Wednesday, April 7, 2010

PRINSIP KASIH SAYANG KETUHANAN DAN KASIH SAYANG TERHADAP DUNIA DAN SEGALA ISINYA

"Segala Puji Bagi Allah Tuhan Pentadbir Alam."
"Yang Amat Pemurah Lagi Maha Penyayang."

Seluruh dunia ini diliputi oleh "Kasih Sayang Tuhan", bukan sahaja kepada manusia dituntut agar berkasih sayang, dunia ini dengan segala isinya, juga tersirat Kasih Sayang Tuhan. Bukalah mata itu luas-luas hingga menembusi 'mata hati' masing-masing.

Kita mungkin ada atau tidak ada nilai-nilai lain, tetapi setiap dari kita pasti ada nilai kasih sayang. Di dalam dunia tidak ada sesiapa yang tidak ada sifat atau kasih sayang. Namun perlu diketahui, ada terdapat 'DUA' jenis Kasih Sayang.

PERTAMA:

Kasih sayang bersifat 'KEDUNIAAN', yang bersifat sementara.

KEDUA:

Kasih sayang yang bersifat "KEROHANIAN" atau "KETUHANAN".

Buka mata hati, untuk memahami 'Kasih Sayang Ketuhanan'. Kasih sayang Tuhan, 'tidak bersifat kepentingan'. "Kasih sayang Tuhan" adalah "Kasih Sayang Tuhan Itu Sendiri", tanpa ada pertimbangan lain. Ingat!.. Tuhan langsung tidak mempunyai kepentingan apa-apa. Dia tidak mengharapkan apa-apa jua balasan.

Tetapi "kasih sayang bersifat keduniaan dan segala kebendaan", dicemari dengan sifat-sifat 'kepentingan diri', 'mengharap dan ingin menghakmilik'.

Ingat! Di mana ada kepentingan, maka wujudlah "kecemasan dan ketakutan". Jika tidak ada kepentingan, maka tidak adalah takut dan kecemasan. Maka kita manusia "sepatutnya tidak perlu ada kepentingan dalam berkasih sayang". Malah "melalui kasih sayanglah seseorang itu terbuka mata hatinya". Ingat!.. "Tuhan Tidak Berupa". "Yang berupa adalah kebendaan". Maka Tuhan tidak mengharap kebendaan sebagai balasan.

"Kasih Sayang Adalah TUHAN", dan
"TUHAN Itulah Kasih Sayang".

Justeru, hiduplah dengan berkasih sayang, maka sangat penting bagi kita mengikat silaturrahim, berkasih sayang, mengaitkan kasih sayang dengan kasih sayang. Melalui kasih sayang begitu kita akan nikmati "Kasih Sayang Ketuhanan" yang semakin kukuh dan jitu.

Ciri-ciri "kasih sayang Ketuhanan" adalah 'tidak bersifat',
suci, kekal,tidak ternoda, kasih sayang yang bebas dari kejahilan.
"Kasih sayang seumpama itu adalah kasih sayang yang meliputi dan meresapi
seluruh kewujudan"
.

Kasih sayang merupakan 'magnet', mempunyai 'kuasa' atau 'daya penarik' yang kuat terhadap sesiapa saja. Kasih sayang begitulah punca penarik sesama kita. Magnet atau kuasa penarik kasih sayang seumpama itu terdapat pada setiap orang. Semuanya itu kerana kasih sayang yang terdapat pada setiap orang itu adalah "pancaran kasih sayang Tuhan itu sendiri".

Kita manusia sebenarnya telah dianugerahkan kuasa yang hebat di mana tidak terdapat pada makhluk-makhluk lain. Semuanya itu tidak kita sedari apabila kita mengasihi selain dari 'Allah' atau 'Tuhan' selaku pencipta.

Tidak dapat dinafikan, apabila kita mengasihi seseorang, balasannya seseorang itu akan mengasihi kita semula. Justeru, mengapakah kita tidak mengasihi juga seluruh kewujudan dengan tidak memilih-milih, agar kita dapat merasai kasih sayang secara total, terhadap seluruh kewujudan seperti kasih sayang Tuhan.

Namun 'sembilan puluh sembilan peratus' kasih sayang manusia kini tertumpu kasih sayangnya kepada "sesuatu objek yang bersifat keduniaan", yang hanya bersifat sementara, yang tidak kekal.

Di bawah ini ada sedikit contoh bagaimana sifat seseorang menyayangi hal-hal keduniaan.

Bila seseorang muda yang baru berkahwin, ia menganggap isterinya
itulah 'nyawanya' bagi 'setahun dua'. Jika ia terlihat duri atau paku
di jalanan sewaktu bersiar-siar, dengan nada lembut dan pelukan erat,
cepat-cepat ia mengingatkan, dikhuatiri kaki isterinya terkena benda
tajam tersebut.

