Saturday, May 22, 2010

BAIT TOK AYAH : "PERIGI DAN LAUTAN" - PENGHIDUPAN ADALAH PENGALIRAN DAN BUKANNYA KEKAKUAN

Hidup adalah "pengembaraan atau penziarahan ke tempat kesucian". Bukan bersifat kekakuan, malah sangat dinamik. Ia sentiasa mengalir ke arah yang tidak diketahuinya. Oleh kerana kita sentiasa hidup dalam ketakutan, maka kita bergantunglah kepada apa yang telah kita ketahui dan tidak membenarkan hidup itu terus mengalir, langsung tidak hendak memberinya kebebasan untuk menjengah dan menjenguk ke alam yang tidak pernah diketahuinya, ke 'LAUTAN YANG MAHA LUAS', agar ia dapat menari-nari dengan ombak dan badai kegeloraan. Hidup ini umpama "sungai-sungai yang sedang mengalir deras". Tetapi kita yang menukarkannya menjadi "sebuah perigi".

Menukarkan sebuah lautan kepada sebuah perigi adalah "kaku dan kematian". Hidup yang kekal sebagai sebuah "sungai atau lautan" adalah "penghidupan yang sentiasa mengalir menyahut cabaran yang sentiasa menanti di hadapan".

Sebuah 'perigi' tidak akan mengalir ke mana-mana, "Seperti Katak Di Bawah Tempurung". Semakin hari ia semakin kering, kotor, berlumpur, berbau busuk. Kerana kekakuan itulah ia menjadi 'perigi buta'. Begitulah corak penghidupan orang-orang yang kaku dan tidak mahu mengalir. Air sungai yang mengalir adalah bersih, suci, boleh dihirup, boleh diminum, penuh keseronokan dan kenikmatan, kerana ada saja sesuatu yang tidak diduga yang menanti kita di hadapan.

Ternanti-nanti, tertunggu-tunggu apakah yang akan datang dan berlaku selepas ini? Ingat! Setiap saat 'hidup' itu akan menerjah dengan sesuatu yang mengejut dan memeranjatkan.

Suatu kejutan yang tidak pernah berakhir, suatu kejutan bagaikan menanti dan menunggu sesuatu. Suatu misteri yang tidak pernah diketahui awal dan akhirnya.

Namun kita mesti tetap menjadi "sungai atau lautan yang terus saja mengalir ke lautan Ketuhanan, tanpa cemas, takut, dan gelisah". Tanpa mengharap dan pergantungan selain 'DIA'. Teruskan pengaliran, jangan biarkan diri itu "beku, kaku, dan berlopak tidak mengalir".

Kekalkan sikap dinamik, segar, remaja, walaupun tubuh itu akan terus tua, namun "semangat dan roh tetap tidak tua". Ia akan cepat tua jikalau kita membenarkannya dan perlu diingat dan diketahui;

"Kematian bukan suatu kesudahan, malah ia suatu permulaan, suatu pintu yang terbuka luas ke langit biru, bebas dari kesengsaraan, terpenjara dan terbelenggu".


From Empty Hands,
A.Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
016-6020321

23 MAY 2010

Next Topic: 1."Sacrifice Is The Hallmark Of A Doctor"
2. "Manusia Menyalahgunakan Planet Tempat Kediamannya Sendiri".