Kalau seseorang itu benar-benar "gembira", adalah amat sukar dipercayai. Tetapi jika kita berbicara tentang tekanan, ketegangan, kegundahan, kesedihan, kesengsaraan, mungkin ramai orang yang akan percaya - kerana ia suatu yang natural, memang sudah jadi kelaziman.
Tetapi jika berbicara tentang 'kegembiraan', tiada siapa yang akan percaya kepada kita - ia bagaikan tidak natural.
Saya sudah membuat kajian hampir tiga puluh tahun terhadap akal fikiran manusia termasuk kawan-kawan terdekat, beribu-ribu orang ramainya - saya telah meneliti gangguan akal mereka. Lalu saya merumuskan bahawa kegembiraan yang sedang dirasai dan dilalui oleh mereka semua adalah "khayalan" atau 'fiction'.
Manusia tidak boleh gembira, paling tidak pun, cuma ada sedikit rasa seronok dan selesa - itu sahaja. Paling tidak pun, cuma dapat mereda atau mengurangkan rasa kedukaan sedikit - itu sahaja. Tetapi kegembiraan? Adalah tidak mungkin.
Kata-kata saya di atas, agak "pessimistik" ..... Tetapi jika kita teliti, tinjau dan perasan; Sebenarnya memang "memang benar", ia bagaikan sudah menjadi fakta. Hanya manusia sahaja di muka bumi ini yang tidak pernah 'gembira', 'berperang', 'bertelingkah', 'bermusuh', 'bersengketa', 'berdengki', 'cemburu', 'iri hati', 'fitnah', 'tomahan', 'mengadu domba', 'gila jawatan dan pangkat', dan macam-macam lagi. Jangan cuba hendak menafikan - tiada siapa mampu "menegakkan benang yang basah". Sesuatu jauh di dalam diri seseorang, ada sesuatu yang tidak kena.
Apa yang saya cuba katakan adalah "hak dan wibawa" saya sendiri. Senenarnya semua manusia mampu "bergembira" lebih dari segala-galanya, lebih dari burung-burung, lebih gembira dari sepohon pokok, lebih gembira dari binatang-binatang; - Semuanya itu kerana kita manusia memiliki sesuatu yang tidak terdapat pada pokok-pokok, bintang-bintang dan juga burung-burung.
Apakah yang dimiliki oleh kita manusia, adalah "kesedaran". Perlu diingat; bila kita punya kesedaran, kita punya DUA pilihan dan kemungkinan:
Sama ada kita benar-benar akan "gembira" atau sebaliknya, "kedukaan".
Maka semuanya itu adalah pilihan kita:
Pokok-pokok memang ia "gembira", kerana ia tidak boleh bertukar kepada "tidak gembira" - "kegembiraannya" itu bukanlah pula suatu "kebebasan" - memang ia perlu gembira. Ia tidak tahu bagaimana hendak berdukacita, kerana ia tiada pilihan.
Burung-burung bersiulan dan berkicauan di pohon-pohon rendang, memang ia gembira, tetapi bukanlah kerana ia memilih untuk bergembira - kegembiraannya adalah kerana tiada pilihan baginya. Kegembiraannya adalah bukan suatu "KESEDARAN" - ia benar-benar "natural".
Tetapi manusia memang mampu benar-benar untuk bergembira dan ia juga akan benar-benar mengalami kedukaan dan kesengsaraan, dan ia bebas untuk membuat pilihan. Dan kebebasan untuk ia memilih adalah juga sangat merbahaya, kerana kita manusia perlu "bertanggungjawab" - Dan sesuatu telah pun berlaku sejak lama terhadap kebebasan tersebut secara melampau. Banyak perkara sumbang yang telah dilakukan oleh manusia atas nama kebebasan - itu ertinya dalam apa jua bidang kemasyarakatan mereka, semua saya umpamakan:
"Man is somehow standing on his head."
Fahamkan betul-betul, itulah apa yang sedang berlaku kepada mereka yang sedang tuduh-menuduh di negara kita sekarang. Kelihatan saja bijak, arif atau sebagainya.
Kelihatan banyak sahaja masjid dan tempat-tempat ibadat. Cuma tempat tersebut dijadikan tempat "petition" kepada Tuhan, dijadikan tempat mengadu kedukaan dan BUKANnya tempat "pengikat UKHWAH".
Kita masuk ke tempat ibadah bagaikan "pesakit yang mencari ubat" - bila sudah baik, di luar masjid kita lakukan lagi "kemungkaran" - "sakit lagi". Jangan masuk masjid atau apa jua tempat ibadah, bagaikan "orang tidak sihat". Ingat!.. Cuba jadikan dunia ini tempat ibadah, kalau kita boleh menukarkannya sebagai sebuah syurga, lagi bagus. Kerana;
"Dunia itu contoh akhirat"
Banyak agama di muka bumi ini yang menciptanya adalah hanya "SATU Tuhan". Kenapa kita tidak gembira? Orang yang benar-benar "gembira" adalah "orang-orang yang faham kebijaksanaan Tuhan". Banyaknya tempat ibadah, BUKAN bererti "banyak Tuhan".
Apa saja yang kita lakukan dan kita rasa gembira, dan boleh membuat orang lain gembira, itupun "ibadah". "Setiap perbuatan bagaikan penyembahan". "Setiap pernafasan kita adalah kecemerlangan dan rahmat".
Ingat! Kita ditempatkan ke dunia ini bukannya kita disuruh menjadi pakar ilmu kira-kira, suka berkira-kira dalam banyak hal, langsung tidak boleh bertolak-ansur. Ramai antara kita telah "terpesong" dan "lupa diri" seperti mengejar kedudukan dan pangkat, kuasa dan wang ringgit. Lain dari perkara tersebut adalah tidak menguntungkan. Kedudukan, pangkat, wang ringgit, nama dan jawatan, disangkanya boleh mengembirakan dirinya. Tetapi contoh dan tauladan tidak pernah hendak mengajar manusia - kerana mereka yang kaya-raya, berstatus tinggi sejak dari dulu, semuanya lenyap ditelan zaman.
Manusia sebenar secara hakikinya, sanggup mengharung dan berani untuk bergerak seiring asal saja ianya boleh membuat dirinya gembira, walaupun hidupnya miskin dan serba kekurangan. Ia tidak akan merungut terhadap kemiskinannya, ia tidak pernah iri hati atau berdendam. Pada dirinya ada prinsip dan falsafah sebagai pegangan.
"Aku tidak kaya, itu tidak apa! Tetapi aku kaya kerana aku sentiasa gembira".
Tetapi ramai manusia hidupnya lintang-pukang dan tunggang-langgang.
From Empty Hands,
A.Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
25 January, 2010
Next Topic: "Difference Between Concentration And Meditation"
Subscribe to:
Posts (Atom)