Sunday, November 22, 2009

SEMUA ORANG AKAN TUA, TETAPI - "TIDAK SEMESTINYA IA SEORANG YANG MATANG"

TUA adalah ciptaan Tuhan, suatu teknologi yang tidak disukai oleh semua orang. Maka banyaklah pakar-pakar kecantikan, kosmetik, yang ingin mencegah, merawat.., kedut dan kerepot di muka. Realitinya, kita patut bersyukur dan menerima teknologi tersebut dan bukan menolaknya. Kita patut menghalusi sifat-sifat yang berjisim dan segala sifat yang bergelar 'baharu' pasti akan musnah, hancur dan lenyap.

Justru saudara pembaca yang dikasihi!

Mari kita memahami dengan lebih mendalam apa definisi 'TUA' dan 'KEMATANGAN'. Adalah sangat jauh bezanya yang dikatakan 'tua' dan 'kematangan'. Sangat-sangat jauh bezanya dan ramai orang terkeliru tentangnya.

Ramai orang menganggap bahawa apabila kita tua, kita adalah orang yang matang... Perlu diingat bahawa!..

"TUA adalah TUBUH BADAN, ia bersifat
baharu, pastinya tertakluk kepada perubahan dan kelenyapan".


Semua orang akan tua, semua orang akan menjadi tua, tetapi tidak semestinya matang. Ambil perhatian!..

"Kematangan sifatnya adalah
PERKEMBANGAN DALAMAN".


TUA pula, bukanlah pelakuan kita, ianya adalah sesuatu yang berlaku
terhadap FIZIKAL kita masing-masing. Tiada siapa yang mampu mencegahnya dari terus menjadi tua, sila perhatikan dan amati proses semasa kita kanak-kanak.

Setiap bayi yang lahir, bila masa berlalu, kita tidak sedar ia membesar,
tumbuh dan mengembang.., tahu-tahu sudah tua.
Kematangan adalah sesuatu yang kita bawa dalam penghidupan kita...
Ia hadir dan datang dalam kesedaran kita sehari-hari.

"Apabila seseorang itu tua dengan
penuh kesedaran, itu ertinya ia seorang
yang matang. Tua yang penuh dengan erti kesedaran ditambah dengan pengalaman
dan kesedaran... Itulah yang dikatakan KEMATANGAN".


Kita semua sudah melalui, mengalami apa jua, ceramah, syarahan, tetapi kita bagaikan orang yang terlena, mimpi, atau macam kena pukau, tidak sedar, tidak peka, bagaikan tidak berada dalam majlis tersebut, walaupun tubuh badan itu sedang duduk di kerusi yang empuk di situ. Kita bagaikan tidak pernah hadir atau berada di situ. Di akal itu tidak lekat, tidak dihinggap oleh apa-apa. Maka kita dikatakan 'tidak pernah belajar apa-apa', ia cuma bagaikan suatu memori dan kenangan dalam majlis tersebut. Ia tidak menyerap dan meresap, ia tidak membuat kita menjadi arif, pastinya kita'tidak akan subur dan mengembang', semuanya tidak menjadi pengajaran kepada kita... Tiba-tiba kita 'tua' begitu saja.

Perlu diingat!..

"Jika kita punya nilai dan membawa
nilai kesedaran dalam pengalaman kita sehari-hari, nanti melalui
pengalaman tersebutlah kita jadi orang yang matang".


Maka kita boleh merasai dan mengalami sesuatu benda dalam hidup dengan 'DUA' cara:

PERTAMA: Kita boleh hidup secara orang yang sangat nyenyak atau digelar 'tidur mati', tidur! tidur! tidur! Tahu-tahu kita sudah tua. Setiap detik dan saat kita menjadi tua, setiap detik dan saat itu juga kita terus saja 'mati'... Itu saja! Ertinya seluruh penghidupan kita selama ini diisi dengan 'kematian yang sangat panjang' atau mati yang berlaku secara perlahan-lahan.

