Thursday, October 27, 2011

KISAH MENGENAI BAI'AH DAN PERISTIWA PERJANJIAN AQABAH

Perjalanan sejarah atau sirah Nabi Muhammad SAW sama ada sukar atau mudah untuk diikuti, amat penting untuk kita ketahui. Malah kalau dapat kita dalami dan dikaji dengan lebih lanjut lalu dihayati, itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang ingin berjuang dengan berpegang teguh dengan sumpah dan janjinya kepada Allah.

KISAH MENGENAI BAI'AH ATAU PERJANJIAN AQABAH

Secara ringkasnya ia merupakan 'Perjanjian Damai' atau 'Sumpah Setia' yang berlaku antara Nabi Muhammad dengan beberapa penduduk Yathrib (nama lama Madinah Al-Munawarrah) yang datang menemui baginda di sebuah tempat atau bukit bernama 'Aqabah'. Bukit itu terletak beberapa kilometer di utara Kota Mekah itu berdekatan dengan Mina.

Kita jangan keliru kerana terdapat sebuah perkampungan di Timur Laut Tebing Barat, Palestin, juga dikenali sebagai 'Aqabah' yang dirampas daripada penduduk Palestin untuk dijadikan sebuah kem tentera besar Rejim Israel.

Juga perlu diketahui sebuah bandar di selatan Jordan juga bernama 'Aqabah', di samping kita menyebut 'Aqabah' iaitu perbuatan 'ibadat haji' iaitu 'melontar batu Jumrah yang ketiga, iaitu 'Jumrah Al-Aqabah'.

'Perjanjian 'Aqabah' merupakan 'Perjanjian Pertama' antara baginda dengan mana-mana pihak, sama ada dari dalam mahupun luar kota Mekah. Ia melibatkan satu persefahaman untuk memberi ketaatan kepada Rasulullah.


PERISTIWA PERJANJIAN 'AQABAH

Perjanjian Aqabah merupakan susulan "selepas enam (6) orang penduduk Yathrib memeluk Islam" pada musim Haji Tahun Ke 11 Kenabian. Mereka berjanji kepada baginda untuk menyampaikan risalah Islam di kalangan kaum mereka apabila pulang semula ke Yathrib.

Hasilnya, pada musim Haji berikutnya, iaitu musim Haji Tahun Ke 12 Kenabian, bersamaan Julai tahun 621 Masihi, "datanglah seramai 12 orang lelaki termasuk lima orang yang menemui Baginda sebelum ini."

Lima (5) daripada tujuh (7) muka baru yang menemui Baginda itu terdiri daripada suku atau Kabilah Al Khazraj, manakala dua (2) lagi, suku Aus.

Mereka bertemu dengan Baginda 'di Bukit Aqabah', bagi memateri satu perjanjian yang dikenali sebagai 'Perjanjian Aqabah'. Antara lain seperti yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Ubadah bin Al-Samit, iaitu salah seorang daripada suku Al-Khazraj yang menerima Perjanjian Aqabah itu, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Marilah, berbai'ahlah kepada Ku, bahawa kamu tidak akan mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak kamu, tidak membawa cerita-cerita fitnah dari hadapan dan belakang, dan tidak mendurhakai ku dalam kebajikan."

"Barangsiapa yang terlanggar sesuatu daripadanya lalu dihukum semasa di dunia, maka itu adalah sebagai penebusan (kaffarah)."

"Namun jika sesiapa yang terlanggar akan perjanjian itu dengan melakukan perkara yang sama-sama kita berjanji untuk tidak melakukannya, tetapi ditutupkan oleh Allah daripada pengetahuan manusia, maka urusannya terserahlah kepada Allah. Jika Dia mahu, maka Dia akan menyiksakannya dan jika Dia mahu, Dia akan mengampunkannya."

Ubadah pun berkata, "Lalu aku pun membaiahnya."
Diriwayat lain disebutkan, "Lalu kami pun membai'ahnya atas perkara-perkara yang disebutkan oleh Rasulullah itu."

DARI ASPEK SOSIAL DAN POLITIK

Namun dari aspek sosial dan politik, penduduk Arab melakukan "Perjanjian (Bai'ah) Damai" antara kabilah dan sebagainya, adalah biasa dilakukan. Telah menjadi adat dan tradisi mereka "saling menyatakan sumpah setiakawan atau bersahabat baik bagi mencapai pelbagai tujuan dan matlamat tertentu".

DI SEBALIK PERISTIWA PERJANJIAN AQABAH:

Di sebalik perjanjian itu, tentunya kita tertanya-tanya mengapa penduduk Yathrib dengan begitu mudah dan tanpa sebarang masalah menerima dakwah daripada Rasulullah?... Hanya dengan satu pertemuan sahaja dengan baginda. Mereka seolah-olah seperti telah lama menunggu saat menerima dakwah baginda itu.

