Thursday, September 8, 2011

TANGGUNGJAWAB IBU BAPA TERHADAP ANAK-ANAK

Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak bukanlah seperti kita pergi kerja, "masuk jam 8.00 pagi dan balik jam 5.00 petang."

Kalau kita pergi kerja jam 8.00 pagi dan balik jam 5.00 petang, justeru, di manakah tanggungjawab Si ibu bapa kalau kedua-duanya keluar dari rumah dan meninggalkan anak-anaknya? Natijahnya, apa yang sedang dihadapi oleh institusi kekeluargaan dan kesannya kepada agama dan negara, menjadi tanda soal serta perdebatan yang meluas.

Ingat! "Tugas dan tanggungjawab ibu bapa bukanlah dari jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang", seperti kita pergi kerja pagi dan balik petang. "Ianya suatu tugas yang tidak berkesudahan". Dari segi masa pula, kita memang tidak cukup masa untuk melakukan apa jua, dari segi tugas dan tanggungjawabnya terhadap anak-anaknya.

Saudaraku yang dikasihi selaku ibu bapa!

Tidak kiralah berapa usia anak-anak kita, baru lahir atau yang sudah pandai bertatih, masih tidak terlambat untuk meletakkan tanggungjawab menjadi keutamaan kepada anak-anak, dan berbangga menjadi ibu dan bapa yang pengasih dan penyayang.

Ramai ibu bapa berfikir bahawa dialah saja yang tahu apa yang terbaik untuk anak-anaknya, meletakkan sangkaan dan jangkaan serta harapan yang sangat tingi. Dia memaksa anak-anaknya agar mengambil 'tuition', sedangkan Si ibu bapa sendiri boleh melakukannya. Dalam masa yang sama, disuruh anak-anaknya agar belajar menari, jika anaknya perempuan, dan taekwando, jika anaknya lelaki, kelas muzik, kelas komputer dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, tekanan terhadap anak-anak; "mesti dapat 'A' dalam peperiksaannya nanti, dan cemerlang dalam semua aspek". Dalam berlumba-lumba untuk berjaya ('rat-race'), Si ibu bapa tidak menyedari bahawa Si anak bertukar menjadi 'pemburu kepada kebendaan', bersaing, berlumba-lumba, menghakmilik di mana ia boleh berbangga dan menunjuk-nunjuk kepada kawan-kawan, saudara mara, dan lain-lain, untuk jadi bahan bualan.

Pada zaman dahulu, penghidupan anak-anak remaja tidak begitu tertekan, kerana tidak banyak tekanan dan pengharapan yang diletakkan sebegitu tinggi untuk dipenuhi. Tetapi anak-anak remaja masa kini, terutamanya di bandar-bandar, kini sudah menular ke kampung-kampung, terlampau atau terlalu banyak perkara-perkara yang hendak dibuat dan bersaing, maka itu ia adalah 'bukan seperti anak-anak biasa'.

Ramai di antara ibu bapa 'gagal' menyedari selaku 'ibu bapa' bahawa ia 'ada hak tertentu dan tanggungjawab'. Si anak pula punya 'hak dan tanggungjawabnya' juga.

Tetapi apa yang berlaku pada hari ini, kita mempunyai ibu bapa yang 'arah' atau 'haluan' secara melampau. Tetapi dalam banyak kes kita lihat anak-anaknya menjadi sebaliknya, tidak menjadi seperti apa yang diangan-angankan.

Saudaraku ibu bapa, biarlah kita jadi ibu bapa yang realistik dan bertimbang rasa. Janganlah kita menetapkan sasaran, di mana ia tahu bahawa anak-anaknya tidak dapat memenuhi hajatnya. Oleh itu selaku ibu bapa, tidaklah perlu mencipta tekanan yang tidak sewajarnya dalam sebuah keluarga. Ingat! "Mencipta sebuah keluarga bahagia adalah suatu proses yang berterusan."

Selaku ibu bapa, bukan saja perlu peka sepenuhnya terhadap peranan dan tanggungjawabnya, tetapi perlu juga menyesuaikan diri selaku ibu bapa pad zaman moden yang penuh cabaran, dengan memahami teknik dan kesesuaiannya; Seperti kata-kata yang sangat tua:

"Jika kita ada enam (6) jari, jangan cuba hendak mengurangkannya menjadi lima (5). Dan jika kita punya lima (5) jari, jangan dicuba untuk menjadikannya enam 6)."

