Monday, February 8, 2010

CIRI-CIRI MISTIK - GURU KETUHANAN

Ciri-ciri "orang mistik" lazimnya bukanlah seorang guru ketuhanan. Sebenar-benar orang mistik, ia tidak pernah mengembara, kerana "orang mistik tidak pernah berusaha untuk menemui sesiapa dan memindahkan segala pengalaman hidupnya". Ia telah memutuskan apa saja pengalaman yang dilaluinya tidak boleh dipindahkan. Dalam ertikata lain, tidak langsung boleh dihubungi dan didekati untuk mendapatkan sesuatu daripadanya.

Maka orang-orang mistik boleh disifatkan di sepanjang hayatnya adalah orang-orang yang tetap kekal berada di tempatnya, tidak mengembara dan menjelajah ke sana ke mari.

Padanya, apakah tujuannya menjelajah ke sana ke mari, masuk kampung, keluar kampung, dari satu negeri ke satu negeri yang lain, soalannya; Untuk apa?

Orang-orang mistik, ada pepatahnya sendiri yang sudah sangat tua:

"Sebuah perigi atau telaga, tetap kekal di situ. Hanya orang-orang
yang kehausan yang akan pergi ke perigi atau telaga tersebut.
Perigi atau telaga tidak boleh pergi kepada orang-orang yang sedang kehausan."


Tetapi lain halnya dengan pengembang-pengembang agama masing-masing, seperti Buddha, Mahwira, Bodhidharma, Shankara, Nagarjuna, Jesus, Muhammad s.a.w:
Mereka semua mengembara, walaupun mereka adalah orang-orang Ketuhanan.

Kalau pernah kita membaca sejarah di antara orang mistik adalah; Raman Maharshi, ia bukan seorang guru atau pendakwah.

Tetapi uniknya, adalah nabi besar Muhammad s.a.w

"Ia bukan sahaja seorang "Nabi dan Rasul", tetapi seorang Mistik dan
juga pendakwah."


Beliau mempunyai pepatahnya sendiri, mirip mengenai "Telaga dan Kehausan", dengan kata-katanya yang sangat indah. Katanya:

"Jika bukit-bukit, gunung-gunung, tidak dapat datang
kepadaku (Muhammad), tetapi aku (Muhammad) akan pergi
mendapatkan bukit atau gunung tersebut."


Muhammad itu bukan sahaja nabi dan rasul, tetapi beliau juga seorang guru... Tidak pula beliau menentang orang-orang mistik. Asasnya nabi Muhammad s.a.w amat tahu, ia tidak semudah apa yang difikirkan, malah amat sukar dan mustahil untuk berkomunikasi tentang hal-hal yang "HAK", dan hal-hal mengenai "MENGENAL DIRI" - atau "Kesedaran Diri Dalaman" masing-masing. Kerana "Ilmu Kerohanian" atau "Ilmu Ketuhanan", adalah suatu ilmu yang "melampaui kata-kata bahasa dan perbualan".

Tetapi namun apapun, ada guru yang arif dan bijak menyampaikan "secara tidak langsung" (indirect) untuk "menterjemah pengalaman dalamannya" yang sudah dirasai dan dialaminya, dengan mengalihbahasakan secara terjemahan luaran. Tetapi... Caranya boleh dicari, dan dijumpai. Mungkin alatnya juga boleh dicipta seperti apa yang dikatakan. Dan mungkin juga tidak boleh diperkatakan atau sesuatu yang "HAK" itu hanya mampu didengar sahaja.

Sebenarnya, kalau berbicara mengenai yang "HAK" - penekanannya adalah "ianya langsung tidak boleh diperkatakan", dan sebenarnya ia telah dipersetujui oleh orang mistik dan guru ketuhanan itu sendiri - "ia tidak boleh diperbualkan".

Tetapi bagi guru ketuhanan, ada bantahannya sendiri dan tidak bersetuju dengan orang mistik dalam satu hal katanya:

Walaupun ia tidak boleh diperbual atau diperkatakan - tetapi ia masih boleh didengar dan dilihat melalui mata seorang guru, dengan kehadiran seorang guru melalui kasih sayangnya, melalui ketenangan dan kesenyapannya hanya sekadar berada di sisinya - Semuanya itu boleh diterjemahkan melalui sikap dan tingkahlakunya untuk mengenalinya yang ianya adalah "guru Kerohanian atau Ketuhanan" .

Memang tidak dapat diungkap dengan kata-kata - tetapi sesiapa yang mendekatinya ... hatinya mula bergetar dan menari-nari, menanti lagu nyanyian, ungkapan perbualan yang akan timbul.

