Sunday, July 24, 2011

ISTILAH BERKAHWIN DAN MASALAH DALAM PERKAHWINAN

Masalah suami isteri ertinya masalah perkahwinan atau masalah rumah tangga. Di mana-mana di dunia ini dahulu dan hingga ke saat ini mereka mengadu, meminta nasihat dan pandangan dengan kawan-kawan, pakar motivasi, akhir sekali ke pejabat pendaftaran perkahwinan atau pejabat agama.

Anak-anak muda di sana sini membaca nove-novel romantik, ke panggung wayang melihat filem-filem romantik, maka masing-masing pun ghairah dan mengambil keputusan untuk berkahwin, kerana perkahwinan pada mereka:
"Bagaikan berada di tilam berbunga ros, bagaikan berada di syurga yang kekal abadi."

Malangnya perkahwinan tidak semanis seperti apa yang difikirkan sebelum berkahwin. Ramai yang tidak mengetahui istilah... "Berkahwin dan Masalah Dalam Perkahwinan," kerana ia saling berkait. Kita semua perlu tahu dan perlu ingat, sebaik sahaja kita berkahwin, kita perlu berhadapan dan menghadapi "permasalahan dan tanggungjawab yang tidak kita jangka, yang tidak kita terfikir dan pastinya tidak pernah kita alami sebelum berkahwin.

Setelah melalui semua keriangan, kegirangan dan kegembiraan atas kehadiran semua saudara mara dari jauh dan dekat, berkompang, bersanding bagaikan 'Raja Sehari', selanjutnya pergilah berbulan madu seperti tempat yang telah dirancang untuk mengecapi segala kemanisan.

Realitinya, untuk hidup bersama, menghadapi apa saja bersama, mula menjenguk keriangan dan kegembiraan mula perlahan-lahan bertukar menjadi kebimbangan, lemah semangat, tawar hati menghantui diri masing-masing, kurang bercakap, kurang berinteraksi. Semua yang indah-indah dahulunya, sudah mula menjadi kusam dan muram, itu semua ada kaitan tentang seperti yang saya maksudkan dan tidak diketahui ramai tentang "perkahwinan dan masalah selepas perkahwinan".

Tahap yang paling kritikal dalam berkahwin adalah apabila sampai waktunya, masing-masing sudah tidak bercakap atau berkomunikasi buat sekian lama, petunjuk atau petanda akan berlaku perceraian.

Tahap tidak bercakap lagi di antara suami isteri adalah; (a) Sewaktu sarapan pagi di meja makan, masing-masing sibuk membaca surat khabar; (b) Balik dari kerja duduk di hadapan TV, menonton cerita di saluran kegemarannya, di hujung minggunya pula sibuk dengan aktiviti-aktiviti lain seperti memancing, bermain golf dan lain-lain. (c) Tiada lagi perasaan mengambil tahu terhadap perasaan masing-masing.

Si isteri pula, lazimnya selepas berkahwin, tidak lagi berminat untuk menjaga tubuh badannya, di depan suami dan di khalayak ramai, dirinya sudah mula terabai dan kelihatan berserabut. Si suami pula sudah merasa bosan, jemu, hilang selera dan ransangan. Mulalah Si suami mencari alternatif di luar rumah, mencari keseronokan.

Bilakah masanya ketidakpuasan mula masuk menyelinap dalam perkahwinan seseorang?

Tahun 'pertama' adalah tahun yang sangat baik. Masuk tahun 'kedua', Si isteri masih mahu mendengar dan menerima teguran Si suami.
Di tahun 'ketiga' dan ke atas... atau seterusnya, jiran-jiran mula mendengar pekikan, jeritan, laungan dan pertelingkahan yang tidak lagi mengindahkan sesiapa saja di sekelilingnya.

Biasanya 'ketidakpuasan' di antara satu sama lain dari peringkat awal lagi kerana kurangnya persediaan dari banyak aspek. Contohnya;

1. Latarbelakang agama, sunnah dan peraturan.
2. Motivasi awal, yang membolehkan setiap pasangan berhadapan dengan sesuatu
yang tidak diduga sama ada suka atau duka yang akan dihadapinya.
3. Memahami persekitaran dan fenomena alam, kejiranan, saudara mara dari
kedua-dua belah pihak, ekonomi, pekerjaan, kewangan dan sebagainya.


'Ketidakpuasan'
yang banyak melanda kaum suami selepas berkahwin, setelah sekian lama bersama timbul, kerana seperti kata pepatah;

"Ada rumpun rumput yang lebih hijau di seberang pagar sana."

Ertinya kecenderungan orang lelaki walaupun sudah beristeri, masih tertarik kepada seks, kerana seks tidak menghad batas umur. Kegelisahan orang lelaki walaupun sudah beristeri, boleh berlaku pada bila-bila masa, begitu juga di pihak perempuan, walaupun sudah bergelar 'isteri'.

