Friday, March 25, 2011

BENARKAH YANG BERKAKI EMPAT ITU BINATANG, DAN YANG BERKAKI DUA ITU MANUSIA?

Kepada semua saudaraku yang 'BERAKAL' lagi dikasihi!

Dari mana sudut pandangan sekali pun, hanya manusia sahajalah yang mampu mengembangkan 'KEBIJAKSANAANNYA' dan mampu memahami serta membezakan mana yang salah dan mana yang betul; Kerana manusia itulah satu-satunya 'ciptaan Tuhan' yang sangat mulia ciptaanNya, ia bagaikan mahkota di atas kepala seseorang.

"Maksud 'MANUSIA', adalah seseorang yang telah dikurniakan 'AKAL' untuk memikir."

"Maka tujuan diciptakan 'AGAMA' untuk manusia kepadanya adalah untuk membantunya agar dapat memikir secara betul agar tidak liar, rakus, buas macam binatang yang melata, tanpa arah dan pedoman."

Justeru, 'beragama' adalah bertujuan untuk mengangkatkan diri masing-masing agar lebih tinggi daripada binatang, dan manusia sahajalah yang sepatutnya mampu memahami perhubungannya dengan alam, agar dapat hidup secara harmoni dan mencapai matlamat serta "tujuan Ciptaan Selaku Manusia" yang sangat unik, demi kesejahteraan seluruh manusia pada abad-abad mendatang.

Pada zaman yang sedang kita semua lalui sekarang ini, sangat mengelirukan, sedangkan sepanjang sejarah, kita menempuh ketamaddunan, banyak sistem pemikiran telah berkembang, terutama dari segi beragama. Adakah abad ini 'agama' sudah tidak boleh memberi jawapan kepada 'akal' manusia? "Adakah manusia itu benar-benar sudah menjadi sebaliknya (binatang)?" Nilailah sendiri.

Adakah manusia masa kini, tujuan kewujudannya hanya untuk "memuaskan nafsu atau cuma mampu untuk memenuhi TIGA perkara asas untuk penghidupannya sahaja?"

1. Makan siang dan malam.
2. Membina rumah untuk berlindung dari hujan dan panas sahaja.
3. Membiakkan 'baka' dan 'generasi' semata-mata.


Kalau 'TIGA' perkara itulah saja tujuan kewujudan manusia, saya nasihatkan elok kita semak semula 'naluri kebinatangan' kita itu dan tanyalah diri itu:

1. Siapakah aku sebenarnya?
2. Apakah tujuan aku ke dunia ini?
3. Adakah aku benar-benar diperlukan di dunia ini?


Kalau setakat buat rumah untuk berlindung dari hujan dan panas..., burung pun membuat sarang.

Kalau setakat makan dan minum, burung-burung, unggas dan lain-lain binatang pun siang, malam, memang sudah rutin.

Tetapi adakah binatang-binatang itu "tahu apakah tujuan ia dicipta? Tahukah binatang-binatang itu bahawa ia seekor binatang?"

"Kita 'MANUSIALAH' yang tahu akan jawapannya!"

Manusia di dalam dunia, sejak lama dahulu telah menyedari bahawa: "Kerana dirinyalah dunia ini dicipta, dan dialah 'penghuni atau pemastautin' penting." Kalau begitulah persepsi kita semua selaku 'manusia', dan kita boleh melakukan apa saja yang kita inginkan, dan berseronok untuk kepentingan diri sahaja:

"Maka 'keperimanusiaan' itulah sifat manusia, justeru, manusia itulah yang bertanggungjawab terhadap 'kerakusan', 'pencerobohan', dan 'memperkosa planet' yang sedang kita huni ini", dan 'manusia' itulah yang bertanggungjawab sepenuhnya."

Tetapi 'manusia' langsung tidak bertimbangrasa "akan hak-hak makhluk yang lain yang wujud bersama di dalam planet, untuk berkongsi kesejahteraan dan keharmonian."


Kerakusan manusia di planetnya sendiri semakin menjadi-jadi, sebagai contoh, kes-kes yang sangat tragik di mana banyak spesis binatang telah lenyap dan pupus tanpa sebab dan masuk akal, menyembelih dan membunuh dengan kejam tanpa simpati, semata-mata untuk tujuan perniagaan dan keseronokan.