Bila kita berhadapan dengan seorang guru Ketuhanan, si murid pasti sedar bahawa ia sedang berhadapan dengan "seseorang yang luar biasa" - tidak ada penghidupan seperti orang biasa langsung - pada guru terdapat sesuatu yang lebih. Untuk menyedarinya, ia boleh dilihat dan disedari melalui sikapnya yang "penuh ketenangan", "penyepi dan pendiam", yang mengalir darinya adalah "keharmonian, kesejahteraan, dan kedamaian". Padanya, ia tidak peduli sama ada kita seorang "pencari", "ingin mengetahui", hendak dengar atau tidak - ia tetap dengan dirinya.

Seorang mistik atau seorang guru Ketuhanan, kedua-duanya punya pengalaman yang sama - cuma mereka punya pandangannya masing-masing - tetapi "kedua-duanya adalah sama dan betul".

Pada pemahaman saya selaku penyelidik dan pemerhati, "orang-orang mistik adalah orang-orang biasa, yang datangnya dari pelbagai kategori". Lazimnya ia merupakan orang-orang yang tidak petah, bukan seorang pemuisi, bukan seorang pelukis, bukan seorang pengukir, pemuzik, atau penari. Ia datangnya dari orang-orang biasa.

Tetapi bagi "guru Ketuhanan atau Kerohanian", mereka adalah orang-orang yang petah, berbakat:

"Kalau ia tidak boleh bercakap, ia boleh melukis."
"Kalau ia tidak boleh bercakap, ia boleh mengukir."
"Kalau ia tidak boleh bercakap, ia boleh menari."
"Kalau ia tidak boleh bercakap, ia boleh menyanyi."


Justeru, melukis, mengukir, menari, menyanyi, dan lain-lainnya, adalah "kreativiti seni", yang semuanya itu merupakan alat baginya di mana bahasa tidak mampu untuk menyampaikannya.

Ada juga orang-orang yang bukan saja petah dengan bahasa, malah ia boleh juga bercakap melalui kata-katanya itu dan menghantar kata-katanya dalam bentuk maklumat kepada kita tanpa perlu bercakap.

Justeru, "asas" atau "fungsi" "seorang guru Ketuhanan":

Pertama-tama adalah; Mendapatkan seorang murid atau pengikut yang mampu memahaminya tanpa perlu bercakap, berkata, melalui kata-kata tersebut, yang boleh duduk dalam kesenyapan, tetapi dilimpahi atau dipenuhi dengan "KETENANGAN".

Dalam ertikata lain, jika seseorang berada di sisi seorang guru Ketuhanan, sudah memadai, ia bagaikan menyerahkan sesuatu - seolah-olah matahari sedang menyingsing, burung-burung mula berkicauan, ayam-ayam mula berkokok, tiada siapapun memberitahu kepadanya bahawa matahari sudah mula hendak terbit; Cuma yang ada hanya "cahaya" - Kegelapan mula lenyap, malam sudah berakhir, seluruh alam sedang meraikannya. Kuntum-kuntum bunga mula menyerlah dan mengembang dan menyebarkan haruman di seluruh pelusuk alam.

Demikian orang mistik mencapai maksud memenuhi ruang hidupnya, menyudahi perjalanannya. Tetapi orang mistik bukanlah seorang jenis yang berbakat.

Bagi guru Ketuhanan, ia bagaikan membuat kerja lebih masa, walaupun kerjanya sudah habis. Tetapi kebijaksanaannya, bakatnya masih menuntut penjelasan dan pemahaman.

Mengenai "orang-orang sufi" pula, mereka adalah orang-orang yang penuh "barakah". Guru-guru "sufi" tidak banyak bezanya dengan lain-lain guru di dunia ini. Mereka adalah orang-orang yang penuh "barakah" - Cuma jika kita orang yang cepat atau mudah faham, keterbukaan, cuma mendekati mereka saja, kita sudah dapat merasakan "getarannya". Suatu "sinaran" tanpa kita ketahui mula meresap dan menembusi kita.

Ia juga boleh dikatakan "suatu rahmat" atau "berkat". Lazimnya seseorang itu mencari guru untuk mendapat "keberkatan". Seseorang yang mendapat "petunjuk" dan "dibukakan hatinya", akan mendapat "pancaran cahaya". Pancaran "nur" atau "cahaya" tersebut adalah :

"Tidak ubah seperti bumi yang sedang kehausan, yang memerlukan mendungan awan
untuk menyiram kita".


