjatuh, tindas-menindas, tamak-haloba, pecah amanah, bercakap bohong, pendusta, tipu-menipu, tidak amanah, mementingkan diri, masalah sosial semakin menjadi-jadi, Melayu semakin miskin dan terpinggir?"

Bukankah mereka itu semua, apabila sampai waktu, akan masuk ke dalam masjid dan bersembahyang, berzikir, bertasbih dan bertahmid?
"Bukankah bertahmid, bertakbir itu suatu janji kita kepada Yang Maha Suci?..." Tetapi mengapakah berlaku sebaliknya?...

Ada kata-kata yang sangat tua mengatakan:

"Di dalam sebuah universe, jika tiada 'Kiblat', maka tidak akan ada Tuhan. Di dalam sebuah benua yang punya negara, negeri, daerah, kampung, jika tiada masjid atau surau, kita boleh gambarkan sosio-masyarakatnya. Sedangkan seluruh negara kita, setiap kampung, bandar, daerah, negeri dan negara, penuh dengan masjid; tetapi semua 'Melayu Islam', keadaan pegangan agamanya 'sudah berkisar', walaupun pangkal tempat bertolak masih tetap di situ juga."


Bagi menjawab soalan seterusnya, daripada Bumi Nan Basah, seperti di bawah:

"Mengapakah Perkara-Perkara Negatif Berlaku Setelah Berbaiah?"

"Apakah Langkah-Langkah Yang Perlu Diambil Untuk Mengatasi Tersebut?"

"Apakah Pengisiannya Bagi Orang-Orang Yang Telah Mengaku Dirinya Dibaiah?"

Untuk makluman Saudara Bumi Nan Basah;

Ini saya perturunkan, "RUKUN BAIAH DAN SASARANNYA", yang sebanyak sedikit dapat menjawab kemusykilan yang terpaku di hati masing-masing.


"SALAM" - "AKAD JANJI SETIA (BAIAH)"

1. "Kehormatan dan maruah sebenar antara kita ahli baiah," terletak dalam genggaman kita masing-masing, iaitu 'bersalam'.

2. Kita "mesti mengharung kegembiraan dan malapetaka bersama." Kita memang saling memerlukan antara satu sama lain, di mana kita boleh saling berkomunikasi "perasaan dan Hati."

3. Sakit pening, kedukaan dan kegembiraan, "janji setia dalam persahabatan," akan membuat kita selalu di samping masing-masing untuk menempuh jalan keras dan sukar yang menanti kita di hadapan.

4. "Sasaran Baiah" adalah "Ke Lubuk Hati", ertinya: "Dari Hati Ke Hati". "Baiah mesti terikat dan diikat di antara 'Dua Hati'" dan memberi kesan yang sangat baik untuk faedah bersama.

5. Apa jua yang akan terhalang, akan dihadapi bersama; Suka duka, untung rugi, "tetap utuh dan teguh dalam apa jua keadaan".

6. Saling tegur-menegur, nasihat-menasihati, sanggup menerima kritikan dan komen, antara satu sama lain, dan juga daripada "orang luar".

7. "Memperbaiki dan ingin memperelok sesuatu", "mesti bermula daripada Diri Sendiri". Teguran dan nasihat mesti terus saja mengalir untuk memperbaiki keadaan.

8. Sentisa saja "berhati-hati dan berwaspada, jangan ada di antara kita tergelincir dari sifat-sifat "ketaatan dan kesetiaan".

9. Mengelak dari"tabiat buruk", suka mementingkan diri, dan mempunyai "niat yang terselindung", yang mempunyai unsur-unsur jahat, seperti "ingin memecah-belahkan jemaah."

10. Saling "memegang amanah", dan meletakkan "pergantungan kasih sayang antara satu sama lain."

11. Tahu menghormati "setia kawan", dan menjaga maruah kawan, emosi dan mentalnya.

12. "Menjauhi perasaan angkuh dan sombong", senda gurau yang melampau dan menyakitkan hati.

13. Ahli 'baiah' bukanlah sebarang kawan yang berkaitan dengan sosial dan status kewangan. Ikatan 'baiah' adalah "Ikatan Dalaman Kerohanian".

14. Perasaan orang-orang yang "telah baiah", dalam janjinya "mesti meresap, dan berfungsi masuk ke pembuluh dan saraf, di setiap sel darah, lalu mampu menyucikan setiap gelombang perasaan."

15. "Tidak ada niat menipu", untuk "orang yang telah berjanji setia" dalam mengangkat martabat persahabatan. Malah "kemuliaan taat setialah" yang dijunjung tinggi.


Disediakan Oleh:
TOK AYAH HJ. A.RAHMAN BIN MAHADI
JOHOR



"MENGAPAKAH RAMAI ORANG-ORANG DI LUAR SANA BERKELAKUAN BURUK SETELAH MENGANGKAT BAIAH?"

