Wednesday, January 12, 2011

HANYA SATU DI ANTARA BERJUTA-JUTA MANUSIA SAJA YANG INGIN TAHU, APAKAH TUJUAN HIDUP INI?

Kebanyakan manusia di muka bumi ini tidak mengetahui erti sebenar penghidupan. Ada di antara kita langsung tidak mahu ambil tahu, tidak mahu ambil pusing. Mungkin 'SATU' dalam sejuta sahaja yang ingin mengambil tahu secara serius dan mendalam.

"Ingin mengambil tahu" adalah 'langkah pertama' dan terbaik dalam 'perjalanan hidup' seseorang untuk menuju ke matlamat dan destinasi hidupnya. Mereka yang "tidak tahu tujuan dan matlamat hidup", kebanyakannya hanya berseronok dan berpuas dengan makan dan minum, tidur, berjalan-jalan dan menghias tubuh badan luarannya sahaja. Lebih-lebih lagi sibuk membiak dan membesarkan keluarga yang disangkanya "itulah tujuan yang paling utama" dalam hidup ini.

Saudaraku yang dikasihi!

Tidak boleh dinafikan dan tidak pula dilarang untuk menjaga kepentingan berkeluarga dalam sesuatu hal. Tetapi itu semua tidak boleh menyumbang kepada "ketenangan akal fikiran" dan "kesempurnaan erti hidup sebenar".

Untuk ingatan, phenomena dunia yang sedang kita huni, semuanya adalah "bersifat luaran", yang mampu dilihat dengan 'mata kasar', seperti telinga - mendengar, akal pula untuk 'kesedaran', itu semua saudaraku - "phenomena deria".

Melampaui itu semua adalah 'AKAL' dan lebih dari itu adalah 'KEBIJAKSANAAN' dan 'Kebijaksanan' itu 'TUHAN', itulah 'pentadbirnya'. Dan adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk mengenal 'Tuhan' dan "menyedari hakikat DIRI dalaman". "luar itu Apa?
Dalam itu Siapa?"

Di antara 'organ deria' kita manusia, yang paling berkuasa adalah 'mulut'. Ianya mempunyai kuasa untuk 'bercakap' dan untuk'makan'.

"Jika mulut kita berada di bawah 'kawalan AKAL', kesemua lain-lain deria akan dengan sendiri 'terkawal'".

Berusahalah untuk kurangkan bercakap "perkara-perkara yang tidak berfaedah,yang boleh mengurangkan dan membazirkan 'tenaga'. Kalau kita terlampau banyak sangat bercakap, pastinya kita tidak memberi tumpuan kepada 'akal'. Tumpuan 'akal' dan 'kuasanya' adalah untuk membuat "Kuasa Perbandingan".

"Kuasa Perbandingan" adalah untuk "memahami KUASA TUHAN", mana yang 'HAK' dan mana yang 'BATAL', mana yang 'ABADI' dan mana yang 'FANA'.

Jika semua itu difahami, itu bererti kita dapat "mencapai kecemerlangan" di dalam hidup ini yang bersifat 'sementara'.

Kebanyakan kita manusia biasa 'orang awam', sentiasa saja berserabut dengan hal-hal phenomena dunia luar, itulah puncanya kita 'terhijab' tebal sehingga kita sukar untuk memahami "alam kebatinan" atau 'ketuhanan'.

Tenggelam dalam 'keinginan' dan 'nafsu' keseronokan dunia yang fana ini. Mereka tidak menyedari untuk mempelajari "keseronokan dalaman", hal-hal "dalaman diri", seperti mempelajari "ilmu kerohanian, tasauf, mistik atau ilmu KETUHANAN".

"Semuanya itu adalah berpunca kerana 'organ deria' kita terdedah kepada 'dunia luar' secara melampau-lampau".

Justeru, tidak usah dihairankan kebanyakan orang-orang awam sudah tidak boleh mengawal deria dan akalnya, malah dunia luar sudah dapat menawan dan menakluk, sehingga membutakan mata hatinya.

Hanya segelintir atau 'satu persejuta' saja yang dapat "menyumbang dan mencelikkan mata dalamannya" dan menikmati "kecemerlangan kerohanian" masing-masing.

Cuba renung dan jawab sendiri persoalan di bawah:

"Adakah tubuh badan itu yang menikmati segala keindahan memandang terhadap segala kecantikan?"
"Siapakah yang menikmati makanan yang kita makan , bila dimasukkan ke tubuh badan?"
"Siapakah yang menikmati haruman, apabila kita menghidu sesuatu haruman?"

Apabila kita hendak menyelidik semua itu, adakah 'tubuh badan' atau 'Roh' yang menikmati segala nikmat kehidupan ini?

Jika jawapannya: 'Roh', apakah 'tubuh badan' itu? Ingat!... 'Tubuh badan' adalah sesuatu yang bersifat kasar, kaku, tiada daya upaya untuk menikmati, merasai, dan menikmati segala keseronokan.