Mutakhir ini "penaklukan Sains dan Teknologi" mendapat tepukan dan sanjungan. Tetapi ramai yang masih tidak sedar bahawa "kerosakan besar dan kemusnahan yang melanda manusia, atas nama 'KEMAJUAN'."

Saudaraku pembaca yang budiman!

Kita semua patut meningkatkan bilangan orang-orang yang sedar dan bersatu membuat bantahan secara sejagat demi masa depan universe ini untuk kesejahteraan umat manusia pada abad-abad akan datang.

"Ambil perhatian, kepada semua manusia di universe ini sebelum terlewat!..."

"Sehingga kini alam yang kita huni ini telah banyak bersabar dan memaafkan kita manusia, dan kita diberi peluang untuk terus memikir bahawa planet ini diciptakan untuk kita manusia, dan BUKANLAH untuk kita musnah, rompak, perkosa, sesuka hati, serta untuk memuaskan hawa nafsu dengan segala ketamakan, semata-mata untuk mengejar KEMAJUAN."

"AWAS!!! Kepada semua manusia di planet bumi; Banyak petanda, notis, dan amaran yang ketara bahawa masa untuk 'berseronok, berselesa sudah hampir tamat'. Ambil ingatan dan perhatian serius hendaknya."

Bagi memahami penempatan manusia di muka bumi yang maha luas ini secara keseluruhannya, perlulah kita kategorikan kepada TIGA kumpulan:

1. Planet dengan segala penghidupan yang bernyawa
2. Planet dengan segala elemen, anasir, unsur; TANAH, API, ANGIN dan AIR.
3. Dan Ketiga: Semata-mata Ruang Itu Sendiri.


Oleh itu kita boleh melihat 'MANUSIALAH' satu-satunya makhluk di mana kewujudannya adalah untuk berseronok-seronok di planet ini. Sebenarnya, kalau kita amati:
"Manusialah yang paling kerdil, bukan sahaja dari segi tenaga, juga dari segi jangka hayatnya."

Manusia bukan sahaja 'makhluk' di planet ini, malah ia dikurniakan 'kebijaksanaan' untuk menghuni universe ini.

Secara biologi atau kajihayat, manusia adalah makhluk yang paling lemah, jika dibandingkan dengan makhluk-makhluk lain, sama ada yang besar atau kecil. Kerana lain-lain binatang dilahirkan dengan 'senjata' untuk perlindungan bagi mempastikan ia boleh terus hidup. "Manusia sebenarnya punya 'AKAL' untuk pelbagai kemudahan dan kegunaan, tetapi BUKAN untuk digunakan sebagai 'SENJATA'."


Kerana manusia dianggap sebagai makhluk, berbudaya, berbahasa, dan beradab, untuk keharmonian dan kesejshteraan universe dan lain-lain makhluk yang berkongsi dengannya. Perlu diingat, semuanya saling bergantung antara satu sama lain.

"Dan manusia tidak boleh melihat dan berasa angkuh terhadap lain-lain makhluk, kerana 'tubuhnya' itu bergantung kepada pemakanan, seperti pucuk-pucuk kayu, sayur-sayuran, air, oksigen dan sebagainya untuk kewujudannya."

Dalam masa yang sama kewujudan akal kita pergantungannya adalah dari semua deria dan semua data atau maklumat diperolehi dari dunia luar melalui pelbagai objek dan juga manusia, maka seluruh dunia ini mesti dilihat sebagai satu jaringan yang besar. Jika satu saja simpulan atau ikatan itu bergoyang.... Seluruh jaringan itu akan bergetar.

Kita manusia sebenarnya 'berhutang' kepatuhan dan kewajipan kepada alam, kerana kita bergantung sepenuhnya untuk kewujudan secara fizikal dan mental.

Justeru, sikap kita pada alam bukannya 'keangkuhan', 'takbur', sebaliknya kita patut 'merendah diri' dan 'berterima kasih'.
Dunia ini bukan dicipta untuk manusia sahaja, dan tidak juga mesti mengutamakan kita selaku manusia.

"Sifat dunia tidak akan memihak kepada sesiapa... Ia juga tidak boleh kita katakan baik atau zalim.... Tetapi 'nuteral'."

