Wednesday, March 24, 2010

MASALAH

Manusia dengan akalnya sentiasa saja berusaha untuk melakukan dua perkara yang mustahil.

PERTAMA:

Ia "cuba merubah sesuatu yang telah berlaku dan telahpun berlalu" - yang mana ianya adalah sesuatu yang mustahil. Ertinya, segala yang telah berlalu..., ertinya 'sudah mati' atau 'sudah tiada lagi'. Ingat itu!
Tiada siapa boleh masuk ke 'alam semalam', 'alam lampau'. Untuk pengetahuan, paling tidak pun, kita hanya mampu pergi ke 'alam memori'. Ingat! yang dikatakan 'semalam' - 'sudah tidak ada' di situ. Justeru, kita tidak boleh merubah apa-apa. Itulah salah satu perkara mustahil yang menjadi matlamat hidup manusia yang jahil - yang ke belakang atau yang mundur.

Manusia telah menderita dan mengalami kesengsaraan oleh sebab kejahilannya, dan tidak memungkinkan seseorang punya pemikiran yang boleh membawanya maju ke hadapan.
Kita manusia cuba merungkai - sesuatu yang telah berlalu - mana mungkin kita mampu melakukannya? Ingat!

"Yang lepas, lampau atau yang sudah berlalu, sudah jadi mutlak". Ingat itu!

Yang lampau ertinya; segala potensinya sudah habis, sudah tiada lagi. Justeru, maka tiada potensi untuk merubahnya, merungkainya. Maka tidak boleh berbuat apa-apa terhadap segala yang telah berlalu.


KEDUA:

Idea yang mustahil yang telah menguasai akal fikiran manusia adalah;
"Cuba membuktikan atau menentukan masa hadapan", satu lagi perkara mustahil. Fahamkan betul-betul:

Masa hadapan adalah "sesuatu yang belum lagi lahir" atau "belum wujud". Tiada siapa boleh dan cuba membuktikannya, yang juga tiada siapa mampu melakukannya. Dalam ertikata lain; yang dikatakan 'masa hadapan' (future), masih lagi bersifat 'terbuka'...(remains open). Masa hadapan adalah "sesuatu yang suci potensinya, masih lagi tidak terusik dan tercuit!"
"Yang lampau atau yang telah berlalu adalah mutlak". Ia sudah pun berlaku dan tidak ada apapun yang boleh kita olah dan dirungkai lagi.

Di antara keduanya, 'semalam' dan 'esok'; kita semua berada di tengah-tengahnya. 'Saat ini!' - 'sekarang!' "Esok bermula hari ini... saat ini". Maka buatlah sesuatu hari ini, saat ini. Dan di antara esok dan semalam, kita berada di tengah-tengah. Dan di tengah-tengah atau saat inilah kita manusia memikirkan perkara-perkara yang mustahil.

Ia cuba menentukan dan menetapkan masa hadapannya. Saya ingatkan, jangan habiskan waktu saat ini dengan mengingat-ingat dan menetapkan sesuatu yang mustahil.

"Esok belum pasti" - Itulah nilai yang sangat bernilai tentang hari esok. Dan juga jangan membuang masa menoleh ke belakang, ia telah pun berlalu dan sudah pun berlaku. Paling tidak, apa yang boleh kita lakukan adalah menterjemahkannya semula di ingatan atau memori itu. Itulah yang dilakukan oleh pakar 'psychoanalisis' (memeriksa dan merawat keadaan fikiran dengan cara menyelidik pergabungan unsur-unsur sedar dan tidak sedar).

Untuk makluman pembaca; 'menterjemah' memang boleh dilakukan - tetapi apa yang telah berlaku, tetap kekal berlaku.

Ahli astrologi, tukang tilik, juga cuba meramal hari esok, dan ia ramai pengikut. Ahli 'psychoanalisis' pula cuba untuk merungkai sesuatu yang telah berlalu.

Sama ada ia ahli Sains dan sebagainya, kita manusia memang suka pergi kepada 'tukang tilik' dan bertanya kepada 'I Ching', ada seribu macam cara untuk memperbodohkan manusia dan menipu diri sendiri.

Saudaraku pembaca!

Nasihat saya; gugurkanlah perkara-perkara karut begitu.
"Buatlah sesuatu saat ini - esok akan pasti wujud sesuatu".
"Kalau kita tidak menanam sesuatu hari ini, apakah akan wujud pada esok?"

"Jangan hancur dan musnahkan saat ini, inilah saat yang ada pada setiap orang,
maka manfaatkanlah ia."


Orang Barat, suka melihat kepada permasalahan, dan caramana hendak merungkainya. Orang Barat menganggap sesuatu masalah itu sebagai sesuatu yang sangat serius, bila diterima oleh akal logik dan ada ruang yang munasabah, maka logik tersebut dianggap betul dan sempurna. Bila kita mula memikir ke arah satu garisan, selari saja. Maka di garisan tersebut akan membuat kita kuat mempercayainya.