KEDUA
: Jika kita membawa kesedaran dalam hidup kita dan dijadikan pengalaman, nanti apa saja yang kita lakukan dan menimpa kita, pastinya kita akan lebih berwaspada, berhati-hati dan beringat-ingat serta akan kita nikmatinya dari pelbagai sudut dan penjuru.

Dalam erti kata lain; kita cuba menembusi untuk memahami dengan lebih mendalam lagi, kita cuba ingin memahami dan hidup bersungguh-sungguh secara total. Ertinya ia bukan suatu phenomena luaran yang bersifat kulit. Nanti jauh di dalam diri itu akan berlaku suatu perubahan. Kita akan lebih berwaspada. Jika ia suatu kesilapan, pengalaman tersebut akan mengingatkan kita bahawa kita tidak akan mengulangnya lagi.

Ingat! Orang yang benar-benar matang, tidak akan mengulang kesilapan yang sama. Tetapi bagi orang yang hidupnya semata-mata melalui proses tua begitu saja, akan terus-menerus melakukan kesilapan demi kesilapan. Hidupnya berputar-putar... Ia tidak pernah belajar apa-apa dalam hidup ini.

Ia akan marah hari ini, semalam pun ia marah, sehari sebelum semalam pun ia marah, esok pun ia akan marah, dan hari keesokannya pun ia akan marah. Terus saja akan marah dan naik berang, dalam masa yang sama juga ia menyesal, buat dan menyesal lagi, berkali-kali membuat keputusan tidak akan melakukannya lagi.

Tetapi keputusan tinggal dengan keputusan, tiada perubahan. Apabila rasa diganggu dan terganggu lagi, marah menguasai lagi... Kita terbelenggu, kerana kesilapan... Amarah masih berlaku... Kita sudah tua!

Kematangan sangatlah penting, kerana orang yang matang memahami.., irama dan rentak hidup ini punya sifat berpasang-pasang. Ingat saudaraku yang budiman!..

Dalam hidup ini kita tidak boleh sentiasa saja bergembira.., jika tidak, kegembiraan itu sendiri akan hilang erti maksud dan tujuannya. Begitu juga kita tidak boleh sentiasa saja berada dalam suasana harmoni.., nanti kita tidak sedar
akan keharmonian itu sendiri.

Keharmonian mesti diiringi dengan pertelingkahan secara berulang-ulang, berkali-kali, begitu juga kegembiraan, mesti diiringi dengan kedukacitaan.

"Setiap keseronokan dan kegembiraan
punya kepedihan dan keperitannya yang tersendiri. Tetapi setiap keperitan
dan kepedihan juga punya nikmat kegembiraan sesudah keperitan".


Perlu diingat!..
Hanya bagi mereka yang benar-benar faham bahawa dunia ini sifatnya berpasang-pasang, maka tidaklah perlu seseorang itu berasa gusar terhadap apa saja gelaran yang menimpanya; 'suka atau duka'.., 'senang atau susah', atau sebagainya. Terimalah secara total dengan segala kesengsaraan, dengan segala keghairahan; jangan inginkan atau mengidam akan sesuatu yang mustahil. Jangan berfikir hanya ada kegembiraan sahaja, tanpa pasangannya seperti kepedihan dan kesengsaraan. Ingat!.. Semuanya ada pasangan.

"Kesengsaraan atau keazaban bagaikan
papan hitam - kegembiraan atau keseronokan bagaikan sesuatu yang putih
dan jelas tertulis di permukaan papan hitam tersebut".


Ia juga tidak ubah seperti gelap gelita malam, di mana bintang-bintang dan bulan terang benderang di waktu malam. Semakin gelapnya malam, semakin teranglah bulan dan bintang-bintang tersebut. Di siang hari ia tidak terbit dan tidak juga lenyap. Cuma ia tidak kelihatan di mata kasar. Kita tidak dapat melihatnya kerana tiada bandingan. Sifat berpasang mesti ada bandingan. Contoh:

"Kematian mentakrif kehidupan"
"Ketuaan mentakrif kematangan"


Saudaraku pembaca yang dikasihi!