Oleh itu ingatlah!... Kewujudan manusia adalah kerana seluruh alam membenarkannya.
Justeru, janganlah kita rakus dan memerah apa saja untuk kepentingan kita di dunia ini. "Kita sepatutnya mengekalkan perasaan memuja bercampur hormat terhadap alam dan seluruh kewujudan". Kita sepatutnya belajar lebih menghormati dan sebagai tetamu daripada bersikap seperti 'pemain daun terup' di mana yang menang mengambil semua.

Saudaraku pembaca yang dikasihi!

"Sedarkah kita bahawa manusia sudah bertukar menjadi binatang yang paling buas di muka bumi yang sedang kita huni ini?"

Masalah asas yang sedang kita hadapi sekarang ini adalah masalah keruntuhan akhlak dan penyalahgunaan akal dan kebijaksanaan. Sungguhpun kemajuan Sains dan Teknologi sudah tersohor. Tetapi dunia yang sedang kita huni ini semakin tidak selamat dan memuaskan.

Dalam ertikata lain, 'Sains dan Teknologi' masa kini dan akan datang membuatkan manusia tidak lagi selamat, membimbangkan dan merosakkan.

Jika kita 'peka' dan membuat tinjauan ke seluruh dunia dan di persekitaran kita, apakah yang dapat kita lihat?

Khususnya di negara kita Malaysia:

Kenapakah berlaku?

Manusia menangkap manusia dan memenjarakan manusia.
Manusia menghukum manusia dan menggantung manusia sampai mati.
Manusia membunuh bapa, ibu, adik, isteri, suami, jiran tetangga, orang awam.
Manusia buang anak di sana sini, di tepi jalan, di tong sampah, di tandas dan sebagainya.

Anak-anak tidak mahu memelihara ibu bapa dan menghantar orang tuanya ke rumah orang-orang tua.

Merempet, membuang masa ke tempat-tempat hiburan yang melekakan, lari dari rumah, ponteng sekolah, hisap dadah, seks rambang, menyalahguna kanak-kanak, merompak, menyamun, meragut, mencopet.

Jelas bahawa mengejar kemajuan Sains dan Teknologi, pada zaman moden ini lebih banyak 'tidak baiknya' daripada kebaikannya. Keruntuhan akhlak dan moral telah menjerumuskan manusia lebih parah dan lebih teruk daripada binatang yang berkaki empat, yang pandai menjaga dan mengawal anak-anaknya, tidak membuang masa, melepak, penuh dedikasi dan bertanggungjawab.

Ternyata walaupun kita manusia 'tidak dikurniakan taring, kuku yang tajam, sengat dan racun berbisa', tetapi 'akal' dengan segala kebijaksanaannya adalah lebih tajam, lebih berbisa dan lebih licik daripada segala makhluk yang lain-lainnya.

'TUHAN' memberi penghormatan kepada manusia menggunakan 'AKAL' sebagai alat pengesan apa jua di muka bumi, dan di dalam bumi untuk manfaat serta kesejahteraan manusia sejagat. Tetapi penemuan-penemuan seperti; urinium, besi, serta bermacam-macam logam dari perut bumi oleh bijak pandai lagi terpelajar dan jahat, atas nama pertahanan negara, sama ada negara besar atau kecil, semuanya sudah siap sedia memerangi dan diperangi, dengan SATU tujuan iaitu; 'MEMBUHUH'.

Adakah kita pernah lihat binatang 'membunuh', membunuh tanpa tujuan, tanpa niat? Tetapi kita manusia mencipta senjata seperti atom, nuklear atau sebagainya, mesti dengan 'NIAT' untuk membunuh atau mempertahan agar jangan terbunuh. Sejak Perang Dunia Pertama dan Kedua, banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban begitu sahaja tanpa sebab yang dilakukan oleh pencipta yang bergelar Saintis yang terpelajar yang jahat, dan pemerintah yang 'gila kuasa'. Mereka seumpama itulah rupa luarannya sahaja 'manusia' tetapi 'tidak berakal'.

Sedarkah kita 'jenis dunia' apakah yang sedang kita huni? Dengan bijak pandai jenis apakah yang hendak kita sanjung? Adakah sel-sel otaknya benar-benar 'manusia' yang sepatutnya mempunyai nilai-nilai kasih sayang untuk memelihara alam dan segala kewujudannya.