Untuk pengetahuan saudara Bumi Nan Basah, bagi 'memahami' definisi 'BAI'AH', adalah merupakan "AKAD PERJANJIAN":

"Sama ada dengan menghulurkan tangan 'bersalam', melalui surat, melalui percakapan, atau sebagainya."

Tetapi 'baiah' yang tidak berlandaskan ajaran Al-Quran atau sunnah dan mengikut sirah; Semuanya adalah "hampa dan terbatal".

Seperti apa yang jelas di negara kita Malaysia sekarang ini. Terdapat kumpulan-kumpulan kecil dengan pelbagai jenama, mereka dikatakan juga sebagai orang-orang yang baiah, kumpulan-kumpulan yang menamakan dirinya seperti: '77' (Double Seven), 'Merah', '360'. Kini timbul pula kumpulan-kumpulan Kucing: Seperti 'Kucing Hitam' atau sebagainya. Memang tidak dinafikan, sesiapa sahaja boleh dengan sewenang-wenangnya mewujudkan apa jua kumpulan.

Seperti kumpulan-kumpulan samseng juga punya jenamanya tersendiri. Tetapi "apakah asas dan tujuannya?"

Kalau yang 'berbaiah' dan 'membaiah', mempunyai ilmu pengetahuan seperti yang disarankan oleh firman Tuhan di dalam surah Al-Fath, ayat 10:

"Mengapa mereka menggelarkan diri atau kumpulan mereka yang tidak termaktub pun di dalam Al-Quran dan Al-Hadis?.." Cuba fikirkan!!!...

Orang-orang yang 'berbaiah' adalah "orang yang ditugaskan" seperti firman Tuhan; Ali-Imran, ayat 104:

"Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, mereka itulah orang-orang yang beruntung."

Tetapi mengapakah berlaku sebaliknya? Sehingga masyarakat di luar sana memandang serong terhadap orang-orang yang sudah berbaiah - Mereka dianggap 'gengstar', 'pemabuk', 'kaki perempuan', 'penarik kereta', 'suka bergaduh', 'bertelingkah, 'bergaduh sesama sendiri', 'membuang masa', 'menyusahkan kerajaan dan pihak keselamatan'.

Kalau pembaca hendak tahu kepada persoalan tersebut:
"Mereka semua telah termakan sumpah oleh sumpahannya sendiri."
Dalam ertikata lain, ada pepatah mengatakan:

"Kalau kita beribadah, kita termakan fitnah oleh amal ibadah kita sendiri."

Mengenai 'kewujudan' yang menggelarkan dirinya; "Ayahanda", "Paduka Ayahanda", di sana sini, macam cendawan tumbuh, tahukah mereka akan fungsi dan natijahnya? Mereka tidak ubah seperti kata pepatah:

"Dalam sebuah kapal, tidak boleh ada banyak 'Nakhoda' (Keptan), tetapi apa sudah jadi; Di sana sini telah wujud banyak 'Keptan'. Maka apakah akan terjadi kepada kelasi-kelasi di dalam kapal tersebut?"

Untuk pengetahuan sesiapa saja yang bergelar "Ayahanda" atau "Khalifah", dari apa kumpulan sekalipun. Sebab itu Nabi melarang terlampau banyak "Khalifah" (Keptan). Seperti apa yang berlaku sekarang ini, di merata pelusuk negara, "tanpa memahami sirah atau cara" mengurus urusan umat.

Oleh itu, Nabi dalam hadisnya, telah menegur untuk umatnya akan datang.
Ertinya:
"Akan muncul banyak "Khalifah" Ayahanda)."

Memang benar pesanan Nabi tersebut - Kini telah wujud "Ayahanda" di sana sini, yang tidak senada dan tidak sekata:

Kita umat Islam, kini hanya tinggal pada namanya saja. Bagaikan "umat yang telah mati", tetapi bangkainya masih ada.

Saya ingin mengingatkan kepada semua "Ayahanda" yang sedia ada, dan yang bakal menjadi "Ayahanda"; "Berhentilah, cukuplah, tidak usah mengeruhkan lagi keadaan umat yang sudah tidak tentu haluan arah perjuangannya. Jadi sajalah umat yang taat kepada hukum dan peraturan."

Jangan nanti akan timbul masalah:

"IMAM SAMA JEMAAH AKAN MENJADI SAMA BANYAK."

Seperti teguran Nabi:
"Di akhir zaman, akan muncul banyak 'Khalifah'."

Kalau kita bernama "Khalifah", bolehlah kita umpamakan:

"Allah telah memberi 'isi', yang 'seumpama telur'. Kalau kita pandai memperkembangkannya, ia akan menjadi orang, dan akan menetaskan 'baka' yang sempurna, dan umat yang baik untuk Agama, Bangsa dan Tanahair."