Cuma kekuatan iman masing-masing saja yang mengukuhkan ikatan perpaduan dan kerukunan berumah tangga.

Kebosanan adalah perkara biasa. Kekecewaan dengan pasangan masing-masing juga aduan yang pernah dan selalu didengar. Bila sesuatu yang diharapkan atau yang dijangkakan tidak tercapai atau tertunai maka timbullah; sungutan, rungutan, bebelan dan terkilan akan menjadi ungkitan yang berlarutan. Sebab itulah bila tiada komitmen dan tiada asas keagamaan yang kukuh, apa saja boleh berlaku pada bila-bila masa dan mengancam rumah tangga masing-masing.

Saudaraku pembaca yang budiman, khususnya suami isteri;

Bercinta sudah, berkahwin sudah, gelaran untuk 'suami-isteri' sudah pun dinobatkan, lebih tinggi darjat untuk mendapat gelaran seorang 'ibu' dan seorang 'bapa' pun sudah dapat. Ya! majoriti sesiapa saja berkahwin pasti boleh 'beranak'. Tetapi persediaan awal apakah pengetahuan, apakah yang ada di dada itu sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan?

Justeru, mari kita cari apakah akar umbi 'ketidakpuasan'?

Ramai isteri khususnya, mengatakan dia menghendaki agar suaminya sentiasa mendengar kata-katanya lebih dari segala-galanya atau sesiapa pun. Dia mahu diberi tumpuan sepenuhnya dari segi perasaan dan kemahuannya. Itulah yang membuat semuanya mendidih dan bergelora yang tidak sama seperti perkahwinan orang-orang dahulu yang serba kekurangan dalam bidang Sains dan Teknologi dan kesibukan zaman yang penuh perubahan fenomena dan suasana.

Kini perempuan lebih terpelajar, berpengetahuan, menyandang jawatan tinggi dan mereka tahu akan haknya sebagai seorang isteri.

Justeru, Si suami atau lelaki pula, perkahwinan padanya memang menjadi tujuan dan matlamat untuk dicapai, maka ia terpaksa menumpukan segala usaha gigihnya, kerana ia merupakan aspek penting dalam hidupnya, karier atau perniagaannya.

Penghidupan seorang perempuan atau isteri pula, sebaliknya, adalah sangat berbeza. Apabila setelah berkahwin, dia mengharapkan lebih kasih sayang dan keakraban atau lebih intim. Justeru, ia sangat memerlukan suaminya dapat meluangkan masa yang lebih kepadanya.

Ambil nasihat saya, dan jadikan azimat dalam berumah tangga;

"Jangan sekali-kali membawa permasalahan luar, ke dalam rumah tangga, khususnya kepada pasangan kita (isteri/suami), dan anak-anak, kerana itulah punca kehancuran, ketidakstabilan, lalu menjadi tegang dan putus akhirnya (bercerai)."

Kalau kita rajin membuat kajian dalam masyarakat Asian, permasalahan lazimnya timbul dari gangguan 'mentua', 'ibu mentua'... Itu sudah jadi kelaziman dan semua orang tahu. Mentua lazimnya cuba mempengaruhi anaknya dalam membuat keputusan terhadap anaknya masing-masing.

Apa yang selalu menjadi aduan Si isteri adalah terhadap suaminya yang suka mendengar cakap ibunya daripada mendengar percakapan isterinya.

Gangguan daripada mentua untuk membesarkan cucunya juga menjadi faktor, itu juga sudah menjadi kebiasaan di dengar di sana sini.

Ada juga datuknya yang memanjakan cucunya, membuatkan cucunya rosak kerana terlampau dimanjakan dan menjadi penyebab juga kepada pertelingkahan rumah tangga.
Ada juga suami isteri muda yang baru berkahwin, tidak gembira dan tidak membenarkan datuknya terlampau intim dengan anaknya, kerana khuatir anaknya akan diajar cara penghidupan secara kolot atau kuno.

Ramai yang beranggapan bahawa berkahwin itu suatu kewajipan dan dirasakan berkahwin itu sangat penting dalam hidupnya. Tetapi perlu diingat, bagi mempastikan kejayaan dalam perkahwinan di dalam sesebuah rumah tangga; "Pasangan tersebut mestilah belajar dan berusaha mengharmoni dan mengurangkan seberapa yang boleh..." Soal perbezaan pendapat yang mungkin juga perlu menerima dan mengalah, kesilapan, kekurangan dan kelemahan masing-masing.

Sedangkan, pasangan yang kita dengar sangat intim dan cocok sekalipun mengalami konflik rumah tangga, bergaduh, bertengkar, marah-marah.

Pasangan suami isteri sepatutnya dan sewajarnya memahami kelemahan dan kekurangan masing-masing yang berada pada diri masing-masing dan menghargainya serta bersetuju untuk duduk semeja dan meluahkan emosi masing-masing secara jelas dan berhemah.