Selepas masuk 'tahun ketiga', jika si suami menemui duri atau benda tajam
sewaktu jalan bersama, dia cuma mengingatkan saja. Sudah tiada belaian lagi,
suaranya sudah tidak lunak dan lembut, malah keras nada suaranya berkata;
"Awak tak nampak ke?"

Ingat! Kasih sayang yang bersifat keduniaan, sifatnya menyusut, merosot, semakin kurang dari hari ke hari.

Tetapi kasih sayang Tuhan tidak begitu, tetapi stabil dan tetap, tidak berubah. Justeru, semua orang mestilah berusaha untuk mencapai "kasih sayang yang abadi, kekal dan tidak berubah-ubah".

Ramai di antara kita sukar mencapai kasih sayang begitu, kerana keinginan keduniaan dan kasih sayang yang bersifat keduniaan mengekang kita semua sehingga 'mata hati' kita tertutup rapat.

Ambil perhatian saudaraku yang budiman!

"Hidup ini bagaikan suatu pengembaraan yang sangat jauh, dan keinginan yang
melampau-lampau, itulah beban hidup yang sedang kita pikul bersama"
.

Kita akan bebas dari segala kebimbangan dan kecemasan atau permasalahan, jika kita pandai "mengurangkan keinginan-keinginan dunia secara beransur-ansur".

Saudaraku yang dikasihi!

Tidak usahlah kita bersusah payah hendak belajar 'ilmu Ketuhanan' atau 'ilmu Kerohanian' secara mendalam, yang amat sukar untuk seseorang memahaminya.

Cukuplah sekadar kita berpegang kepada "prinsip-prinsip kasih sayang" dalam hidup kita sehari-hari. "Prinsip kasih sayang" terdapat pada seseorang sebenarnya sama saja, dari seorang papa kedana, sehinggalah seorang yang bergelar jutawan. Kerana seorang jutawan pun bergantung pada makanan, garam yang dikecapinya pun berasa masin, sebaliknya bukanlah 'emas' menjadi makanan hariannya.

Tubuh badan itu terbina daripada makanan harian kita masing-masing. Tetapi 'akal' kita itulah yang "merupakan beban-beban keinginan yang melampau".

Semuanya itulah "akar umbi kepada kepalsuan" dan membuat seseorang itu terpedaya. Maka tidak usah dihairankan kini manusia hidupnya penuh dengan tipu daya dunia, jika dia mempunyai keinginan-keinginan yang melampau.

Ambil perhatian, saudaraku pembaca!

Rasa cinta, kasih dan sayang adalah "RASA PALING UTAMA" dalam setiap orang. Lain-lain rasa atau perasaan berasal dari kasih sayang itulah.

Sebaik saja kita faham "Prinsip Kasih Sayang", nanti kita akan faham kasih sayang yang terdapat pada semua makhluk seperti yang terdapat pada binatang-binatang, unggas-unggas, dan yang lain-lainnya yang terdapat di seluruh universe ini.

Yang 'PERTAMA' dan 'paling utama', kita manusia mesti mempunyai 'kuat keyakinan' (iman);

"Di Mana Ada Keyakinan, Di Situ Ada Kasih sayang"
"Di Mana Ada Kasih Sayang, Di Situ Ada Kebenaran",
"Di Mana Ada Kebenaran, Di Situ Ada Ketenangan".

Kita tidaklah bersusah payah mencari 'ketenangan' di mana-mana, maksudnya "di luar dari DIRI itu" - "Ia berada di dalam DIRI masing-masing".

Ingat!

"Di dalam DIRI itulah gedung atau gudang kebenaran dan kasih sayang".

Malah kalau kita faham, seluruh dunia ini juga berada di dalam DIRI masing-masing. Seperti kesemua "empat anasir" terdapat pada diri masing-masing. Nama dan rupa kita memang berbeza. Tetapi anasir yang sama terdapat pada diri masing-masing.

Di dalam dunia tidak terdapat seseorang pun yang tidak mempunyai "empat anasir" tersebut.

Seperkara yang perlu diingat; "Selagi kita mempunyai sifat angkuh dan sombong, tiada siapa yang akan menyayanginya, termasuklah isteri atau suami, dan anak-anak, jiran, dan juga kawan-kawan". Maka berlakulah "kasih sayang yang penuh kepura-puraan", tetapi itu bukan kasih sayang sebenar, namun apa pun, puncanya adalah;

"Keangkuhan, kesombonganlah yang mengiringi kasih sayang masing-masing".

"LOVE CAN UNITE THE ENTIRE WORLD"


From Empty Hands,
A. Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
016-6020321

08 APRIL 2010

Next Topic: "Understand The Principle Of Unity In Diversity"