Tuesday, February 8, 2011

MANUSIA DISELUBUNGI MAYA KEPALSUAN DAN TERHIJAB

'Tubuh badan' yang kita anggap 'KITA' selama ini adalah sesuatu yang bersifat 'KAKU'(tidak boleh bergerak). Ramai yang akan membantah, mempertikai, mana mungkin ia bersifat 'KAKU'. Sedangkan di sana sini, di sekeliling kita, ia mampu berjalan, tumbuh mengembang.

Jawapan untuk merungkai keraguan tersebut, cuba ikut contoh ini:

"Bila kita membersih dan menyapu rumah kita setiap hari, dan terus saja menghimpun dan menimbun sampah tersebut ke suatu sudut atau tempat. Sampah tersebut akan menjadi bertimbun dan membukit".

Serupa juga; "Jika kita terus menyumbat perut kita dengan pelbagai makanan dengan kerap setiap hari, tubuh badan itu, walau tidak dapat merasai, ia akan tumbuh mengembang, terhimpun macam kita menimbun sampah ke suatu sudut atau tempat".

Perlu kita sedari bahawa tubuh itu boleh berfungsi dengan memakan pemakanan, bercakap, berjalan dan tumbuh mengembang dan sebagainya.
Semuanya itu kerana... "Kesedaran Dalaman". Untuk tujuan itu, bolehlah tubuh badan itu kita samakan dengan 'sebuah kereta'.

'Mata' adalah umpama 'lampu depan kereta'. 'Lidah' umpama 'hon' dan 'telinga' umpama 'pembesar suara'. Semuanya itu dikeranakan oleh 'bateri' di dalam kereta tersebut yang menyebabkan seluruh komponen yang disebutkan di atas boleh berfungsi.

Samalah juga, seluruh organ di tubuh manusia yang 'kaku' itu boleh berfungsi hanya kerana adanya 'ROH' 'Kuasa Ketuhanan' di dalam tubuh masing-masing.

Mari kita sama-sama fahamkan kepada satu lagi 'analogi'.

"Seketul besi yang kaku dan kelihatan mampu bergerak dan menggerakkan besi itu ke sana ke mari bila ia ditarik dan tertarik oleh 'kuasa magnet'".
Begitu juga seluruh 'organ' tubuh badan yang kaku itu mampu beroperasi, adalah kerana 'Roh' yang hadir di dalam setiap tubuh badan.

Adalah amat malang kita menghabiskan banyak waktu, usaha dan wang ringgit semata-mata menghias tubuh badan yang bersifat luaran yang 'tidak kekal', 'kaku' dan 'fana' itu dengan melupakan "hakikat Diri Dalaman" masing-masing.

Ada tiga (3) jenis kecenderungan di mana kita manusia tersalah tanggapan terhadap tubuh badan itu.

1. Menyalah anggap dan menganggap bahawa tubuh badan itu adalah 'Dirinya', sedangkan 'TIDAK'.
2. Menganggap seseorang atau sesuatu objek yang BUKAN kepunyaan dan haknya tetapi dianggap sebagai kepunyaannya.
3. Menganggap dan mempercayai sesuatu yang bersifat 'fana' atau 'tidak kekal' sebagai "sesuatu yang kekal lagi abadi".

Cuba halusi dan hayati perkara yang pertama:

Semua manusia menganggap 'tubuh badan' itu adalah "Diri Yang Sebenar", halusi ayat atau suku kata seperti yang dimaksudkan ini:

Kenapa kita mengatakan... "Ini tubuh badan aku." Ungkapan atau pernyataan kita sangatlah jelas bahawa terkandung di dalam kata-kata tersebut... bahawa kita adalah berbeza dari 'tubuh badan' atau "kita bukan tubuh badan". Kerana 'Tuannya' (Saya) dalam ayat tersebut "bukanlah tubuh badan", tetapi adalah 'TUAN' tubuh badan yang menyebut... "Ini tubuh badan saya."