Maka pembaca yang dikasihi, marilah kita sama-sama menilai, sama ada perlu kita definisikan:

"Yang berkaki dua itu binatang, atau yang berkaki empat itu manusia?"

Sila betulkan ungkapan saya di atas, kalau-kalau anda pembaca benar-benar seorang 'penilai atau pemikir'.

Mari sama-sama renungkan dan ambil perhatian!...

Selaku manusia, tidak dinafikan bahawa kita telah mencapai kemajuan kebendaan di semua sektor yang tidak pernah dimimpikan pada beberapa abad yang lalu. Memang mengkagumkan, kemajuan teknologi telah menyumbang kuasa yang sangat hebat terhadap alam. Memang kita telah dapat menawan, menakluk dan mengawal bencana dan malapetaka mengikut kadar kemampuan akal, oleh pelbagai pakar.

"Tetapi soalnya: Adakah kita lebih gembira atau lebih puas dan berasa lebih selamat, walaupun zaman datuk nenek moyang kita, Sains dan Teknologi tidak lagi tersohor dan terkenal?"
Jawapannya: Pasti 'TIDAK'.


Seiring dengan kemajuan Sains dan Teknologi, sedarkah kita bahawa "penyalahgunaan wanita dan anak-anak", tidak punya hak kemasyarakatan sepenuhnya, pertelingkahan beragama, fahaman ras, diskriminasi, dan sebagainya.

Sedarkah kita bahawa mereka yang menikmati 'kekayaan material' lebih menderita dan sengsara daripada mereka yang dikatakan 'miskin'. Berpunca dari mereka yang kaya-raya, maka ramai orang miskin di bawah sana. Mereka yang menikmati kekayaan materiallah yang ramai mempunyai 'sakit mental', tegang dan bersendiri. Itulah antara masalah besar yang sedang dihadapi oleh masyarakat moden masa kini.

Soalnya: "Siapakah yang bertanggungjawab terhadap segala gejala negatif yang menghantui dunia sekarang ini?"

Memang tidak dapat ditolak dan dinafikan bahawa ramai yang beria-ia memberi pujian dan sanjungan akan 'kemajuan manusia' yang telah dicapai dalam bidang Sains, Politik dan Ekonomi. Mereka ahli Politik, ahli Sains dan ahli Ekonomi, dengan megahnya, dengan angkuhnya mengatakan bahawa "semua manusia terhutang budi" ke atas kemajuan yang sedang dinikmati. Dalam masa yang sama, mereka melakukan 'tindakan yang tidak bermoral', tidak berperikemanusiaan, dengan mencipta senjata pemusnah, dengan membunuh orang awam yang tidak berdosa.

Dalam sejarah ciptaan Tuhan terhadap makhluknya... 'manusialah' yang paling banyak 'membunuh manusia' tanpa sebab. Ingat!...

"Walau apa alasan sekali pun, MANUSIA itulah 'binatang yang paling buas' di muka bumi ini."

Ketidakseimbangan alam, membuatkan alam bertindak balas, seperti apa yang berlaku di Jepun baru-baru ini. Alam bertindak balas seperti 'gempa bumi, kemudian diikuti dengan Tsunami'. Bagaimana pula dengan 'stesen' atau 'reaktor-reaktor nulear' Jepun, dan di lain-lain negara, buatan manusia yang tinggi kandungan 'radioaktifnya', yang bukan saja membahayakan nyawa manusia, tetapi juga tanah, air, tumbuh-tumbuhan dan juga binatang yang tidak berdosa.

Angkara perbuatan manusia yang berkelakuan pelik dan aneh, membuat ramai orang sentiasa dalam gelisah dan cemas apabila keadaan tidak terkawal dan di luar jangkaan dan 'jangkauan akal' manusia.

Percayalah, zaman kehancuran dan kemusnahan sedang menanti kita semua di hadapan,
disebabkan oleh 'sikap tidak kisah', 'tidak mempeduli', kerana 'pengaruh ketamaddunan', 'berlumba-lumba untuk menunjuk kekuatan'.
Justeru, bolehlah "MANUSIA kita labelkan sebagai 'BINATANG' yang 'lebih buas' sekali di dalam muka bumi ini".

Oleh itu cuba halusi dan hayati 'bait' saya ini untuk direnungkan bersama:

"Di dalam dunia ini, burung dan lain-lain binatang, pandai mengatur dan menyusun hidupnya, walaupun tanpa pendidikan, tetapi....