Jangan malu dan segan untuk mendapatkan pandangan daripada sesiapa yang arif dan pakar. Kerana jika kita enggan meminta nasihat daripada orang ketiga, natijahnya nanti segala salah faham akan mengheret kita ke jurang yang lebar dan semakin parah. Kalau pasangan secara rasionalnya boleh memahami dan menerima di sebalik segala salah faham, sebenarnya terdapat hikmah yang boleh mengukuhkan lagi ikatan berumah tangga. Ini kerana apa yang kita semua lalui adalah menjadi pengalaman yang sangat berguna.

Kita juga perlu tahu, gigi dan lidah lagi tergigit, pinggan mangkuk di dapur pun berlaga, maka dalam rumah tangga selaku suami dan isteri, selisih faham sebenarnya perlu dan penting untuk meneruskan hidup berumah tangga yang sihat.

Ambil ingatan!

"Apa jua perselisihan faham, tidak sependapat, sehingga membangkitkan pertelingkahan, ia hanya boleh diberhentikan atau ditamatkan oleh kedua-dua belah pihak dengan 'MEMAAFI' dan 'MELUPAKAN' segala peristiwa yang telah terjadi."

Setelah berkahwin sepuluh (10) atau tiga puluh(30) tahun, perlu diingat!...

"Kasih sayang mesti terus dipupuk, dibelai, dibaja dan terus dijaga dan disiram, setelah begitu lama, sama-sama berpengalaman melalui liku-liku penghidupan, susah, senang, suka, duka, sakit, pening, semua itu telah dilalui melalui masa, ketabahan
penumpuan, keberanian dan persefahaman."


Sebab utama yang timbul dan menjadi masalah di dalam perkahwinan adalah "mental yang tidak terurus, tiada ketahanan mental dan roh." Maka wujudlah syak wasangka, kesangsian dan kecurigaan. Dalam 'akad' kita sudah jadi orang yang tidak amanah... 'pecah amanah'.

Dalam kerukunan berumah tangga, selaku suami isteri, 'akad' merupakan amanah masing-masing, tidak boleh ada rahsia atau cuba merahsiakan sesuatu yang boleh menimbulkan kecurigaan. Kerana kecurigaan boleh membawa kepada cemburu, cemburu pula boleh membangkitkan amarah, amarah pula boleh membentuk permusuhan, dan natijah dari bermusuhan boleh berlaku perceraian, bunuh diri dan membunuh.

Jika suami isteri boleh berkongsi suka dan duka di dalam hidup sehari-harinya, boleh saling memujuk antara satu sama lain dan mengenepikan segala yang terkilan. Dalam ertikata lain "selaku suami isteri, janganlah kita menjangkakan kemanisan, kegembiraannya saja dalam perkahwinan. Bersedialah!"

Ada banyak lagi yang menanti kita di hadapan, yang sangat menyakitkan, yang sangat pedih, yang kita semua selaku suami isteri tidak tahu, yang bakal timbul dari perangai suami atau isteri atau dari akhlak anak, jiran, di tempat kerja, kewangan, ekonomi, ipar duai, emak mentua dan berbagai lagi yang bakal kita tempuh.

Sehingga ada pepatah mengatakan:

"Hancur Hati Engkau Aku Cuba."

Saling berbincang tentang masalah antara satu sama lain selaku suami isteri akan menguatkan keyakinan dan kepercayaan untuk melepasi segala halangan dan rintangan yang sedang sama-sama hadapi.

"Selaku suami isteri kita perlukan kekuatan, tekad serta azam dan bersungguh-sungguh untuk mengurangkan ketegangan atau 'tension' agar sama-sama dapat mengukuhkan keyakinan ke arah melayari bahtera rumah tangga dengan penuh sabar dan persefahaman."


From Empty Hands,
A. Rahman bin Mahadi
Labis, Johore
016-602 0321

25 JULY 2011

Next Topic: 1. "The Mental Level Is The Most Crucial Level For The Human Being."
2. "Tanggungjawab Ibu Bapa Terhadap Anak-Anak"

3 comments:

  1. Salam,
    perkongsian yg hebat bagi yg dlm proses utk berumahtangga...

    ReplyDelete
  2. Mu'alaikum'salam! Terima kasih kerana mahu berkongsi dan mengikuti blog ini. Tolong panjangkan mesej ini kepada para sahabat yang sedang dan akan melayari alam perkahwinan, terima kasih.

    From Empty Hands,
    A.Rahman bin Mahadi

    ReplyDelete
  3. Salam...
    Mabruk alaik! Jazakallahu khairal jaza'. Perkongsian ayah, di samping sunnatullah, dan sunnah Rasulullah buat pedoman untuk anakanda yang baru melangkah ke gerbang perkahwinan...

    BetaraGuru

    ReplyDelete