Bersungguh-sungguhlah, kerana hidup ini terlalu singkat dan terlalu cepat berlakunya. Setiap saat sangat berharga dan bernilai, sebentar lagi kita akan mati, tiada masa atau waktu lagi, inilah saatnya kita perlu menyelam ke dasar penghidupan ini, sedalam yang mungkin. Mana tahu? Sebentar lagi kita akan meninggalkan dunia illusi ini selama-lamanya. Ingat pesanan ini!...

Perhatikan rentak dan irama dalam hidup ini dengan redha dan penuh tawakkal:
"Jika keazaban dan kesengsaraan mendatangi
kita, terimalah ia.
Jika kegembiraan dan keseronokan mendatangi kita, terimalah ia".


Kerana kedua-duanya adalah 'kawan sepermainan'. Itulah sesuatu yang sangat-sangat penting difahami, mesti difahami. Jika ianya benar-benar difahami dan diingati oleh kita semua, hidup kita akan jadi benar-benar matang, hidup ini pasti punya perisa yang sangat baru dan berlainan.

Kita akan jadi orang yang benar-benar matang, tenang, terurus, kekal dan mudah menerima. Orang yang benar-benar matang, memang hidupnya tenang, mampu senyap, menerima kepedihan, keperitan, kehampaan dan kekecewaan. Ia mampu merubah nilai-nilai keazabannya cara tersendiri. Padanya keazaban itu adalah 'perbendaharaan'. Padanya kepedihan juga adalah ketajaman di akalnya. Padanya kegelapan maempunyai keindahannya yang tersendiri. Padanya, kematian itu bukanlah
suatu kesudahan, malah suatu permulaan padanya.

Untuk pengetahuan bagi orang-orang yang benar-benar matang, ia seorang yang aneh dan pelik, kerana kematangannya membuatnya sangat berpengalaman. Seolah-olah ia seorang yang sudah tua, secara fiziknya ia mungkin sudah tua, tetapi secara spiritualnya ia seorang bersih dan suci.

Pada saya, 'kematangan' adalah di antara yang dikatakan 'kesedaran'. Petanda kepada kesempurnaan dan kemenangan dalam menempuh liku-liku hidup yang penuh dengan dugaan dan cobaan. Barulah benar tulen kemanusiaan kita. Dalam erti kata lain;

"Sebiji benih yang telah melalui
proses perjalanan hidupnya untuk menjadi
sepohon pokok rendang yang boleh diteduhi oleh semua orang dan dapat
pula dinikmati oleh semua orang dan burung-burung bila ia mula
berbunga, memutik menjadi buah yang masak ranum"
. Ingat!..

Kematangan mempunyai haruman dan aroma, ia menyerlahkan ketrampilan, kematangan yang sangat cantik dan indah pada setiap individu. Ia juga adalah seorang yang bijaksana dan mempunyai ketajaman akal. Dianya adalah seorang yang tidak lain penuh dengan kasih sayang, geraklakunya menggamit kasih ssyang. Kematiannya jelas senyuman di bibirnya. Mereka yang matang itu memang benar-benar sekuntum bunga pujaan ramai, kerana orang matang mengamalkan hidup sehariannya dengan;

"Memulai dengan Kasih Sayang,
memenuhi dengan Kasih Sayang, dan
disudahi dengan Kasih Sayang".


"Sila panjangkan risalah ini kepada
orang-orang yang zahirnya kelihatan tua,
tetapi tidak matang, sebelum mati menjenguk di pintu".



From Empty Hands,
A. Rahman Bin Mahadi
Labis, Johore
016-6020321

27 NOVEMBER 2009

Next Topic: "You Are All Born Enlightened
Whether You Realize It Or Not"