Yang tidak masuk akal dan mustahil, juga telah mempengaruhi seseorang.
Ingat saudara pembaca!

"Sebaik kita mengambil dan menganggap bahawa manusia itu punya masalah secara serius, itu ertinya kita telah mengorak langkah ke arah jalan yang salah".

Maka ramailah yang menuju ke arah tersebut dengan seribu macam masalah. Maka lahirlah 'fenomena', semua orang ingin menulis mengenai 'fenomena akal'.
Wujudlah pelbagai buku yang ditulis dengan panjang lebar. Ia bagaikan membuka 'pintu logik', dan "terpengaruhlah sesiapa yang membacanya".

Orang Timur yang arif lagi bijaksana, punya pandangan dan tinjauan yang berlainan. Pertama-tama padanya;... "Katanya tiada masalah yang dikatakan serius".
Pada masa ia mengatakan bahawa "semua masalah tidaklah serius" - "Semua masalah Sembilan Puluh Sembilan peratus mati". Seluruh visi kita berubah terhadap seluruh masalah tersebut.

Perkara Kedua; Orang Timur yang arif lagi pakar, mengatakan bahawa; "Semua masalah yang berada di benak masing-masing, kerana kita "tidak arif" atau "tidak tahu untuk menggugurkannya" dan ingat! "Ia tiada kena-mengena dengan hal-hal yang sudah lampau dan sudah pun berlalu", dan "ia juga tiada kena-mengena dengan sejarah lampau".
Cuma ia masih terpaku dan tersemat di akal masing-masing, yang dibawa ke sana ke mari hingga ke tidur.

Ingat!
"Itulah anak kunci bagi menyelesaikan segala permasalahan - jika kita arif dan bijaksana".

Tetapi kalau kita pergi ke pakar, seperti penganalisis akal - jika kita orangnya pemarah, nanti ia akan berkata:
"Pandang ke belakang, ingat sejarah, bagaimana punca masalah itu lahir atau timbul? Situasi yang bagaimana dan cara mana yang membuatkan kita marah, yang sudah terlekat dan terpaku buat sekian lama, nanti pakar tersebut akan mengatakan kepada kita, kita kena cabut segala yang sudah menekap lama. Kita kena hapuskan dan membersihkannya sehingga ke akar umbi."

Tetapi kalau anda jumpa orang Timur yang faham ilmu mistik, dia akan berkata:
"Kita fikir kita sedang marah, maka kita terbawa-bawa dengan amarah tersebut - Itulah silapnya kita". Orang mistik mengingatkan kita; Lain kali kalau kita sedang marah - jadi sahaja pemerhati kepada amarah tersebut, atau jadi saja penyaksi.

Seperti kita sedang menonton tv, saksikan saja. Lihat pada diri itu, bagaikan kita sedang melihat seseorang di hadapan kita. Memang ia tidaklah semudah itu, kecuali "orang-orang yang sudah celik mata hatinya" dan sudah benar-benar mengenal dirinya, mampu melakukannya.

Orang-orang yang sudah mengenal dirinya, adalah orang-orang yang kesedarannya sangat suci. Seluruh permasalahan yang sedang dihadapi oleh semua manusia adalah 'cuba membuat kerja mustahil'.

"Dua - tidak boleh tolak tiga" - Maka memang tiada jawapannya. Justeru, bagaimanakah kita hendak menyelesaikan seluruh masalah? Tetapi jika telah mempelajarinya, maka tidak timbul soal berapa banyak masalah kita, kerana kuncinya adalah:

"Anak kunci yang sama juga yang membuka mangga (padlock) yang sama".

Dalam ertikata lain, kita yang membuat masalah, maka kitalah yang kena selesaikan masalah tersebut.

Pergi ke hari yang lampau setelah 31 tahun berlaku, amarah kita masih terbawa-bawa ke saat ini, sedangkan ia sudah tidak wujud lagi dan ia sudah bukan sebahagian daripada kita lagi. Lupakan! Bina hidup baru.

Contoh masalah kecil mungkin juga ia masalah besar:

1. Gaji 'dua ribu' sebulan - belanja 'tiga ribu'. Itu merupakan masalah,
'dua' tidak boleh tolak 'tiga' - di manakah jawapannya?

2. Membandingkan diri kita dengan orang lain.

3. Memikir-mikir sesuatu yang mustahil.

Ingat pesan saya ini. Jika kita bermasalah, belajarlah jadi...!
"Penulis di atas air."

Selamat merenung dan berfikir!


From Empty Hands,
A. Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
016-6020321

25 MAC 2010

Next topic: "The Mind Is Like A Mirror"