Ertinya:
"Janganlah kita cuba hendak mengatasi hukum alam."

Selaku 'ketua keluarga' atau 'ibu bapa', kitalah yang bertanggungjawab terhadap kebaikan dan kesejahteraannya. Jika Si anak-anak itu membesar sihat dan beradab, bersusila,serta menjadi seorang warganegara yang baik, itu semua adalah usaha gigih ibu bapa. Tetapi jika Si anak-anak itu membesar tidak beradab dan rosak akhlak atau moralnya, maka kitalah selaku ibu bapa yang bertanggungjawab...
"Jangan sekali-kali kita menyalahkan orang lain."

Selaku ibu bapa, memang sudah menjadi tuntutan dan bertanggungjawab untuk membimbing dan mengasuh anak-anak ke jalan yang betul. Walaupun ada kes-kes yang tidak boleh diperbetulkan lagi kerana kerosakan akhlaknya, namun apapun selaku ibu bapa, secara moralnya, kitalah mesti dipersalahkan... Ingat!

"Anak sipakah mereka itu, kalau bukan anak kita?"

Sokongan dan pengawalan adalah perlu sewaktu anak-anak sedang meningkat remaja. Selaku ibu bapa akhirnya anak-anak itu mesti dijadikan sebagai kawan yang karib mengikut kesanggupan dan kemampuan masing-masing. Ada kesilapan yang berlaku kepada ibu bapa yang cuba menjadikan anak-anaknya yang berusia 6 tahun sebagai kawan. Kita selaku ibu bapa perlu berhati-hati apa yang saya maksudkan sebagai 'kawan'. Saya tidak bermaksud kita jadikan ia sebagai 'kawan', seperti 'kawan' yang sudah matang, tetapi mesti diberi 'kasih sayang, kepercayaan, dan penghormatan'. Pada usia semuda itu selaku anak-anak, ia sangat memerlukan ibu bapanya, bukannya... kawan-kawan.

Sewaktu kita membina kasih sayang dan memberinya sokongan perhubungan yang intim terhadap anak-anak, adalah dinasihatkan agar ibu bapa dapat membantu mengembangkan hal-hal dalaman diri anak-anak tersebut dari hal-hal keagamaan dan kerohanian.

Tetapi itu semua, kita selaku ibu bapa mesti ada masa untuk anak-anak, seperti:

Kita mesti ada masa untuk menjawab semua persoalannya.
Membantunya untuk memahami 'rasa kehairanan dan kekagumannya' terhadap alam dan penghidupan di persekitarannya.

Kita ibu bapa perlu ingat dan ambil perhatian, bahawa kitalah ibu bapa yang menyekat dan membuat anak-anak itu beku dan kaku terhadap anak-anak bila kita tidak dapat menjawab soalan-soalannya apabila ia bertanya. Tahukah kita bahawa apabila anak-anak mengajukan soalan itu, ertinya ia cuba... 'berkomunikasi'. Justeru cabaran yang paling besar yang kita selaku ibu bapa perlu berhadapan adalah "untuk bersedia menjawab dengan penuh berhemah, dengan penuh kasih sayang". Dan apa jua yang kita lakukan mestilah secara natural, bersesuaian dengan perangainya yang suka banyak bertanya selaku anak-anak.

Secara Saintifik, jika kita ingin menyelesaikan masalah, adalah dengan melihat kepada permasalahan itu sendiri. Dapatkan semua maklumat atau data sebanyak yang mungkin, kemudian diadun dan disusun secara teratur.

Samalah juga anak-anak, yang mempunyai perasaan ingin tahu, memerlukan jawapan yang diinginkan akan mengajarkannya cara memikir dan secara Saintifik, disamping secara kreatif, sebagai bekalan yang sempurna apabila ia menjelang dewasa.

Ambil sedikit contoh ini:

Apabila kita memberikan bahan permainan kepada aanak-anak, berilah ia secara 'berhemah' dan penuh 'kasih sayang'. Tetapi ada ibu bapa, cara memberinya adalah dengan 'jeritan, menghentak, melontar', seraya berkata;
"Jangan buka macam itu, jangan pecah dan rosakkan permainan itu, harganya mahal. Tahukah engkau betapa bertuahnya mendapat permainan ini."