Kenapakah kita manusia, tidak punya perasaan begitu? Walaupun kita manusia telah dikurniakan 'kebijaksanaan'?"


Diingatkan kepada sesiapa sahaja yang di luar sana!... Khususnya ahli Politik, ahli Sains, ahli Ekonomi; "Sebagai 'MANUSIA' kita perlu mempastikan dengan menggunakan 'kebijaksanaan' (Kuasa Perbandingan)" ;

"Apakah jenis tindakan yang perlu dan sesuai dilakukan, dan apakah yang tidak sewajarnya dilakukan?"

Apa sahaja yang kelihatan baik dan berfaedah, memang baik dilakukan.... Tetapi kalau sudah ketahui lebih banyak 'tidak baiknya', masih kita lakukan juga; Ingat!.... Pasti kita tidak boleh lepas dari akibah atau natijahnya.

'Tuhan' mencipta 'universe' ini dan dusuruhnya kita menghuni alam ini. Pastinya seluruh tanggungjawab kita selaku 'manusia' di universe ini terpikul di atas bahu kita manusia, agar pandai memanfaatkan seluruh objek di dalam dunia ini dan bukannya ... TUHAN.

Jika kita manusia pandai menggunakan seluruh objek dengan betul dan berfaedah untuk kesejahteraan manusia seluruhnya, pastinya kita akan lihat dunia ini penuh harmonis, tenang, dan aman. Jika berlaku sebaliknya, kita menyalahgunakan kegunaannya, kita selaku manusia perlu menanggung akibahnya.

Itulah yang sepatutnya kita pelajari melalui pembelajaran kita. Oleh itu apakah erti 'pengetahuan'?
Adakah ianya ilmu 'Keduniaan atau Kerohanian'? Adakah ianya pengalaman luaran atau dalaman?
Erti ilmu pengetahuan adalah; Pelbagai, sama ada ia berkaitan dengan 'zahiriah' (luaran) atau batiniah (dalaman). Justeru, siapa juga di luar sana, masuklah ke dalam 'kedua-dua' bidang tersebut dan menyesuaikannya di dalam amalan sehari-hari.
Dalam ertikata lain;

"Alam ini 'mencari perseimbangan'. Apa jua yang dilakukan secara melampau batas (over stepping the limits), sama-samalah kita tunggukan akibahnya."


"TIADA SIAPA MAMPU MENENTANG HUKUM ALAM"

Contohnya:
"Angin menghembus, hujan turun, gunung berapi meletus, bumi retak dan terbelah (gempa bumi), api membakar, air membasahkan"..., dan sebagainuya.

Contoh, macam-macam bencana dan malapetaka yang menimpa manusia sejak berabad-abad, sebelum manusia pandai mencipta Sains dan Teknologi. Gempa bumi, Tsunami, adalah 'BENCANA ALAM'.

Tetapi, 'reaktor-reaktor nuklear' yang dibina di atas muka bumi oleh ciptaan manusia di pesisiran pantai atau di mana-mana di muka bumi, yang memang sudah diketahui oleh ahli Sains bahawa 'bencana atau malapetaka'; adalah dari pelbagai elemen, mungkin gempa bumi, ribut, puting beliung, banjir besar, hujan lebat, dan sebagainya.

Mari kita ambil contoh...

Hujan yang turun dengan lebat, tidak berhenti-henti, salah satu daripada 'bencana dan malapetaka', dan menyebabkan 'banjir besar', dan di atas muka bumi ini terpacak beribu-ribu buah rumah yang bakal hanyut dibawa oleh air. Mereka yang terlibat akan merayu dan berdoa kepada Tuhan;
"Oh Tuhan! Jauhkanlah malapetaka ini, kerana kambing, lembu dan tanam-tanaman kami akan musnah. Reda dan berhentikanlah hujan itu."

Jawab 'TUHAN':

"'AKU' tidak boleh berhentikan hujan itu, apa-apa jua yang akan terjadi di dalam alam ini, pasti berlaku, hujan turun mengikut hukum alam, fenomena alam akan terus berlaku dengan cara dan corak masing-masing. Tetapi 'AKU' sudah sediakan engkau 'bukit' atau 'gunung', pergilah engkau ke gunung itu!... Tetapi 'AKU' tidak akan berhentikan hujan itu."