Satu lagi contoh:

Bila seseorang itu berkata... "Ini saputangan saya." Ertinya "dia bukan saputangan".

Justeru saudara pembaca, mana mungkin seseorang mengatakan bahawa "dia adalah tubuh badan?" Inilah sebenar-benarnya asas kepada 'kesilapan besar' atau 'keterlanjuran', 'bertindih kuasa' dengan Yang Maha Berkuasa" yang selalu kita diingatkan jangan 'menyengutu' atau 'menduakan Tuhan'.

Oleh kerana kita tidak mahu mencari ilmu serta mengambil ringan dan mudah soal beragama, soal kerohanian dan ketuhanan, maka kita terabai dan bergelarlah kita 'jahil murakab'(jahil akan dirinya dan jahil akan Tuhannya).

Kedua:

Dalam soal keduniaan, kebendaan dan harta benda; Kita juga terpedaya dengan segala kepalsuan dan menganggap bahawa kitalah 'Tuan' dan empunya segala harta benda seperti:

"Rumah, tanah, kenderaan, wang ringgit".

Kita bina sebuah rumah yang tersergam, lalu kita mengatakan rumah itu kepunyaan kita. Sebaik kita menjualkannya, ia sudah tidak lagi kepunyaan kita. Demikian juga bila kita membeli sebuah kereta, kita juga kata kita punya kereta, sebaik saja kita menjualkannya, ia sudah tidak lagi kepunyaan kita.

Justeru apa yang menjadi hak milik kita, selagi kita memakai dan menggunakannya.

Kerana jahil dan lupa bahawa apa saja yang kita kata 'kepunyaan kita', tetapi bersifat sementara, tidak kekal, macam 'awan berlalu', maka tidak sepatutnya kita membuat "pergantungan secara melampau". Sebenarnya dari segi realiti... "Tidak ada satu pun hak kepunyaan kita". Diingatkan, samalah juga mana mungkin; apa-apa jua hak kepunyaan 'tubuh badan', kepunyaan tubuh badan itu menjadi hak kepunyaan kita?

Salah anggap atau tersalah anggap itu sebenarnya berpunca kerana 'hijab', illusi, maya atau kepalsuan. Kerana sifat-sifat ingin 'menghakmiliklah' kita dipersenda dan dipermainkan oleh 'akal' kita sendiri.

Saudaraku yang dikasihi!

Jika kita faham dan dapat menghalusi serta menghayati "bahawa kita BUKANLAH TUBUH BADAN". "SAYA adalah SAYA". Itulah asas kepada "Ilmu Mengenal DIRI mengenal TUHAN".

Seperkara lagi, seseorang sebelum ia berkahwin, tiada siapakah 'suami' kepada siapa, dan 'isteri' kepada siapa. Sebelum kelahiran pun begitu juga, siapakah 'ibu' dan siapakah 'anak'.
Hanya selepas berkahwin, kita mula berkata, "Ini isteri saya, ini suami saya, dan ini anak saya." Itu semua berlaku setelah seseorang itu dilahirkan.

Tetapi semua pehubungan itu adalah bersifat sementara sahaja, tidak kekal dan ia berasaskan pengenalan 'tubuh badan' semata-mata, itu adalah salah dan tidak betul.

Ingat!
"Tidak seorang pun yang lahir ke dunia ini membawa secebis kain, dan tidak seorang pun yang akan meninggalkan alamatnya sewaktu ia hendak meninggal dunia."

"Tidak ada satu pun 'Hak Kepunyaan Kita', tidak juga 'Tubuh Badan' itu." Sebenarnya kita jahil, kita tidak tahu realiti diri kita yang sebenar, dan menganggap "yang BATIL sebagai HAK", dan "yang HAK sebagai yang BATIL". Begitulah ramai orang di dunia ini terpedaya dengan illusi dan khayalan di alam maya ini.