Persoalan ini memerlukan kita melihat situasi yang berlaku di Yathrib itu sendiri yang menjadi sebab musabab utama mengapa mereka dengan mudah memeluk Islam.

KOMPOSISI PENDUDUK 'YATHRIB'

Komposisi penduduk di Yathrib terdiri daripada tiga kelompok yang besar, iaitu kaum Yahudi dan dua lagi kaum Arab terdiri daripada suku kaum 'Al-Khazraj' dan 'Aus'.

Kedua-dua puak Arab ini merupakan kaum yang menyembah berhala di Yathrib, manakala kaum Yahudi dengan agama Yahudi, mereka sebagai golongan ahli kitab yang mempercayai 'Kitab Taurat'.


DALAM BUKU KARANGAN HUSSEIN HAEKAL

Menurut Hussein Haekal dalam 'bab Ikrar Aqabah', dalam buku 'Sejarah Hidup Muhammad SAW', kaum Yahudi dan dua suku Arab di Kota Yathrib itu tidak pernah hidup aman. Persengketaan demi persengketaan yang membawa peperangan, sering berlaku. Sejarah mereka agak panjang iaitu melibatkan "pelbagai punca terutamanya soal agama."

Menurut Haekal, apabila 'puak Nasrani' yang mendiami 'Syam' yang berada di bawah pengaruh Rom Timur (Baizantin), mereka terlalu membenci dan memarahi kaum Yahudi tanpa mengira di mana puak itu berada.

Mereka percaya kaum itu telah menyebabkan kematian Nabi Isa AS, iaitu dengan cara menyiksa dan menyalib baginda. Lalu kaum Yahudi yang sekian lama mendiami Tathrib, turut menjadi mangsa kemarahan kaum Nasrani itu. Namun, cubaan untuk menghapuskan terus 'kaum Yahudi' itu tidak pernah berjaya sehinggalah puak 'Nasara' meminta bantuan daripada 'suku Arab Khazraj dan Aus, untuk membalas dendam.'

Namun kedudukan Yahudi semakin terancam apabila suku Arab itu sendiri ingin menyingkir kaum itu keluar dari Yathrib, bagi membolehkan mereka memonopoli dan menguasai sepenuhnya bandar yang makmur dan subur dengan pelbagai hasil pertanian dan perniagaan itu.

YAHUDI PECAH BELAHKAN SUKU-SUKU ARAB

Namun Yahudi yang menyedari niat suku Arab itu, 'betindak pantas dan bijak' dengan melancarkan "gerakan memecah belahkan suku-suku Arab tersebut".

"Caranya, dengan menciptakan pelbagai 'provokasi dan fitnah' yang menyebabkan suku Khazraj dan Aus sering bertelagah sesama sendiri."

Gerakan licik dan halus oleh Yahudi itu benar-benar mengembalikan semula kedudukan mereka di 'Yathrib'.

Soal keagamaan turut menyumbang kepada berlakunya 'Perjanjian Aqabah'. apabila kaum Yahudi di Yathrib, yang merupakan golongan ahli Kitab, dan mempercayai Tuhan yang 'SATU' (MONOTEISME), sering mengejek-ejek dan mencela perbuatan suku Arab Khazraj dan Aus menyembah berhala.

Kaum Yahudi sering memperingatkan kepada mereka mengenai ramalan dalam Taurat mengenai kelahiran seorang Nabi yang akan menyelamatkan kaum Yahudi.

Namun mereka tidak bermaksud untuk mengajak suku-suku Arab itu memeluk agama mereka.
Maka apabila suku Arab di Yathrib mendengar dan mengetahui mengenai "seorang Nabi telah muncul di Kota Mekah" menyebabkan mereka akhirnya mengakui kebenaran ramalan dari kitab 'Perjanjian Lama Yahudi' itu.

Agaknya inilah nabi yang disebut-sebut oleh orang Yahudi mengetahui mengenai Nabi Muhammad SAW itu dan kita mendahului mereka untuk menerima kedatangan Nabi ini.

"Biar kita beriman terlebih dahulu, sebelum kaum Yahudi beriman terhadap Nabi itu, jika tidak tahu hujung pangkal, nasib kita tiada siapa yang tahu." Kata puak-puak Al-Khazraj dan Aus itu.


From Empty Hands,
A. Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
016-602 0321

28 October 2011

Next Topic: 1. "Mind Is A Great Force On This Earth. The Mind Of Man Functions On Three Planes"

2. "Bagaimana Menghadapi Kematian"

1 comment: