Monday, February 15, 2010

JIKA KITA KEHILANGAN DUIT; JIKA KITA KEHILANGAN KESIHATAN; JIKA KITA KEHILANGAN AKHLAK DAN TINGKAHLAKU.

"Jika kita kehilangan duit, sebenarnya tiada apa-apa yang kehilangan; Kerana duit boleh dicari".
"Jika kita tidak sihat, itu ertinya kita sudah mula hilang sesuatu" ;
"Jika kita kehilangan akhlak, adab, perangai dan tingkahlaku; Itu ertinya kita sudah hilang segala-galanya".


Justeru, akhlak, adab, perangai dan tingkahlaku, mengatasi segala-galanya. Dalam ertikata lain; "adalah yang tertinggi". Dan ia merupakan suatu nilai yang mesti dipertahankan oleh individu atau semua orang. Itulah yang dikehendaki oleh Tuhan selaku pencipta hambaNya selama-lamanya.

Tetapi ramai yang tidak menyedarinya akan kehendak tersebut. Ramai di antara kita menghabiskan masa dan waktu mengejar kebendaan, kekayaan dan aktiviti-aktiviti kepentingan diri.

Sewajarnya kita manusia, sifat "suka mementingkan diri" mesti dicabut hingga ke akar umbinya dari hati masing-masing. Kita manusia semuanya sama dicipta dari "satu pencipta". Kita manusia di dalam dunia ini bagaikan "satu keluarga di bawah matahari yang satu". Sama ada yang percayakan Tuhan atau tidak, sama ada yang muda atau tua.

Apa yang penting adalah meningkatkan nilai - "nilai kemanusiaan". Tanpa nilai-nilai murni, kita manusia adalah hanya pada "paras rupa". Manusia yang penuh dengan nilai-nilai seperti amarah, cemburu, tamak haloba, atau sebagainya, semuanya itu adalah seperti "kebinatangan". Tahukah kita bahawa 'amarah' adalah 'sifat anjing' atau 'monyet'. Ingatkan diri itu, apabila rasa marah itu terbit;... Ingatkan diri itu bahawa kita bukanlah 'anjing', nanti rasa marah kita akan menyusut.

Banyak "nilai kebinatangan" bermaharajalela di dalam diri manusia dewasa ini. Itulah perkara-perkara yang kita sama-sama perlu perbetulkan. Justeru, apakah nilai-nilai kemanusiaan itu?

"Kasih sayang, belas kasihan, kebenaran, kesabaran, kesefahaman dan sebagainya. Itulah di antara nilai-nilai yang perlu kita tanamkan di dalam hati masing-masing".


Kehendak dan cubaan Tuhan terhadap hambaNya adalah pelbagai, dan apa hikmahnya di sebalik kehendakNya, di luar jangkauan akal fikiran manusia. Oleh itu, kita manusia cuba beraksi dan bertindak bersesuaian dengan keadaan tersebut.

Ada kalanya tindakan kita itu tidak cucuk atau tidak sesuai dengan kehendak Tuhan. Maka terbakarlah kita, melentinglah kita, kita marah, ada kalanya kita persalahkan orang lain. Serupa halnya dalam perangai kita yang lain-lainnya, seperti;

"Cemburu", "tamak haloba", "keangkuhan", "kepalsuan", atau sebagainya. Jika semuanya itu kita halakan atau tujukan kepada orang lain - semuanya itu, sebenarnya menzahirkan kelemahan, kedunguan dan kejahilan kita sendiri. Sifat-sifat begitu sebenarnya kita menekan diri kita sendiri dan tekanan yang kita rasai, tidak lagi tertanggung, maka orang lain kita jadikan 'sasaran'.

Usaha kita sepatutnya, mengekang kemasukan atau kehadiran perangai-perangai yang tidak sepatutnya.

saudaraku yang budiman lagi dikasihi;

"Pelbagai minyak; Seperti minyak petrol, minyak makan, arang batu,... adalah ditarik atau perap keluar jauh dari dalam dasar bumi atau sebagainya".
Pertama-tama, cuba fikirkan dari manakah terbit atau munculnya?

Kalau minyak petrol jauh ke dalam dasar laut, berlapiskan air masin, kalau arang batu dari perut bumi, kalau minyak kelapa, perlukankelapa tua, tetapi proses pemendapan sehingga terbentuk atau terciptanya bahan-bahan tersebut, tidaklah sekelip mata, tetapi bagaimanakah terjadinya?

Kemudian ia muncul menjadi kenyataan di permukaan.

Samalah juga dari dalam diri itulah muncul pelbagai keinginan, nafsu, amarah, kebencian atau sebagainya, yang sentiasa saja terkumpul dan tersembunyi di dalam diri itu - cuma suatu hari atau suatu masa, ia akan muncul ke permukaan. Maka awaslah! Agar kita dapat mengawalnya. Itulah nilai-nilai yang terpuji jika kita dapat membendungnya dari menular keluar dan menjangkiti orang lain yang tidak berdosa, angkara kita yang jahil dalam banyak hal.

Sebenarnya percubaan untuk mengawal dan mengekang marah adalah petanda kepada kelemahan kita. Adalah lebih baik kita menyedari sedalam-dalamnya yang kita ini adalah manusia yang punya sifat-sifat atau nilai terpuji secara semulajadi, kerana kita bukanlah binatang liar yang perlu disekolahkan, diasuh, diajar atau diagamakan, agar kita mesti jadi orang baik-baik.

Ingat! di dalam hidup ini "kesihatanlah kekayaan" kita. Tidak boleh dinafikan, memang manusia telah berjaya menakluk dan menguasai apa saja di dunia ini, tetapi ada kata-kata yang amat tua untuk dikongsi:

"Seseorang memang pakar dalam apa jua bidang ilmu pengetahuan".
"Seseorang mungkin boleh mengalahkan musuhnya dalam pidato dan perdebatan".
"Seseorang mungkin gagah perkasa dan berani di medan pertempuran".
"Seseorang itu mungkin seorang raja yang memerintah sebuah negara yang besar".
"Seseorang itu mungkin mampu menderma emas berpikul-pikul atas nama derma".
"Seseorang mungkin boleh mengira berjuta-juta bintang di langit".
"Seseorang mungkin boleh menamakan pelbagai jenis penghidupan di muka bumi ini".


Tetapi adalah mustahil dan tidak mungkin dia dapat mengawal denyut jantungnya sendiri, tubuh badannya, dunianya dan kocakan akal fikirannya.

Justeru, nasihat saya kepada pembaca, dalam apa jua tindakan melalui lima deria dan akal yang waras lagi bijaksana...

"Kuatkanlah kuasa perbandingan", agar kita tetap kekal sebagai "not only human, but be human!"


From Empty Hands,
A. Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
016-6020321

16 February 2010

Next Topic: "Difference Between A Vision And Illusion"

1 comment:

  1. Assalamualaikum ya khalifahku.
    sy ingin bertanyakan mengenai hakikat solat. boleh tuan terangkn mengenainya?

    ReplyDelete