Juga perlu diambil perhatian dan disedari!

Bahawa 'Roh' itulah mengatasi 'akal' dan di situ terletaknya "Kuasa Perbandingan" yang meresap dan menyerap ke seluruh universe ini.

'Roh' itulah asas 'Kesedaran' untuk kita mengetahui 'dunia luaran' dan melaluinya juga kita boleh menikmati 'dunia dalaman' diri masing-masing.

Ambil ingatan saudaraku pembaca yang dikasihi!

Muzik dan Kesusasteraan, Fizik dan Kimia, Botani dan Zologi, dan macam-macam lagi cabang ilmu pegetahuan, semuanya itu kaitannya adalah dengan fenomena 'dunia' atau 'universe'.

"Ia tergolong atau dikategori sebagai ilmu yang sangat rendah. Boleh dikatakan manusia di dunia ini, Sembilan Puluh Sembilan peratus, hidupnya, pengajiannya, ditumpukan kepada ilmu-ilmu keduniaan seumpama itu".

Ilmu-ilmu keduniaan seumpama itu dikejar dan diburu semata-mata untuk ilmu yang digunapakai bagi kemudahan sementara dan seterusnya untuk saraan dan perolehan diri dan keluarga sementara kita menjadi penghuni di dunia ini.

Ketahuilah juga bahawa 'ilmu Kerohanianlah' yang tertinggi sekali kategorinya (Supreme Knowledge) jika dibandingkan dengan lain-lain ilmu. Malah kewujudan 'ilmu keduniaan' itupun untuk menunjuk dan membimbing kita ke jalan 'kesedaran' ke arah 'Kerohanian' dan 'KETUHANAN'.
"Tanpa ilmu kerohanian, semua ilmu yang lain-lainnya adalah tidak bernilai!"

Setiap saat dalam hidup kita masing-masing, perlu menyoal dirinya sama ada setiap saat hidupnya menyimpang atau terpesong dari tujuan asal hidupnya.

Juga ambil tahu!

"Makan, minum, tidur, jaga, beranak-pinak, kencing, buang air besar, kemudian... mati. Itu tidak boleh didifinasikan sebagai 'penghidupan' rekaan. Kerana itu semua adalah biasa dan menjadi adat resam kepada ayam itek, burung-burung dan lain-lain binatang".

Mata kita umpamanya, adalah tidak ubah seperti 'mentol lampu', ia tidak boleh mengeluarkan cahaya. Ia memerlukan 'arus elektrik' untuk membolehkan mentol itu hidup dan bercahaya.

Samalah juga aplikasinya kepada 'mata' kita, ia tidak boleh melihat dengan sendirinya tanpa 'Roh'. Demikian juga dengan lain-lain organ, semuanya perlukan 'kuasa dalaman' untuk menjalankan tugas-tugasnya. Untuk pengetahuan, kesemua 'organ' dengan sendirinya tidak dapat 'merasai' dengan sendirinya. 'Roh' di dalam itulah yang menghidupkannya dan ia menjadi 'alat' kepada 'kesedaran' seseorang.

Apakah uniknya kita selaku manusia?

Kita dikurniakan 'akal' dan berkemampuan untuk meninggikan darjat melebihi binatang sehingga ke tahap "mengenal Hakikat Diri Sebenar".

Sentisalah ingat!

'Tubuh badan' itu adalah 'tidak kekal'... Tetapi ia tempat di mana 'Roh' itu menghuni buat sementara. Apabila 'Roh' itu bergerak, 'tubuh badan' akan turut bergerak.

Justeru, tumpuan kepada 'Roh' mestilah diutamakan, dan ia mesti dijaga dengan sempurna, sama seperti:

"Kita menyimpan 'emas barang berharga', di dalam 'peti besi' yang tidak bernilai, seperti 'Roh' yang bernilai itu yang berada di dalam 'tubuh badan' yang mudah rosak dan busuk itu".

Apakah yang 'mengikat' dan 'membutakan' kita semua di dalam dunia fantasi ini?
Ianya bukan keluarga dan harta benda. Tetapi yang paling sukar adalah "pergantungan kepada nafsu yang melampau", kebencian, iri hati, cemburu, angkuh, sombong, suka membuat fitnah, ego, dan lain-lain.

Jika semua yang dimaksudkan tadi sudah menguasai dan menakluk kita, pastinya ia bukan lagi 'manusia', ia cuma 'manusia pada paras rupa'.

Mereka seumpama itu sangat merbahaya untuk didampingi kerana darah dagingnya bukan lagi manusia yang kita sangka. Tetapi ianya adalah 'haiwan' yang bertopengkan 'rupa manusia'. Awas!...


From Empty Hands,
A.Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
016-6020321

12 JANUARY 2011

Next Topic: 1. "Woman Has To Take Over The World Parliaments. War could Be Stopped Without Any Difficulty"

2. "Manusia Diselubungi Maya Kepalsuan Dan Terhijab"

No comments:

Post a Comment