Ingat!... Selaku ibu bapa, apa kata jika permaianan itu dipecahkan atau dirosakkannya juga? Jika kita mampu membeli permainan tersebut, secara logiknya juga cara memikirnya, ia juga mampu memecah atau merosakkannya juga.

Sebenarnya apa yang patut kita lakukan selaku ibu bapa ialah mesti mengambil sikap berlembut dan mengatakan kepadanya;

"Sayang!.. mari kita buka kotak ini bersama." Dan buat sedikit jenaka dengannya dan bukannya bersikap negatif, berilah apa saja dengan sifat kasih sayang.

Itu pun hanya boleh kita lakukan jika keadaan kita selaku ibu bapa tidak dalam keadaan tertekan atau 'stress'. Sebaliknya kita mesti dalam suasana riang dan gembira, barulah suasana atau iklimnya menyenang dan menceriakan.

Ada kalanya juga ibu bapalah yang bertanggungjawab , kerana menanam benih-benih pembohongan dan hipokrit dengan pelbagai cara, ada ibu bapa yang berbohong secara langsung, sama ada secara aksi atau percakapan, begitulah bermulanya penggalakan lingkaran sebab dan akibat kejahatan mengembang.

Nasib untung anak-anak semuanya bergantung kepada kita selaku ibu bapa dan yang lebih dewasa tentang perangai baik buruknya dalam kita mendidiknya di sepanjang perkembangan dan pertumbuhannya.

Berhati-hati bila kita berbual-bual bila anak-anak berada di sisi kita, kerana ia suka meniru apa saja yang dilakukan oleh ibu bapa. Oleh itu untuk mengekang anak-anak dari bersikap kurang ajar, biadab dan kurang sopan, maka ibu bapa berhati-hatilah apabila berbual dan bebicara, gunakanlah bahasa yang lunak, lembut, dan menyenangkan.

Anak-anak umpama rebung, lihat cara kita melenturnya, ia sangat mudah terpengaruh, ia memerlukan belaian dan kasih sayang serta perhatian sepenuhnya daripada kita selaku ibu bapa sebagai model yang unggul baginya.

Tanpa kasih sayang dan bimbingan sepenuhnya, secara emosinya ia seorang anak yang cacat dan lumpuh, bukan secara fizikalnya, tetapi dari segi emosinya; bila emosinya tercalar dan cacat, akan didapatinya nanti bahawa dunia yang sedang dihuninya ini sebagai tempat yang membingungkan.

Menanam kasih sayang kepada anak-anak bukan bererti memuaskana nafsunya terhadap segala permintaannya, berpatutanlah, bersederhanalah. Jika tidak, kita akan merosakkan anak-anak kita. Dalam kita menyemai kasih sayang, kita selaku ibu bapa perlu juga tegas, bukannya berkasar dan berkeras. Tunjuk dan tonjolkan kasih sayang melalui akal dan tangan yang penuh disiplin.

Ibu bapa patut melapangkan masa yang sangat bernilai sepenuhnya ('quality time') dengan anak-anaknya. Luangkan masa dengan anak-anak dan berikan mereka hadiah kasih sayang secara sihat, bukannya memberikan hadiah perkara-perkara yang berbentuk material.

Malangnya, di kalangan ibu bapa masa kini, kurangnya belaian kasih sayang terhadap anak-anak. Inilah yang menjadi penyebab kepada kerosakan akhlak dan keruntuhan rumah tangga yang sekarang ini menjadi-jadi di dalam institusi kekeluargaan.

Gila mengejar dan memburu harta benda, dan kemajuan Sains dan Teknologi, kebebasan bergaul, sibuk bekerja, sibuk bermesyuarat, sibuk berpolitik dan macam-macam kesibukan. Tetapi di rumah.... Orang gajilah sebagai pengganti ibu bapa kepada anak-anak, atau menghantar anak-anak ke pusat penjagaan. "Maka berlakulah kebingungan deria dan akal Si anak-anak."