Apakah 'moral' di sebalik kehendak 'TUHAN' itu tentang 'hukum alam'? Gempa bumi berkuasa meretakkan bumi, dan membentuk 'Tsunami' ombak besar dan meranapkan apa saja di darat.

Ambil contoh dan ingatan ini!
"Jika angin punya kuasa untuk menghembus lampu yang kita nyalakan, dan lampu itu pula dengan cahayanya juga adalah 'kurniaan Tuhan' untuk menerangkan ruang yang gelap, justeru, adalah 'bodoh' jika ada sesiapa untuk mengarahkan angin agar jangan menghembus atau memadamkan cahaya lampu tersebut."

Apa yang boleh dilakukan oleh kita manusia untuk melindungi api tersebut dari hembusan angin adalah "melindungi api pelita tersebut dengan meletakkan corong atau 'chimney'". Ingat!... "Itulah saja batas dan kemampuan manusia."

Melalui contoh di atas, kita manusia patut belajar bagaimana hendak mengatur 'Kuasa Nature', bukannya cuba untuk melawan 'Kuasa Alam'.

Bagaimana pula kalau tujuan pembinaan 'stesen-stesen nuklear' untuk tujuan 'berperang dan memusnahkan manusia'; Jet-jet pejuang, bom-bom atom, senapang, pistol, kereta-kereta kebal, dan sebagainya ciptaan manusia, dengan apakah atau cara manakah manusia hendak mencari tempat berlindung yang bukan bencana dan malapetaka dari Tuhan?

Memang tidak dinafikan, manusia memang diberi kebebasan untuk menikmati apa saja yang disediakan oleh 'Pencipta'.
Tetapi kita selaku manusia mesti menggunakan 'Kuasa Perbandingannya', bagi mempastikan apa yang berfaedah untuknya, dan apa yang tidak sewajarnya. Oleh kerana segala kemudahan mudah didapati di universe ini, tidak bererti ia boleh melakukan apa saja sesuka hati, kerana ada pepatah mudah mengatakan:

"Setiap perlakuan kita akan diikuti dengan akibah."

Seseorang itu tidak boleh menolak atau mengenepikan akibah, jika sudah benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan akibah tersebut. Kita boleh saja lakukan apa yang kita suka, menikmati segala keseronokan, namun perlu diingat; Jangan nantinya kita berduka bila berhadapan dengan 'kesan dan akibahnya'.

Ingat! 'Nature' adalah 'umpama cermin', ia memancarkan semula tindak-tanduk kita. Bila kita berhadapan dengan cermin, imej kita akan berada di situ, memancarkan tingkah laku kita. Tetapi kalau kita cuba menghentak imej kita di dalam cermin, sebenarnya pancaran tersebut menghentam imej kita sendiri.

Berasaskan 'undang-undang' atau 'hukum sebab dan akibat' mengatakan:
"Apa yang kita fikirkan, itulah yang akan terjadi".
Ertinya; Apa jua tindakan kita, akan diiringi dengan akibah yang tidak boleh kita lari atau terlepas darinya, sama ada cepat atau lambatnya sahaja.

Saudaraku pembaca yang budiman!

Nilailah penulisan saya ini dari sudut 'AKAL' yang tajam, dan bacalah masa hadapan dunia ini, kerana 'esok' atau 'sesuatu itu bermula hari ini'.

Seperti kata pepatah:

"Apa yang kita tanam hari ini, itulah yang akan tumbuh pada hari esok".
"Kalau tidak dicegah sekarang, sukarlah hendak kita kawal, bila wabak atau virus yang melanda 'otak manusia' yang membuatnya tidak lagi boleh berfikir"
.

Diingatkan kepada semua ahli Sains di seluruh dunia, ingat pepatah ini:

"AGAMA TANPA SAINS ADALAH PINCANG,
SAINS PULA TANPA AGAMA ADALAH BUTA"
.

Marilah sama-sama nantikan akibahnya yang menunggu kita pada abad akan datang.


From Empty Hands,
A.Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
016-6020321

26 MARCH 2011

Next Topic: 1. "Earthquake - Tsunami Is The Mysteries Of Creation"

2. "Alam Mencari Perseimbangan"