Jika tidak, "KITALAH YANG BERTANGGUNGJAWAB," kita 'melahirkan' "jentik-jentik" yang bakal menjadi nyamuk, 'menyedut darah' dan "meninggalkan penyakit sosial di dalam masyarakat."

Lahirkanlah mereka umpama "lebah yang menyedut manisan pada bunga,"
yang boleh bertukar menjadi 'penawar' kepada "setiap penyakit".

Kini permasalahan yang sedang kita hadapi bagaikan: "mencampuradukkan -'garam dan gula' di dalam 'satu balang' yang sama." Bagaimanakah rasa agaknya?...


"PERINGATAN KEPADA SEMUA AHLI BAIAH DAN YANG MEMBAIAH"

Peringatan kepada semua "AYAHANDA" yang "menerima baiah daripada ummat", anda adalah selaku 'IMAM' atau 'RA'IN'. 'IMAM' atau "AYAHANDA" mestilah mempunyai "dalil syarak" (As-Siyadah As-Syar'i) - "Kedaulatan Di Tangan Syarak".

Apapun aktiviti yang tidak didukung oleh 'dalil syarak' secara langsung, maka ia "tidak dapat diterima sebagai peraturan."

Untuk menjadi "Ayahanda" (IMAM atau RA'IN), mestilah mempunyai "Tiga Asas Penting". Jika "ketiga-tiga asas" itu "tidak ada pada diri" masing-masing selaku "Ayahanda", "Abang Long", "Abang Ngah", atau "Abang Chik", atau apapun "gelaran Abang"; Maka "struktur jemaah akan hancur", seperti apa yang telah berlaku di hadapan mata kita dewasa ini, yang menggelarkan 'diri mereka' "orang-orang yang telah dibaiah".

1. Islam mengajar, "Kedaulatan Di Tangan Syarak", BUKAN "Di Tangan Manusia". Dengan kata lain, "manusia diperhambakan oleh manusia lain", hukumnya adalah 'HARAM'. Sebab itu, "yang boleh memperhambakan manusia" hanyalah "ALLAH S.W.T."

Justeru, 'As-Siyadah As-Syar'i'- yang menjadi 'pengendali' dan 'penguasa' adalah "HUKUM SYARAK" bukan 'AKAL'. Maka seluruh urusan dikembalikan kepada "Hukum Syarak". Oleh itu, "tidak ada satu masalah pun yang terlepas" daripada "Hukum Syarak".

2. Bahawa sesiapapun akan mempunyai "kedudukan yang sama" di hadapan "Hukum Syarak", sama ada "Khalifah" ataupun 'Ummat', 'Penguasa' (Hakim), mahupun 'rakyatnya' (al-mahkum, dan kerana itu, "tidak ada seseorangpun" yang mempunyai 'Hak Immuniti' (Kekebalan Hukum) dalam "Pentadbiran Islam."

3. Bahawa 'Ketaatan Kepada "KHALIFAH" (Imam)' adalah "terikat dengan Hukum Syarak", dan BUKAN "ketaatan secara mutlak".
'Ummat' atau 'ahli baiah' hanya 'diwajibkan' untuk "taat kepada "Khalifah" apabila "ia melaksanakan 'Hukum Syarak'".
Seperti yang dinyatakan oleh 'Nas berikut':

'Tidak ada (kewajipan)' 'taat' dalam 'melakukan kemaksiatan' kepada "YANG MAHA PENCIPTA (ALLAH)."

Diingatkan: Jika terdapat "Ayahanda", "Paduka Ayahanda", "Abang-Abang", yang 'pemabuk', 'tidak sembahyang' 'kaki judi', 'pembuang masa', 'merompak', 'menyamun', 'memeras ugut', 'berantai leher', 'bergelang tangan', atau apa saja 'kemungkaran': Saya menasihatkan 'ahli jemaah' yang bergelar 'adik-beradik', jauhkanlah diri masing-masing agar 'tidak terjebak' di dalam "Kemurkaan Tuhan".

Seperti Hadis H.R Ahmad:

"Tidak ada (kewajipan) taat dalam melakukan kemaksiatan kepada "Yang Maha Pencipta (Allah)".


"SILA PANJANGKAN KEPADA 'SEMUA JEMAAH' DI SELURUH NEGARA, UNTUK RENUNGAN DAN PERINGATAN!!!"...



From Empty Hands,
A.RAHMAN BIN MAHADI
Labis, Johore
016-6020321

18 OGOS 2010 (Ramadhan)

Next Topic: 1. "The Body The Senses Is Marvelous. It Is The Greatest Of Mysteries"

2. "Takut Akan Mati - Merupakan Suatu Kuasa Yang Sangat Ditakuti"