"Kita sendiri yang mencipta masalah kita di dunia ini. Ingat!... Kita adalah Diri kita sendiri. Kita bukan milik sesiapa pun dan tidak juga seseorang itu milik kita."

Hanya ada 'SATU' sahaja realiti yang wujud... ianya adalah 'ALLAH!'
"Kita jangan menganggap yang banyak itu realiti".
"Tetapi yang 'SATU'lah realiti pada yang 'BANYAK'".
Ertinya:
"Jangan pandang yang 'banyak' pada yang 'SATU', pandanglah yang 'SATU' pada yang 'BANYAK' itu".

Dari sudut 'mata kerohanian'; "Pandanglah Yang 'SATU' Pada Yang Banyak".
Kita perlu menjalankan tugas dan kewajipan kita terhadap seluruh keluarga kita, tetapi jangan kita 'terpesong' dari "jalan Kerohanian dan Mata Hati".

Kita semua perlu 'mengenal' dan 'tahu' bahawa tidak ada satu pun kepunyaan kita, "pandanglah 'dalaman' seseorang itu, sama ada ia bergelar ibu, bapa, adik, kakak, abang, saudara-mara, rumah atau sebagainya". Semua yang bersifat 'luaran' - 'zahiriah', adalah 'bersifat fana', sementara atau sesuatu yang 'bersifat sepintas lalu', dalam ertikata lain; 'tidak kekal'.

Kalau 'tubuh badan' yang kita pandang dan sebagainya, semuanya tertakluk kepada 'perubahan'. Itulah 'punca' kepada 'kekacauan akal'.
Semua 'tubuh badan' melalui pelbagai 'proses perubahan', kerana 'pemakanan' atau 'tabiat' dan 'corak penghidupan' masing-masing.

Ingat!..

Apa jua 'perubahan' yang berlaku pada 'tubuh' masing-masing, 'ROH' adalah 'Hakikat DIRI Dalaman' masing-masing, "tetap KEKAL, tidak berubah".

Perubahan 'nama' pada 'tubuh badan' (rupa bentuk), seperti bergelar 'bayi', 'kanak-kanak', 'remaja', 'dewasa', dan 'tua bangka', semuanya itu merujuk kepada 'tubuh badan'. 'Tubuh badan' itulah yang 'menghijab realiti' di sebalik 'tubuh badan' masing-masing.

Justeru "jangan disangka 'tubuh badan' itu adalah DIRI kita yang sebenar". Namun apa pun kita mesti mempastikan dan 'menjaga tubuh badan' dengan baik agar ia tidak dihinggap penyakit dan jagalah ia sebagai "suatu alat yang unik" dan menjadi "jambatan penghubung dengan Tuhan".

Dalam ertikata lain:

Sedang kita melayari hidup kita ini di sungai penghidupan, pastikan bahtera kita (tubuh badan) itu tidak berlubang dan bocor di sana sini agar ia tidak dimasuki air.

Ingat saudaraku pembaca yang dikasihi!

"Sebuah sampan atau bot memang tempatnya berada di atas air, tetapi pastikan jangan air dibenarkan masuk ke dalam sampan".

Beradalah di dunia ini, jalankan tugas dan tanggungjawab kita, tetapi jangan dibiarkan kerisauan, kerunsingan masuk ke akal fikiran kita, dan jangan akal kita mudah dipengaruhi oleh semua jenis budaya keduniaan, dan jagalah alat yang bergelar 'tubuh badan' itu baik-baik sementara berada di dunia yang fana ini.

Sahut apa jua cabaran, teruskan perjuangan, pastikan kita mesti menang!

Mulailah Hidup ini dengan Kasih Sayang, Penuhilah ia dengan Kasih Sayang, dan Akhirilah juga dengan Kasih Sayang!!!...


From Empty Hands,
A.Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
o16-6020321

09 FEBRUARY 2011

Next Topic: 1. "Death With Dignity"

2. "Jangan Melahirkan Anak-Anak Untuk Tujuan Penderitaannya"