Ambil perhatian nasihat saya ini; terutama mereka yang banyak duit dan berpangkat, berpelajaran tinggi, yang "rumahnya macam tempat persinggahan."... AWAS!

Jika kita ada orang gaji dan membayarnya sebagai pengganti ibu bapa kepada anak-anak kita, percayalah, bila kita selaku 'ibu mati' atau meninggal dunia nanti, Si anak tidak akan menangis, tetapi bila 'orang gaji itu mati', Si anak akan menangis teresak-esak.

Membekalkan kepada anak-anak hadiah dalam bentuk barang-barang permainan yang canggih seperti 'kereta kebal, senapang, pistol, pedang' dan sebagainya, adalah sangat merbahaya, dalam pembentukan akhlak adalah tidak dinasihatkan.

Menghadiahkan 'senjata' permainan seumpama itu bukanlah sebagai ganti kepada kasih sayang seorang ibu atau bapa. Perbuatan begini adalah 'tidak betul', akhirnya Si anak itu secara tidak disedari, elemen emosi di dalam diri anak-anak itu seolah-olah telah ditanam dengan sifat-sifat agresif, yang sepatutnya anak-anak tersebut ditanam dengan sifat-sifat kasih sayang, baik hati, pemurah, dan suka menolong.

Anak-anak yang dibekalkan dengan alat-alat permainan yang berbentuk 'senjata permainan', secara tidak langsung kitalah yang membentuk kecenderungan di dalam diri anak-anak, bila ia membesar nanti.

Justeru, tidak usah dihairankan bila anak-anak itu membesar nanti, ibu bapa berhadapan dengan masalah 'rosak akhlak, perosak harta benda awam,' dan sebagainya.

Maka semua itu, siapakah yang patut dipersalahkan, jika kita selaku ibu bapa melahirkan anak-anak yang rosak akhlak, degil, keras hati... Pastinya semua itu ibu bapalah yang harus menjawabnya.

IBU BAPA PERLU TAHU, NATIJAH KESAN DAN AKIBAH.

Terutamanya ibu-ibu yang bekerja, setelah sehari suntuk bekerja di pejabat atau di mana-mana sektor, diikuti pula dengan kesibukan kerja-kerja rumah, memang terlalu sukar untuk memanjakan anak-anaknya dengan kasih sayang yang dirindui oleh Si anak-anak. Ibu bapa yang tidak punya masa untuk anak-anak, natijahnya; janganlah di suatu hari nanti, anak-anaknya juga tiada masa untuk menjaganya, bila ia tua kelak. Ibu bapa yang menganggap mereka telah banyak mengeluarkan wang untuk membesarkan anak-anaknya tetapi terlalu sibuk dengan kerja-kerjanya, juga janganlah di suatu hari nanti ia mengungkit-ungkit anak-anaknya juga sibuk dan meminta anak-anaknya agar menghantarkannya ke rumah orang-orang tua, jika Si anak tiada masa untuk menjaganya.

Ingatlah!... Selaku ibu bapa, nilai-nilai kebaikan bukan boleh diajar melalui percakapan, tetapi mestilah melalui 'amalan atau perbuatan'. Ibu bapa mesti menjadi contoh atau 'model dari dirinya sendiri', semuanya mesti bermula di rumah. Perlu diingat!... Bahawa jika ada masalah atau konfliks antara anak-anak dan ibu bapa; "Jawapannya mesti ada pada Si ibu bapa itu sendiri."

Sesiapa juga pembaca, khususnya ibu bapa, bakal ibu bapa, nasihat saya begini:

Pengorbanan daripada kedua-dua pihak selaku ibu bapa itu perlu. Faktor 'masa' untuk anak-anak, itulah yang sangat penting, bukan seperti apa yang saya katakan pada awal-awal lagi, ia bukannya "seperti pergi kerja pukul 8.00 pagi dan balik pukul 5.00 petang." Di antara waktu itu, jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, berada di manakah anak-anak kita itu? Jurang waktu itu begitu lama, maka nasihat saya "buatlah pilihan yang bijak!"


From Empty Hands,
A. Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
016-602 0321

08 SEPTEMBER 2011

Next Topic: 1. "About Women And Why Women Never Thought About War"

2. "Kisah Mengenai Bai'ah Dan Peristiwa Perjanjian Aqabah"