Pada waktu dan ketika itulah seseorang itu mencari guru, lalu "mencium tangannya" dan duduk diam di sisi guru tersebut.

"Seseorang yang sudah berada di sisi "guru sufi", tiada apa yang dipercakapkan - tetapi segala-galanya didengari. Tiada apa yang disoal atau ditanyakan, tetapi semuanya bagaikan diberi dan terjawab".

"BARAKAH" adalah merupakan "prinsip" bagi "orang-orang mistikal" yang berlaku di antara pengikut yang menerima dan guru yang memberi "LADDUNI".

Ada di antaranya atau ada kalanya, kita tidak menyedari bahawa "dia" seorang guru - jika kita tidak peka dan perihatin.

Orang-orang "sufi" sangat berhati-hati. Bukan mudah hendak mengenali seorang seseorang "guru sufi", mungkin ada yang mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun, untuk mengenali dan menemuinya. Kadang-kadang guru tersebut, mereka adalah jiran kita, atau di hadapan hidung kita.

Seseorang yang sudah dapat menemui "guru sufi", mereka akan bertambah dan semakin kuat "kehausannya", semakin kuat "kerinduannya". Pertanyaan dan perbualannya "bukan kebiasaan" - Ia adalah "soal hidup dan mati".

Jika seseorang itu terputus dengan "guru sufi", dirasakannya bagai hendak mati, kerana pencariannya adalah "soal hidup dan mati".

Orang-orang sufi "bermuslihat" dan menjalani hidupnya macam orang biasa. Mungkin mereka seorang pekebun, pembuat kasut, tukang jahit, penjual sayur, atau apa saja. Tiada apa yang istimewa yang terdapat padanya. Perlu diingat, tiada siapa boleh mendekai guru sufi, kecuali ia dikenalkan oleh seseorang kepadanya. Dan orang yang membawa itu pula benar-benar bertanggungjawab bahawa kawannya itu "sudah bersedia".

Bagi mendekati lengkungan "orang-orang sufi", mungkin mengambil masa bertahun-tahun di sisinya untuk memahami sesuatu. Walaupun kelihatan dua puluh atau tiga puluh orang di sisi guru sufi, tetapi ramai di antaranya bukan saja matanya tertutup, tetapi "akalnya juga terkunci", tidak memahami apa-apa.

Bila seseorang yang sudah berada di sisi orang-orang sufi, tiada apa yang perlu dilakukan, kecuali duduk diam, menyepi secara "keterbukaan" - nanti "hujan akan turun dan menyirami kita, tetapi jangan ambil payung atau takut basah".

"Minumlah air tersebut, yang diberikan oleh "guru sufi" itu dengan sepuas-puasnya - ia suatu rahmat. Kita sudah berada di atas "landasan yang betul", ia akan membuat kita bertambah berani, untuk kita harungi apa jua "kegelapan dunia". Kerana kita sudah "sangat yakin" dan "percaya" bahawa "pagi pasti menjelma".


Ambil ingatan dan perhatian!...

"Wajah" seorang guru sufi, "pergerakannya", "diamnya" - Semuanya perlu "diresapi" agar ianya dapat jadi "sebahagian dari kita".

Sidang pembaca yang dikasihi!...

Bagi yang mencari, carilah ia "di dalam diri sendiri", jangan dicari di luar sana. Kerana setiap individu ada haknya.

Fahami istilah "GU-RU"

"Gu" - ertinya "penghapus"
"Ru" - ertinya "kegelapan"


Justeru, "Guru" adalah "penghapus kegelapan" di ruang otak yang bergelar "kejahilan".

Sesiapa saja yang "mencari", bawakan kepada saya:

"Bekas, minyak dan sumbu, nanti akan saya nyalakan sumbu tersebut - Tetapi awas!
Anda lindungilah api yang sudah dinyalakan itu, pastikan sumbunya jangan habis, minyaknya jangan kering"
.

Saudaraku pembaca yang budiman;

Kalau kita tidak faham "kejahilan" itu apa, maka tidak usah hairan kalau kita terlibat di dalam kerja-kerja kejahilan!


From Empty Hands,
A. Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
016-6020321

8 February 2010

Next Topic: "Know The Secret Of The Five Elements"

1 comment:

  1. Asslamualaikum Ayah!
    Yang sesat diperjalanan telah dipertemukan jalan
    Yang kehausan telah diketemukan minuman
    Yang gelap telah berikan sinaran

    Alhamdulillah syukur kehadrat Allah kerana telah dipertemukan diri ini dgn HambaNya yang telah membuka JALAN.....

    "Sampah di Lautan PG"

    ReplyDelete